Mahyudin berdebar-debar. Jam dinding di sisi dapur dijenguknya lagi. Lagi lima minit sebelum pukul lima.
Fikirannya bukan lagi tertumpu pada sayur kubis yang dipotongnya. Kubis yang dipotong sekejap setengah inci panjang, sekejap sampai dua inci pula. Emak yang memerhatikan sejak tadi naik rimas melihatnya.
"Din, kalau ada kerja lain pergilah buat. Tinggal saja sayur-sayur tu. Mak boleh buat," emak bersuara dalam.
Matanya berpura-pura sibuk melihat bawang besar yang dikupasnya sendiri.
Mahyudin terkedu.
Rupa-rupanya emak kecil hati dengan tingkah lakunya sejak tadi. Dia berhenti memotong kubis lalu duduk di sisi emak sambil menguis-nguis kulit-kulit bawang yang bersepah.
"Mak, Din tak ada kerja apa pun. Cuma... pukul lima ni ada rancangan bual bicara Dato' Faridatul di televisyen. Hmm... rancangan yang Din bertugas sebagai kru tu."
Mata emak tiba-tiba bersinar. Dia tidak jadi marah kepada Mahyudin. Ternyata tadi dia hanya tersalah sangka bahawa Mahyudin sudah tidak suka lagi menolongnya menyiapkan bahan-bahan memasak untuk Ina. Rupa-rupanya Mahyudin nak menonton rancangan yang dia kendalikan semasa dia menjalani latihan industri dalam bidang penyiaran sejak dua bulan lepas.
Mahyudin memang anak kebanggaan emak.
Sejak kecil dahulu Mahyudin satu-satunya anak yang sentiasa menyejukkan hati emak. Setiap pagi, sebelum subuh lagi Mahyudin sudah bangun untuk membantu emak membungkus nasi lemak atau menceduk sambal ke atas nasi walaupun Mahyudin baru darjah dua.
Kemudian Mahyudin sahaja yang mahu membawa nasi lemak berbakul-bakul itu ke sekolah. Nak harapkan kakaknya Si Farah dan Maisarah tu, macam harapkan bubur bertukar jadi nasi.
Macam-macam alasan mereka.
Nak siapkan kerja sekolahlah, nak bersiap untuk pendidikan jasmanilah, ada perjumpaan pengawaslah.
Kecil-kecil lagi sudah banyak alasan!
Alih-alih keputusan Mahyudin juga yang paling elok. 5A dalam UPSR. Mahyudin juga berjaya dapat 8A dalam PMR dan 9A dalam SPM. Farah dan Maisarah? Paling tinggi pun 3A yang mereka pernah dapat. Setiap kali mereka terasa emak mengungkitkan lagi hal itu, mengamuklah mereka.
"Emak asyik bagi perhatian pada Din saja. Mentang-mentanglah Sarah tak pandai."
"Farah tahulah Farah bodoh, bukan macam Din."
Nama Mahyudin juga yang menjadi sasaran.
Emak bersemangat bangun menuju ke ruang tamu untuk menghidupkan televisyen 24 incinya. Sampai tinggal ternganga barang-barang mentah yang dikupasnya. Daging dan ayam pun hanya dihampar surat khabar lama sahaja di atasnya sebagai cukup syarat.
"Mak tak payah tengok pun tak apa mak," kata Mahyudin, semacam gelisah.
"Eeehh kenapa pula tak boleh tengok? Ini kan rancangan yang diuruskan anak mak. Emak mesti tengok walaupun Din ada di belakang pentas saja."
Emak sudah bersila di hadapan televisyen.
Mahyuddin menggaru belakang telinga. Simpton gatal-gatal sudah datang.
Seketika kemudian bergema muzik tema rancangan televisyen Dato' Faridatul yang terkenal dengan produk kerepek buatan Malaysia milik syarikatnya.
Produk kerepek Dato' Faridatul tidak lagi boleh diperlekehkan macam cara kita perlekeh semasa lima ke sepuluh tahun dahulu. Sekarang kerepek Dato' Faridatul sudah dieksport sampai ke Amerika Syarikat dan Belanda. Di sana, kerepek ubi dan pisang bukan lagi kerepek, tetapi mereka panggil 'chips'.
YOU ARE READING
Cerpen: Belakang Tabir
Short StoryMahyudin berat hati membiarkan emaknya menonton televisyen pada petang itu. Mengapa dia berdebar-debar dan gelisah? Sebuah kisah sinis berniat lucu. -------- Gambar kulit: Chris Hartung (unsplash.com/@chrishartung)