Kamal menyiapkan segala peralatan kameranya. Bateri, wayar kabel, tripod, lensa, semuanya disusun rapi di dalam beg khas kamera. Semoga semuanya berjalan lancar, itu yang Kamal harapkan. Hari ini Kamal dan dua orang lagi rakannya telah merancang untuk menjalankan pengambaran filem pendek di sebuah tempat di hulu Selangor. Rancangan ini telah 3 minggu lebih mereka fikirkan, skrip dan jalan cerita semua Kamal telah siapkan. Apa-apa pun mesti Kamal, sebab dia ialah mastermind dan pakar dalam pemikiran serta penulisan skrip. Dua rakan Kamal, iaitu Fuad dan Rina hanya membantunya sebagai pelakon sahaja. Tiada pelakon lain, semua filem pendek Kamal hanya dibintangi oleh mereka berdua sahaja. Kamal, 27 tahun, amat obses dengan video dan filem pendek. Dia memilih untuk berkarya dengan gaya begini. Cuma hari ini Kamal mencipta kelainan sedikit berbanding filem-filem pendek yang dia pernah hasilkan. Hari ni dia bakal membikin filem bergenrekan, SERAM.
Mereka bertiga merancang untuk gerak sekali satu kereta. Kamal menjemput mereka di tempat yang seperti dijanjikan. Rina katanya akan menunggu di medan selera bawah appartmentnya, Fuad pula tunggu di pondok bas berdekatan taman perumahannya. Kamal seronok dan terhutang budi dengan dua orang sahabat baiknya ini. Mereka juga mempunyai minat yang sama sepertinya, kadang-kala idea-idea skrip yang bernas datang daripada mereka berdua juga. Cuma Fuad dan Rina tidak fasih sangat akan perkara-perkara teknikal seperti editing video dan penggunaan kamera. Tetapi mereka berdua seronok bekerjasama dengan Kamal, sekurang-kurangnya masa lapang terisi dengan benda berfaedah. Lagipun mereka bertiga sudah berkawan lama.
"Amboi, banyaknya bekalan makanan kau bawak. Nak piknik ke apa ni?" Kamal menyindir Rina yang sedang menjinjing beg plastik besar di kiri dan kanan tangannya.
"Haah, nak piknik. Aku malas lah nak dengar lagi rungutan-rungutan orang lapar dekat set. Itulah, inilah. Macam budak kecik. Sebelum makanan aku dibedal korang baik aku beli lebih." Rina 25 tahun, gadis jurusan MassCom yang baru lepas grad, membalas sindiran Kamal sambil meletakkan beg-beg plastik berisi makanan ringan di kerusi belakang. Kamal tersengih.
"Hahaha, rilek laa Rina. Ok jom kita pergi ambil Fuad." Kamal tekan minyak.
Oleh sebab Kamal telah menetapkan latar masa di dalam skrip adalah waktu malam, jadi selewat pukul 5 petang waktu yang sesuai untuk mereka bergerak ke sana. Tak jauh mana, cuma mereka mahu membuat persediaan awal. Sebelum ini pernah juga mereka membuat penggambaran pada waktu malam, tapi bukan cerita bergenre seramlah. Malam ini sahaja suasana itu pasti akan rasa lain sedikit. Tambahan pula set mereka malam ini adalah di sebuah kolej yang sudah lama terbiar.
"Mal, tak boleh ke kalau kita shooting kat tempat lain? Kau tau kan tempat-tempat yang dah lama terbiar ni kadang-kadang ada angkernya?" Fuad 26 tahun, pereka grafik freelance. Sedang membelek-belek kertas skrip di kerusi belakang.
"Eishh, sangat cabul mulut kau hari ini Fuad. Jangan risau, tak ada apalah. Lagipun kita bukan nak pergi shoot dalam kolej tu sangat pun, shoot dekat-dekat lobi dan perkarangan dia je. Ok ye?" Kamal yang sedang memandu meyakinkan Fuad.
"Watak kau takpe lagi Fuad, aku ni ha, watak aku kena jadi Hantu. Ada ke pulak awek cun melecun macam aku ni disuruh jadi hantu!" Rina berseloroh, diikuti gelak tawa berderai daripada Fuad dan Kamal.
.................................
Tepat jam 6.30 petang waktu tempatan mereka tiba di lokasi penggambaran. Kereta mereka diparkir di tepi pondok pengawal yang juga sudah terbiar. Pintu pagar besi sudah tertanggal, seperti ada bekas-bekas orang yang telah mencurinya untuk dijual di kedai besi buruk. Dihadapan mereka kini tersergam bangunan kolej yang jika dikira ada 5 buah blok kesemuanya. Usang, terbiar, dan menyeramkan. Tidak tahu apa yang bakal ada di dalam, mungkin 'penghuni-penghuninya' agak seronok malam ini kerana mereka ada tetamu.
YOU ARE READING
"Dia"
ParanormalDia, atau kata nama diri lain, Mereka. sentiasa ada dimana mana. Beza, mengusik atau mengacau sahaja. Dia ada golongan ciptaan Allah, namun berbeza dunia. Hanya mampu dilihat melalui pancaindera ke enam. Sebenarnya peraturan Mereka senang. 'Kau t...