Bab 13

1K 25 0
                                    

"Buka pintu ni, Mas!"

Jeritan Jebat di luar tandas tidak dipedulikan. Mastura meletakkan beg tangan di atas singki. Paip air dibuka lalu dia membasuh muka semahunya.

"Tak nak!"

"Aku kata buka, Mas! Keluarlah..."

"Tak nak!!!"

Mastura teresak-esak. Apa sebenarnya yang berlaku masih belum jelas. Dia sepatutnya melalui saat indah perkahwinan bukannya terperangkap dalam kejadian yang tak dijangka seperti itu.

Ini bukan alamat perkahwinan yang dia impikan. Dia tahu dalam rumah tangga mesti ada pahit manisnya tetapi bukan yang sebegini dia mahukan. Dah hidup seperti pelarian dan orang jahat muncul entah dari mana dan arahan siapa? Apatah lagi mereka mahukan suaminya mati.

Siapa mereka tu yang sesuka hati nak bunuh suaminya? Sudahlah dia baru saja berkahwin, sekarang ada orang nak jadikan dia janda pada usia yang semuda ni?

Dia rasa sakit hati memikirkan semua masalah yang sedang dia lalui ketika itu.

Lihatlah dirinya di mana? Di dalam tandas yang berbau busuk dan kotor. Dan di luar tandas suaminya sedang merayu supaya dia membuka pintu sedangkan dia masih dalam dilema memikirkan setiap kejadian yang berlaku.

Ada orang yang mahu membunuh suaminya tapi kenapa? Suaminya bukan sesiapa pun!

Hanya seorang lelaki biasa yang bekerja di kolam ikan. Kalau pun datang daripada keluarga berada sekalipun, Jebat tetap lelaki yang tak punya apa-apa. Orang baik seperti Abang Jebat, kenapa pula ada orang tergamak nak bunuh?

"Mas... Tolonglah, jangan buat aku macam ni... Bukalah pintu ni. Kita bincang elok-elok. Kau janganlah emosi sangat, Mas..."

Rayuan Jebat masih tidak dipedulikan. Mastura menatap wajahnya di cermin. Dia menyeka air matanya.

Tak ada yang perlu disesalkan dalam perkahwinannya. Sejak awal lagi dia yang berdegil mahu mengahwini Jebat sedangkan lelaki itu sendiri pernah menolaknya mentah-mentah.

Tak kira apa pun yang terjadi, dia perlu hadapi. Persoalannya, siapa Jebat sebenarnya?

Dia yakin, apa yang berlaku memang tidak ada kaitan dengan status suaminya sebagai seorang pekerja di kolam ikan!

"Mas..."

Dum! Dum! Dum!

Jebat dah mula ketuk pintu tandas. Kalau kesabaran suaminya hilang, mungkin pintu tandas itu akan dipecahkannya.

Mastura menutup paip. Dia betul-betul tak selesa berada di dalam tandas yang busuk itu tetapi berdepan dengan Jebat yang berahsia dengannya lebih menyakitkan hati.

"Mas kecil hati dengan abang!" jeritnya agak kuat.

Mastura masih berdiri di hadapan pintu yang tertutup rapat. Dia menanti reaksi Jebat di luar tandas itu.

"Alah, Mas... Boleh tak kau jangan merajuk belakang pintu ni? Keluar ajalah. Dalam tu busuklah. Kat luar ni udara lagi segar tau."

"Oh... Mas merajuk sikit pun tak boleh... Tapi abang tipu Mas boleh pula?"

"Mana ada aku tipu! Cakap, apa yang aku tipu?"

Mastura gigit bibir. Memanglah Jebat tak menipu tapi menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya sama aja dengan menipu!

"Abang tak jawab pertanyaan Mas... Abang sembunyikan sesuatu daripada Mas... Sama ajalah dengan menipu."

Suara Mastura begitu perlahan. Hampir kedengaran seperti mengeluh.

JEBAT (Diadaptasi Dari Filem)Where stories live. Discover now