Keluhan
Aku kepenatan. Penat sebab semua kerja-kerja rumah baru saja aku bereskan. Kini aku sedang merehatkan badan sambil berbaring di katil di dalam bilikku.
Malam minggu macam ini pun suami aku masih berada di kilang. Entahlah, bagiku kerja memang tak akan pernah habis, kecualilah kilang itu sudah berhenti beroperasi. Suamiku pula bekerja seolah-olah esok dia akan terus berhenti kerja pulak.
Selalunya malam minggu begini dia akan balik lebih lewat. Dia akan baiki mesin yang rosak, update planning untuk dibahagi-bahagikan kepada pekerjanya. Maksudnya dia akan cuba mempermudahkan kerja pekerja-pekerja disitu.
Selalunya bila esok cuti, dia akan stayback sehingga jam dua pagi. Adakala aku memang bengang sangat dengan dia. Waktu yang ada untukku bersama dia menjadi terhad. Aku hanya ada dia pada hari Ahad. Itupun kalau dia tidak tidur lama.
Hari Ahad hari untuk famili, tetapi selalunya kami di rumah sahaja. Kalau nak keluar kemana-mana pula adalah pada sebelah petang.
Aku pula bukan tahu memandu, semua aku harap pada suamiku. Kesian pun ada juga, tapi apa aku boleh buat. Aku redha dan pasrah saja lah. Pernah aku naikkan suara menyatakan ketidakpuasan hatiku pada dia.
Seperti biasa jawapan yang dia beri membuatkan aku malas hendak memanjangkan soal jawab. Malas hendak bergaduh.
Aku lepaskan sedikit keluhan. Cuba pejamkan mata, mohon lenalah wahai mata. Namun nyata payah pula mata ini hendak lena. Aku capai handphoneku, buka whatsApp. Penuh dengan notifications yang aku belum sempat baca pada siangnya. Aku buka satu persatu. Aku ada enam grup bisnes online dari leader yang sama.
Aku baru teringat aku belum pos sebarang iklan untuk hari ini di facebook. Ahh biar aja lah, suara hatiku memujuk, esok saja pos iklan.
Aku buka pula grup famili aku. Tak ada yang menarik. Sejenak aku terfikir yang aku sudah lama tak balik ke kampung untuk bertemu adik beradikku. Keluhan tanpa sengaja terlepas dari mulutku.
Mesti kakak ku marah denganku, kerana seolah melupakan mereka di sana. Bilalah agaknya aku akan dapat menziarahi mereka di kampung.
Aku tutup aplikasi whatsApp. Aku buka pula messenger. Aku nampak Seth sedang aktif. Terlintas difikiran untuk menegur Seth.
"Assalam, Seth"
Ada rasa berdebar pula di hatiku. Kutunggu Seth membalas mesejku. Terasa lama pula masa kurasakan.
"Waalaikumusalam, awak."
Akhirnya Seth membalas mesejku. Datang pula rasa risau kalau-kalau aku mengganggu dia disana.
"Awak buat apa. Saya ganggu awak duty ke sekarang?"
"Tak lah. Awak tak ganggu pun. Saya baru habis main futsal, ni sedang lepak dengan kawan-kawan saya." Lega bila kubaca balasan dari Seth.
"Awak dah makan ke?" Seth bertanya.
"Sudah," jawabku
"Sihat?"
"Alhamdulillah, sihat je" balasku.
"Hubby awak mana?" tanya dia lagi.
"Ohh, dia belum balik kerja. Malam ini dia lambat sikit balik." Jelasku pada Seth.
"Oh ye ke, bolehlah kita bual lama sikit ehh" Aku hanya tersenyum membaca taipan Seth.
"Nak bual pasal apa je?" tanyaku
"Macam-macam," balasnya.
"Emmm, Seth asal Kelantan kan?" Aku sekadar bertanya. Memulakan perbualan.
"Ya" dia menjawab ringkas.
"Mak dan ayah ada dekat sana lah ekk. Adik-beradik ada berapa orang?" selidikku lagi atas sifat ingin tahu.
"Ha'ah, ma dan ayah ada dekat sana. Adik beradik tiga orang je, semua lelaki dan saya yang sulung."
"Ooh ye ke, Seth dah lama ke join Army? tanyaku lagi.
"Baru setahun ini saya tamat latihan tentera," balas Seth.
Aku tak tahu nak bual apa lagi. Takut dia tak selesa bila aku menyoal kisah peribadinya.
"Awak, dah lama kawin ehh?" Aduhai pertanyaan dia lagi personal nampaknya. Tak apalah biar aku jujur saja dengan dia.
"Lama lah jugak, dah hampir dua puluh tahun kahwin dan dah ada anak tiga orang pun. Seth tak mahu tahu umur saya ke?" Sengaja aku buka soalan cepumas.
"Uissh lamanya tu, hampir sebaya umur saya pulak, ha ha. Tahniah ehh. Hmmm pasal umur tu kalau awak nak bagitahu, silakan lah." Aku ketawa membaca ayat Seth.
"Jangan terkejut ehh dan harap awak tak pengsan dekat situ pulak," gurauku.
"Ehh, nak pengsan buat apa. Haha. Bagitahu lah umur awak berapa?" Pinta Seth.
"Sebenarnya saya sudah masuk 45 tahun, dah tua dah pun. Awak still hendak berkawan dengan saya juga ke?" Jujur ku menjelaskan pada Seth.
"Ehh, muda lagi tu. Saya tak kisah pun umur awak berapa."
"Kenapa awak nak juga kawan dengan saya, sedangkan awak tahu status saya adalah isteri orang." Aku cuba menduga Seth.
"Tak apalah, saya memang suka kawan dengan perempuan lebih tua dari saya, sebab lebih matang, lagipun awak sangat cantik dalam usia 45 tahun. Nampak muda macam 20an je."
Aku ketawa. Mulut manis rupanya dia. Masih budak lagi tapi pandai main kata. Boleh cair hatiku kalau selalu dipuji begini.
AKu terpandang jam di dinding. Sudah hampir jam 12.40am. Tak sedar waktu begitu pantas berlalu. Aku kena tamatkan perbualan ini.
"Seth, saya stop dulu ya. Lain kali kita bual lagi ok."
"Ohh ok, tak apa saya faham. Kita bual lagi nanti. Saya pun nak balik ke bilik ni, nak mandi."
Kami tamatkan perbualan selepas saling mengucapkan selamat malam.
YOU ARE READING
SETH [Edited] ✔
Teen Fiction... Cinta tak mengenal usia..... ....Cinta Online.... "Tak mungkin aku akan meneruskan hubungan yang sangat tidak munasabah ini...." Aku... Allah, jangan biarkan aku tanpa kasihsayang-Mu.... [Kulit buku (cover) oleh @kementahan]