BAB 1

3 0 0
                                    

Fixora berlari dengan tangkas lalu memanjat pokok-pokok yang tinggi ke langit. Dia duduk di sebatang dahan yang kukuh. Dari jauh Fixora melihat pembangunan pesat Amania. Dia berangan-angan ke sana. Dia teringin sekali mencari teman. Selama ini hidupnya tidak berteman. Dia juga mungkin tidak memahami erti persahabatan.  Yang bersama di sisinya ialah Kanna, ibunya. Fixora tidak faham mengapa ibu tidak membenarkan dia ke Kota Amania. Fixora juga rakyat jelata Amania, dia juga punya hak untuk duduk di sana.  Fixora termenung melihat Kota Amania yang indah itu.

            “Hakikatnya aku gadis pokok.” Cakapnya sendiri. Terpaksalah dia menukilkan angan-angan di lubuk hati untuk menjejaki Kota Amania. Fixora melihat sebuah menara tersergam indah berdekatan sebuah gunung di sana. Menara itu bersinar dari jauh. Hati kecil Fixora membuat beribu andaian. Mungkin ada permata, mungkin juga emas, mungkin berlian, mungkin kaca, mungkin mutiara dan pelbagai mungkin yang diandainya tatkala melihat menara itu. Fixora menitipkan azam untuk pergi ke menara itu suatu hari nanti apabila Kanna mengizinkannya.

            Angin bertiup menerbangkan daun-daun yang gugur dan sudah layu. Fixora suka keadaan itu. Tenang dan nyaman. Lalu dia melompat ke tanah. Fixora menepuk-nepuk seluarnya. Kulit-kulit pokok tertanggal. Lalu dia berjalan menuju ke rumahnya. Dia melihat Kanna tercegat di pintu rumah.

            “Ibu.” Panggil Fixora seraya berlari ke arah Kanna. Dia mendakap manja Kanna. Kanna membelai rambut anaknya.

            “Ixo ke mana tadi? Ibu panggil, Ixo tiada menyahut.” Kata Kanna risau. Bukan selalu Fixora berkelakuan begitu tetapi sudah berkali-kali. Namun, Kanna juga tidak pernah penat bertanya perihal yang sama. Fixora meleraikan pelukan kemudian masuk ke dalam rumah. Dia menghenyakkan punggung di atas kerusi kayu rumah.

            “Ibu takkan tidak tahu. Ixokan suka menjelajah hutan. Panjat pokok, tengok Kota. Angan-angan dan itu saja ibu.”

            “Ixo masih lagi rupanya berangan ke kota. Lupakan saja nak. Di sana bahaya, hutan ini pun apa kurangnya. Angin segar. Sunyi. Di sana bising. Manusia berpekikan.” Terang Kanna. Fixora menarik muka masam.

            “Itu saja ibu katakan. Sekali-sekala ibu bawalah Ixo ke sana. Ixo teringin ibu. Apalah nasib dapat tengok dari jauh saja.” Fixora menyuarakan keluhan. Dia teringin benar untuk ke kota Amania.

            “Anak ibu yang jelita. Nanti ada teruna yang cuba menyakitimu. Ibu khuatir.” Kanna memberikan alasan sambil menghampiri anaknya lalu diusap ubun-ubun anaknya. Fixora masih merajuk. Kakinya menguis-nguis lantai rumah.

            “Yalah, nanti ibu bawa ke kota. Ixo bersabarlah dahulu. Sekarang ibu sangat sibuk mengubat orang.” Kanna memujuk anaknya. Fixora tersenyum melihat Kanna.

            “Itulah yang Ixo mahu ibu. Janji ya ibu. Ixo tunggu.” Fixora tersenyum bahagia. Kanna membalas senyuman anaknya namun jauh di sudut hati dia berasa sungguh risau. Dia risau kalau-kalau pembesar Amania dapat menghidu bahawa Fixora adalah keturunan Raja Zenos. Pasti Fixora akan dibunuh. Kanna mengingatkan dirinya terhadap peristiwa 21 tahun dahulu.

            “Hari ini kita sudah boleh membina hidup baharu. Kejahatan dan kegelapan selama lima tahun sudah berakhir. Kota Amania kita bangunkan semula. Kukuhkan negara kita! Bina akhlak rohaniah. Kuasa gelap akan bangkit jika kita semua sudah hilang nilai, tiada kesatuan, saling menjatuhkan. Ingat pesan terakhir enam pahlawan nafsi, tidak bererti kuasa gelap sudah lenyap selama-lamanya. Buktinya, pedang kegelapan iaitu pedang Livios milik Raja Zenos tidak dapat dimusnahkan dan ia masih terpacak di tanah suci gunung Naf. Tidak ada dalam kalangan rakyat Amania mahupun Raja Aziz sendiri dapat mencabutnya. Ini semua menyebabkan tanda tanya apakah kuasa gelap mempunyai waris? Kita semua tidak tahu. Oleh itu, barang siapa yang mengetahui akan hal ini maka hadapkan dia ke hadapanpaduka Raja Aziz untuk dihapuskan.” Umum Pembesar Diraja, Panglima Setia Rejawan. Rakyat jelata mulai risau. Semenjak dari hari itu, semua rakyat jelata diperiksa asal usul keturunannya. Rakyat jelata juga disuruh menyentuh batu kristal Amania yang dapat mengesan aura kegelapan dalam diri seseorang manusia.

MALAM BERKUASAWhere stories live. Discover now