XIX - 15 Julai, Hari Jadi dan Diari Kecil

3.4K 328 29
                                    

APA itu sedih?
Apa itu sakit?
Apa itu pedih?

Bagi dia, itu semua adalah frasa-frasa yang tak wujud, sekiranya dia dapat faham setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Entri #24

"Dunia ini tiada yang indahnya, apalah sangat bandingannya selain di akhirat sana."

Itu adalah kata-kata dari cikgu kelas yang dipetiknya. Dan dia akan pegang itu, sampai bila-bila.

Ligat jemarinya menulis itu di dalam sebuah diari. Catatan peribadi miliknya, yang tak pernah diluahkan kepada sesiapapun.

"Diana, makan!"

Dengan segera buku itu ditutup sebelum langkahnya laju menuju ke pintu dan melangkah turun untuk menikmati sarapan pada pagi itu.

Rutin hariannya hanyalah berjalan secara biasa. Tiada yang lainnya daripada yang orang lain.

"Hei, Diana! Selamat pagi!"

Senyuman terukir. Tangan diangkat separas bahu.

"Hai!" Balasnya.

Dia ada semuanya. Keluarga, rakan-rakan, pelajaran, duit, sekolah yang hebat. Yang acapkali menjadi perbualan orang ramai kerana kemewahannya itu. Tak lupa juga, kerana sikap peramah dan suka tersenyumnya.

"Diana, tengok ni! Ini pelembap bibir kakak aku bagi! Cantik tak?" Soal rakannya.

Dia mengangguk bersetuju. "Hmm. Cantik sangat."

"Sinilah, aku pakaikan untuk kau. Biar muka jadi lagi cantik!"

Gadis itu hanya tersenyum lebar. Menyuakan bibirnya untuk dioles pelembap bibir milik rakannya itu.

"Tengok! Lawa, kan?"

"Hmm!"

Melihat wajah rakannya yang teruja itu, dia tersenyum manis.

Entri #27

Selalu aku lihat mereka di sana, kawan-kawan seusia aku yang gemar berdandan. Mungkin pemikiran mereka macam orang tua, tapi bagi aku itu satu keistimewaan.

Hei, aku pun akan jadi cantik satu hari nanti. Macam mereka.

Aku kan Diana? Puteri Diana :)

Ketika loceng berbunyi, dia bergegas pulang ke rumah. Tak langsung mempedulikan ajakan teman-temannya untuk menghabiskan masa bersiar-siar setelah habis kelas itu.

"Kau serius tak nak ikut? Esok kan cuti?" Soal rakannya.

Dia menggeleng pantas. "Maaf, ya! Hari ni kena balik awal. Ada hal yang kena diuruskan." Senyuman diukir girang dalam lembut, tanda memujuk.

"Kau tak pernah pun luang masa dengan kami semua."

"Yalah. Bosan kalau kau tak ada, tahu."

Dia tertawa kecil. "Maaflah! Lain kali, ok?"

Jalan terus diatur berganjak pergi. Tak mahu dihujani pelbagai persoalan lagi.

Di rumah, sementelah pintu dibuka, dia sudah terdengar laungan namanya dipanggil. Tanpa berlengah, dia terus meletakkan beg di dalam bilik lalu menyinsing lengan baju sekolah separas siku sebelum dia berdiri, meredakan nafasnya yang masih kencang kerana penat berlari tadi.

Rutin harian di rumahnya bermula. Dan untuk hari ini, dia tidak akan membuang masa.

Harus menghulurkan bantuan di dapur, semampu dan sedaya mungkin.

Entri #30

Aku ikhlas membantu. Jujur, aku ikhlas akan semuanya. Sebab cuma ketulusan hati yang dapat menandingi sekejam apa pun dunia ini.

Home For Imperceptible LoveWhere stories live. Discover now