Aisyah ialah seorang pelajar yang berdedikasi. Dia telah dilantik oleh pengetua sendiri untuk menjadi ketua pelajar perempuan pertama dalam sejarah SMK DONAT. Aisyah merupakan anak sulung daripada 10 orang adik beradik. Disebabkan oleh keadaan keluarganya yang miskin, dia terpaksa bekerja untuk membantu ibu bapanya. Namun, perkara tersebut tidak menghalang Aisyah untuk terus mengejar cita citanya menjadi seorang penulis yang terkenal.
Aisyah mempunyai seorang sahabat baik yang merupakan anak orang kaya bernama Sofea. Kekayaan keluarga Sofea boleh dianggap melebihi kekayaan Dato' Seri Vida. Suatu hari, pada hari ulang tahunnya yang ke-17, Sofea telah menghadiahi Aisyah sebuah buku. Aisyah sangat terharu dengan pemberian sahabatnya itu dan dia melompat kegirangan. Apabila dia membuka balutan hadiah bercorak logo EXO iaitu k-pop boygroup kegemarannya yang membaluti buku itu, alangkah terkejutnya dia apabila melihat tajuk buku yang tertera pada muka hadapan buku itu iaitu '99 Kata-kata Fattah Amin'.
Aisyah menangis terharu lalu memeluk sahabatnya yang sudah lama memerhatikan reaksinya selepas menerima buku itu. Sofea tahu, bahawa Aisyah merupakan peminat tegar Fattah Amin, pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu. Aisyah memusingkan buku itu untuk melihat harganya. Dengan muka terkejut beruk dia berkata, " RM 58??! Wei, mahalnya buku ni! Kenapa kau beli buku ni? Membazir duit je.. Lebih baik kau beli buku yang lebih bermanfaat untuk diri kau sendiri atau beli makanan, lagi berfaedah," "Takpe la.. sekali sekala belanja kau, apa salahnya. Lagipun harini kan birthday kau, jadi ambik je la pemberian daripada aku ni." Sofea berkata. "Tapi a..aku-" belum sempat dia menghabiskan kata katanya Sofea memotong, "Aisyah, takpe.. kau kan sahabat aku, jadi buku ni tak bernilai nak dibandingkan dengan pengorbanan kau selama ni. Kau selalu ada di samping aku masa aku sedih dan perlukan pertolongan," kata Sofea sambil tersenyum memandang sahabat kesayangannya itu. Aisyah membalas senyuman itu dengan senyuman yang tawar lalu berkata "oklah kalau itu yang kau nak, aku akan terima buku ini." Sofea melompat tanda gembira dan ketawa mengilai seperti langsuir, atau lebih tepat 'gila'. Dia ketawa melihat telatah sahabat kesayangannya itu.
Apabila sampai di rumah, Aisyah terus mengambil buku yang diterimanya itu lalu membelek halaman demi halaman. "Hmm.. penuh dengan selfie je, tapi takpe lah yang penting dapat tengok muka Mr. Pilot kesayangan.. hahaha" bisiknya dalam hati. Sedang Aisyah membelek belek halaman buku itu dia ternampak 5 baris ayat yang tersusun rapi tertulis,
"Aku dulu selalu berangan nak gi KLCC nak bawak kereta aku sendiri dan parking Valet. Ternyata kini telah termakbul hahaa...kelakar kan."
Aisyah ketawa terkekeh membaca ayat yang ditulis itu. "Haishh.. ada-ada saja telatah Mr. Pilotku ni" bisiknya sendirian. "Patutlah ramai kawan-kawan di sekolah bercakap tentang buku ini, rupa rupanya isi kandungan buku yang berharga RM58 ini hanyalah gambar selfie dan kata-kata Fattah Amin yang terdiri daripada 5 baris ayat sahaja.. Hahahah."
Tetapi, entah mengapa Aisyah membaca ayat itu berulang ulang kali sehingga dia boleh menghafal ayat tersebut. Aisyah tersedar, rupa rupanya di sebalik 5 baris ayat itu terdapat banyak isi tersirat yang terselindung. Tanpa disedari, dia telah menjadikan kata-kata Fattah Amin itu sebagai inspirasi hidupnya untuk mencapai cita cita yang diidamkannya. Pengajaran yang dia dapat adalah, kita perlu berusaha bersungguh sungguh untuk mengecapi impian kita walaupun hanya ingin pergi ke KLCC dengan kereta sendiri dan parking Valet sekalipun.
Aisyah mula belajar dengan gigihnya sejak hari itu. Dia sering dipuji oleh guru gurunya di atas pencapaiannya yang bagus. Aisyah sering mendapat pengiktirafan dalam pertandingan menulis yang dianjurkan oleh pihak sekolah mahupun di luar sekolah. Kini, 5 tahun sudah berlalu dan dia telahpun menjadi salah seorang penulis buku best-seller di Malaysia. Dia juga berjaya mengubah kondisi kehidupan keluarganya. Ibu bapanya juga amat berbangga dengan dia. Mereka hidup dengan selesa akibat kegigihan Aisyah dalam mencapai cita citanya. Aisyah bahagia dengan kehidupannya, dia berterima kasih dengan sahabatnya, Sofea kerana telah menghadiahkannya buku 99 Kata-kata Fattah Amin itu. 'Terima kasih sahabatku, kaulah pendampingku dunia dan akhirat' jeritnya di dalam hati.