IV - 18 Jun

7.1K 797 92
                                    

Bab ketiga(III) diturunkan untuk diangkat sebagai hak cipta oleh syarikat penerbitan lain. (:

----------------------------

APABILA waktu rehat hampir tamat, sekumpulan kanak-kanak berusia 7 tahun berjalan keluar dari kantin, menuju ke kelas mereka.

"Korang tahu tak, tak lama lagi hari apa?" Soal si rakan yang pertama secara tiba-tiba.

"Tahu! Hari Bapa!" Balas rakan yang kedua dan ketiga dengan teruja.

"Korang ada kejutan tak untuk ayah korang?" Soal rakan yang ketiga pula kemudian.

"Mestilah ada! Kami satu keluarga nak pergi bercuti ke Langkawi dan sambut Hari Bapa di sana!" Balas si rakan yang pertama sekali bersoalkan hari itu tadi.

"Wah! Bestnya! Kami adik beradik nak buatkan kek untuk ayah kami! Yang paling sedap dan yang paling enak!" Kata rakan yang kedua.

"Kitorang pula nak buat makan-makan kat restoran paling mahal! Kat sana ada persembahan khas untuk ayah kitorang! Lagu kegemaran ayah!" Ujar pula rakan yang ketiga dengan bangganya.

"Wahhh! Mesti seronok!"

Si kecil yang sedari tadi hanya mengukir senyuman tanpa menyampuk perbualan mereka terus ditegur.

"Kau macam mana?" Soal si rakan.

"Hmm?" Soal pula si kecil itu.

"Iyalah. Kau cuma diam dari tadi. Apa yang kau rancang untuk Hari Bapa nanti?" Soal yang lain.

Si kecil jeda seketika sebelum dia tersipu-sipu menjawab.

"Aku rasa, aku nak belikan ayah bunga. Yang cantik." Katanya, polos.

"Bunga?" Soal rakan yang ketiga.

"Kau nak beri ayah kau bunga?" Soal rakan yang kedua pula.

Si ketiga-tiga rakan itu berpandangan sebelum ketawa kuat.

"Kenapa?" Soal si kecil itu, keliru.

"Jangan buat lawaklah! Mana ada orang bagi bunga untuk lelaki!" Kata rakan yang pertama dalam tawa kuatnya.

"Iyalah! Ayah kau lelaki, bukannya perempuan! Mana ada lelaki sukakan bunga!" Ujar rakan yang kedua.

Wajah si kecil itu terus berkerut seribu.

"Belilah benda lain! Bunga untuk perempuan je, tahu!" Kata rakan yang ketiga.

Si kecil itu hanya diam, membiarkan diri menjadi bahan ketawa rakan-rakannya tentang perihal bunga itu.

Mukanya ditarik masam tatkala itu, sebelum bahunya terasa ditepuk kemudian.

"Daripada kau belikan bunga, baik tak payah beli apa-apa. Mana ada lelaki suka bunga. Kau berilah benda lain untuk ayah kau!" Kata si rakan itu dalam tawanya yang masih kedengaran.

Si kecil itu hanya berdiam diri. Melihatkan dia begitu, rakannya yang lain menambah.

"Peliklah kawan kita ni! Entah apa yang dia fikir!"

Tawa masih kedengaran sambil mereka terus berjalan masuk ke dalam kelas, meninggalkan si kecil di situ.

Si kecil menghela nafasnya dengan terpalit wajah sedihnya.

"Apa salahnya belikan bunga?" Bisik hatinya sendiri.

Ayah memang lelaki, namun ayah juga tidak akan menolak bunga.

Dia kemudian menyeluk duit poket di dalam sakunya. Kepingan not itu dikira sambil dalam kepala ligat menghitung sejumlah wang di rumah yang disimpannya sejak dulu.

Senyuman diukir lembut kemudiannya.

"Tak apalah. Apa salahnya."

Lagipun, bukannya bungaan biasa yang dibeli, namun dia bercadang memberikan bunga-bunga yang mahal buat ayahnya.

Ayah pasti sukakannya.

--------------------

Hari Bapa menjelang tiba.

Di kedai bunga, si kecil mengeluarkan beberapa wang kertas dan menghulurkan kepada pekerja di kedai itu.

"Untuk siapa adik belikan bunga ni?" Ramah kedengaran pekerja itu bertanya setelah bunga-bunga itu usai dibalut cantik.

Si kecil tersenyum.

"Untuk ayah saya!"

Pekerja itu tersenyum juga.

"Untuk Hari Bapa?" Soalnya.

Si kecil mengangguk. "Hmm, hmm!"

"Kalau macam tu, akak belanja kad untuk awak, nak? Ucapan untuk ayah awak." Pelawa pekerja tersebut yang kemudian berlalu ke kaunter dan mencari-cari kad kecil yang bersesuaian.

"Ye ke? Percuma?" Soal si kecil.

Pekerja itu mengangguk. "Hmm! Khas untuk ayah awak!"

Kad itu terus dicari-cari. Sementelah kad itu diberikan kepada si kecil, budak itu tersenyum girang.

"Terima kasih, kak!"

Dia berjalan keluar sambil bunga-bunga itu dibelek dengan rasa seronok yang tidak terkata. Tidak sabar mahu bertemu ayahnya. Pasti si ayah sangat sukakan sejambak kecil bunga itu.

Apabila bertemu dengan ayahnya, Si Kecil mengukir senyuman tulusnya.

"Ayah, saya datang!"

Cukup tulus, menggambarkan betapa dia memaksudkan untuk menghadiahkan bungaan tersebut.

Jambangan kecil bunga itu diletakkan perlahan-lahan di atas pusara itu. Jari jemarinya kemudian menyentuh batu nisan tersebut.

Batu nisan itu dikucupnya lembut sebelum dipeluknya. Dengan seuntai ucapan,

"Selamat Hari Bapa, ayah."

Untuk si bapa yang telahpun meninggalkannya.

Home For Imperceptible LoveWhere stories live. Discover now