Senah berendam air mata sejak anak dara suntinya lari dari rumah tiga bulan lalu. Rumah peninggalan arwah suaminya untuk mereka dua beranak mula terbiar. Duit berubat dah banyak habis, tapi Senah tak putus asa mencari dukun sampai ke ceruk sempadan. Dia hanya mahu Lela kembali ke pangkuannya.
"Aku tahu dia ada kat mana," kata tok dukun itu dari dalam kelambu kusam di ruang bilik gelap berbau kemenyan dan minyak urut.
"Bawaklah dia balik tok!" beria-ia Senah merayu sambil menyembah kaki katil.
"Tapi ada syaratnya: bila anak kamu dah balik, kamu tak boleh halau dia lagi," tegas sahaja amarannya di sebalik kelambu. "Dia akan balik malam ni. Kamu tunggu"
Malam itu Senah berguling-guling di atas katil macam kucing nak beranak. Berdebar-debar dia menunggu Lela memanggilnya di luar rumah. Senah akhirnya tidur-tidur ayam di dalam kelambu ketika namanya dipanggil.
"Mak, Lela ni. Lela dah balik. Boleh ke Lela masuk?"
Senah menggelupur ingin keluar dari kelambu membuka pintu depan rumahnya ketika dia ternampak Lela di hujung katil, separuh badannya bogel dan reput, wajahnya hanya tengkorak bersalut cebisan daging dan beberapa helai rambut. Busuknya bukan kepalang.
"Mak tak nak ajak Lela masuk?"
ANDA SEDANG MEMBACA
#certotCP ~ koleksi
ParanormalC O M P L E T E D Dalam jargon indie, 'certot' bermaksud 'cerita kontot'. Hashtag #certotCP bermaksud 'cerita kontot creepyposta' yang dibantutkan menjadi dua-tiga ayat padu. Seramnya tak banyak - tapi cukup untuk buat awak tengok bawah katil dua ka...
