Sunyi
Waktu menunjukkan jam sepuluh malam. Aku sedang mengemas ruangan meja makan dan menyiapkan makan malam buat suamiku yang akan pulang dari kerja bila-bila masa sahaja.
Ku sediakan segala keperluan untuk memudahkan dia apabila sampai nanti.
Suamiku hanya seorang penyelia di sebuah kilang. Hampir dua belas tahun dia bekerja disana. Dia jenis kuat bekerja, jarang ambil cuti atau mc. Komitmen pada tugas dan jawatannya membuatkan dia perlu lebih masa di kilang.
Lewat pulang ke rumah itu sudah menjadi perkara biasa pada dia.
Setiap inci tugasannya perlu dia fahami. Dia tak mahu ambil mudah. Tak pelik pun kalau dari sekecil-kecil tugas sehinggalah kepada kerja-kerja yang berat seperti membaiki mesin rosak itu sudah menjadi kebiasaan dan rutin kepadanya. Sebab itulah dia jarang pulang ke rumah lebih awal.
Selalunya bila jam sudah menginjak ke 12 tengahmalam atau 1 pagi baru dia sampai di rumah.
Aku yang dah terbiasa dengan keadaan ini, hanya berdiam diri. Tinggallah aku sendirian menguruskan hal ehwal rumahtangga. Kehidupanku hanya di rumah, jarang aku keluar kemana-mana walaupun ke kedai berhampiran.
Aku tak pandai memandu dan aku berharap sepenuhnya kepada suamiku. Aku dulu pernah berkerja tetapi aku berhenti sebab aku nak jaga anak-anakku sejak yang sulung mula bersekolah tadika. Ketika itu bukan seperti sekarang, gaji kecil pun masih mampu untuk menjalani kehidupan tanpa keluhan.
Sepuluh tahun dahulu sangat berbeza dengan hari ini. Hari ini ekonomi sangat tenat. Semua benda naik harga. Gaji tiga empat ribu pun belum tentu boleh nak bernafas rasanya.
Kesunyian aku di rumah tanpa sesiapa. Kawan-kawan rapat apatah lagi, tidak ada lansung. Adik beradikku semua berada di negeri kelahiran kami. Hanya aku keseorangan mengikut suami menetap di negeri ini.
Oleh kerana suamiku berkerja enam hari seminggu dan bercuti hanya pada hari Ahad, maka kami jarang pulang ke kampung. Setahun sekali kami balik iaitu semasa Aidifitri dan kalau ada kenduri kendara serta kematian.
Pergaulan aku dengan jiran tetangga juga aku hadkan. Bukan aku sombong, tetapi aku tak mahu terlalu rapat dengan jiran-jiranku. Jiran sebelah rumahku sangat baik dan peramah.
Suka bercerita perihal kisah hidupnya. Seorang yang sudah berusia dan punya tiga anak. Cuma aku tak selesa dengan makcik ini sebab kalau dah berbual seolah tiada tanda akan berhenti. Aku hanya mampu menadah telinga mendengar kisah hidup yang dikongsikan dengan aku.
Bila aku memasuki dunia bisnes online, barulah aku dapat kawan ramai. Biarpun hanya di alam maya dan tidak pernah kenal siapa mereka. Dalam grup whatsapp pun aku lebih banyak diam. Aku hanya akan berbual mengenai produk dan melayan customer yang mahu membeli produk jualanku sahaja.
Begitulah seharian dalam kehidupanku, kesunyian dan ada waktu terasa aku keseorangan dan sepi sendiri. Lebih banyak diam dari bercakap. Dengan suami sendiri juga aku agak kurang untuk berbual. Lebih-lebih lagi suamiku juga sangat pendiam dan suka memendam.
YOU ARE READING
SETH [Edited] ✔
Teen Fiction... Cinta tak mengenal usia..... ....Cinta Online.... "Tak mungkin aku akan meneruskan hubungan yang sangat tidak munasabah ini...." Aku... Allah, jangan biarkan aku tanpa kasihsayang-Mu.... [Kulit buku (cover) oleh @kementahan]