Bab 1 - GSTS

590 32 1
                                    


Pada suatu petang lima tahun yang lalu, selesai membaca novel yang ke 52, aku membuat keputusan untuk menulis sebuah cerita. Jika aku mampu habis membaca 52 buah novel, sepatutnya aku sudah boleh menulis satu novel. Namun, cerita itu mengambil masa selama empat tahun untuk siap.

Kalau boleh aku katakan, karya pertama itu adalah tempoh aku menebus diri. Tempoh aku memproses sesalan kisah silam menjadi satu jaminan masa depan. Dalam tempoh itu, aku belajar satu perkara. Sebagai seorang penulis, kita harus jujur.

Aku selalu berfikir bahawa aku menulis untuk meneruskan hidup. Aku mempunyai keinginan untuk menulis sebuah cerita yang mampu membuatkan seseorang terus hidup. Dan mengetahui ada seseorang membaca cerita yang aku tulis membuat aku terus hidup.

Apabila aku berfikir sekali lagi, pada ketika ini, aku mendapat royalti dengan menulis novel, duit iklan hasil tulisan di blog, malah gaji bulanan membantu penulisan kerja projek dalam kontrak penyelidikan. Ironinya, aku menulis untuk menyara diri.

Aku bakal menginjak ke usia sempurna untuk berkahwin bagi seorang wanita. Aku menjalani kehidupan yang biasa. Hari-hari adalah sama. Tiada persahabatan yang baru dan tiada percintaan yang unggul. Kadang-kadang enggan berjumpa orang.

Akan berterusan hidup begini untuk sepanjang umur. Aku pernah berfikir demikian. Tapi, aku perlukan perubahan.

Hai. Nama aku Reese.

Cut.

Aku sedang duduk di kerusi 25A dalam pesawat AK5304 dan bukannya sedang memperkenalkan diri di pentas Perfect Match. Malah tidak ada pemuda jemputan yang sedang mencari jodoh di hadapan aku sekarang. Yang ada di sebelahku ialah seorang wanita lingkungan umur 40an.

Sudah 25 minit kapal terbang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Penerbangan balik ke Kota Kinabalu dari Johor Bahru ini akan mengambil masa lebih kurang dua jam dua puluh minit. Aku mengeluarkan pemain mp4 dan memakai earphone. Sambil mendengar lagu, aku menyelesaikan permainan sudoku di dalam majalah yang kuambil dari poket tempat duduk depan.

Sudoku adalah teka-teki nombor menguji minda yang berasal daripada Jepun. Aku pernah membeli buku yang mengandungi 100 buah sudoku pelbagai rating namun menjadi bosan. Maka, aku memutuskan hanya akan bermain sudoku di surat khabar dan majalah secara rawak supaya perasaan sensasi itu tidak hilang.

Seorang pemuda di kerusi 25D juga sedang menyiapkan sudoku rating empat bintang itu. Tanpa sengaja aku telah melancarkan pertandingan lumba sudoku secara senyap terhadap Mr. 25D tersebut. Aku terus mengisi nombor-nombor logik di petak-petak kosong sambil sekali-sekala mengerling ke arah Mr. 25D.

Malangnya, Mr. 25D itu telah terperasan dengan tindakan curi-curi berlumba aku. Dia kelihatan mula tertekan dan berusaha memikirkan apakah nombor seterusnya yang perlu diisi.

Nampaknya, aku bakal dituduh sebagai psiko dalam insiden yang hanya diketahui oleh aku dan Mr. 25D itu. Oh, ataupun juga turut disedari oleh wanita 40an di sebelah yang kini melihat aku dengan pandangan kurang senang.

Aku menyimpan semula majalah tersebut ke tempat asal. Kalaulah wanita itu mempunyai blog, mungkin dia akan membuat entri tentang pengalaman bersama penumpang kapal terbang yang menjengkelkan.

"Cik Reese?" Dua orang pramugari sedang mengedar hidangan makanan yang dipesan secara talian tiba-tiba bersuara.

"Ya?" Aku hairan mendengar namaku dipanggil.

"Ini adalah pesanan makanan untuk Cik Reese," ujar pramugari yang bernama Mariana, membuka meja di hadapanku dan meletakkan set makanan tersebut.

Eh, aku ada terpesan makanankah? Mustahil. Ratu Jimat seperti aku tidak mungkin akan membeli makanan kapal terbang dengan peratus mark up harga empat kali ganda itu.

"Rasanya saya tiada pesan makanan," aku cuba menerangkan.

"Rasanya seseorang telah memesan makanan ni khas untuk Cik Reese. It's free," jelas Mariana lagi.

Wah, siapa pula yang belanja aku makan ni? Ada sesiapa yang aku kenalkah dalam penerbangan ni? Aku cuba menoleh ke hadapan dan ke belakang. Macamlah aku boleh nampak pun semua penumpang dalam kapal terbang ni.

Kedengaran wanita 40an itu merengus. Tidak selesa dengan gerak-geriku yang mahu menyiasat pengirim pesanan makanan tersebut. Mungkin dalam hati dia mengomel, 'Sudah dapat makanan percuma tu, makan sajalah. Banyak songeh pula.'

Aku meneliti hidangan itu yang berupa nasi dagang bersama kari ayam dan secawan teh panas. Betul juga. Why so serious? Buat apa menolak rezeki, kan? Lalu aku menikmati hidangan itu dengan gembira.

Apabila aku menoleh ke arah Mr. 25D, dia tersenyum manis kepadaku sambil mengangkat gelasnya. Peramah pula Mr. 25D ini. Aku balas dengan senyum kecil. Rupanya wanita 40an di sebelah sedang memberikan aku jelingan maut.

Lalu aku berdoa semoga wanita 40an itu bukan seorang blogger yang bakal menjadikan aku topik utama entri tebarunya. Tanpa menyedari bahawa sebenarnya akulah blogger itu yang berpotensi untuk menulis tentang kejadian dramatik ini.

Gadis Sedih Terlupa Senyum (Take One)Where stories live. Discover now