Bab 6

1.5K 27 0
                                    

Jebat membantu pemandu teksi memasukkan luggage ke dalam teksi. Sesekali dia mengerling Mastura yang sedang berbicara melalui telefon dengan seseorang.

Jebat mengeluarkan tiket penerbangan dari saku jaket yang dipakainya. Sebentar lagi mereka akan menaiki penerbangan untuk pulang ke Malaysia. Bukan dia sengaja tidak mahu meneruskan percutian tetapi mengenangkan ada perkara lebih penting perlu didahulukan, dia terpaksa mengecewakan harapan Mastura.

"Mas, cepat masuk."

Jebat mengarahkan Mastura masuk ke dalam teksi. Sudah masanya mereka bertolak ke lapangan terbang.

Jika tidak menepati waktu, bimbang pula mereka terlepas penerbangan.

Mastura mengisyaratkan Jebat menunggu sebentar. Dia sedang berbicara dengan Mak Awa supaya memberitahu keluarganya bahawa dia dan Jebat dalam perjalanan pulang ke Malaysia. Walaupun dia kecewa dengan keputusan suaminya itu, sebagai isteri dia perlu akur dengan kata suami.

"Eh, cepatnya kamu berdua nak balik. Kenapa?" tanya Mak Awa di hujung talian. Nada suara wanita itu jelas menunjukkan bahawa dia terkejut.

Mastura faham pembantu rumah tok ayahnya itu berasa pelik dengan perkhabaran itu. Usahkan Mak Awa, dia sendiri pun hairan dengan keputusan Jebat yang mahu pulang segera.

Sejak sampai ke Prague, segalanya serba tidak kena. Dia pun rasa dah tak ada hati nak meneruskan percutian itu.

"Entahlah, kalau ikutkan Mas, rasa macam nak tinggal terus aje dekat sini, Mak Awa," jawab Mastura sambil memandang ke arah Jebat yang sudah bercekak pinggang di sisi teksi.

Dia buat tak tahu saja. Biarlah Jebat nak marah sebab dia berlengah. Ingat senang nak tinggalkan tempat secantik Prague?

"Habis tu, kenapa nak balik pula? Bercutilah lama lagi." Suara Mak Awa begitu lembut dalam talian.

Selain kakaknya, Mak Awa juga dianggap seperti ibu kandungnya sendiri. Dia kehilangan ibu sejak dia kanak-kanak lagi. Pembantu rumah itu sudah menjadi tempat dia menumpang kasih.

Entah kenapa tiba-tiba dia rasa sedih. Mungkin kerana dia sedikit kecewa dengan percutian yang tak seperti diharapkan.

"Mas pun tak tahu nak cakap apa... Mak Awa kena tanya Abang Jebat sendiri bila kami sampai nanti. Dia yang beria-ia sangat nak balik. Dia ada beritahu yang Uncle Bujang sakit.

"Teruk ke sakitnya?"

"Abang Jebat tak beritahu pula serius ke tidak. Tapi Mak Awa, takkanlah ahli keluarga sakit kami nak berseronok pula kat sini?"

"Betul la tu... Tak apalah, Mas. Nanti Mak Awa beritahu Tan Sri dan Hannah pasal hal ni. Jaga diri, ya? Mak Awa doakan perjalanan kamu berdua selamat. Nanti dah sampai, beritahu kami, ya?"

"Eh Mas, kau nak balik ke tak ni? Kalau tak nak, aku tinggal aje kau dekat sini!"

Jebat sudah tayang muka marah. Suaranya pun dah makin kuat seperti berteriak.

Mastura rasa sudah masanya dia menamatkan perbualan itu.

"Okeylah Mak Awa, Abang Jebat dah panggil tu, kami dah nak ke airport ni. Kirim salam kat semua. Bye."

Mastura mematikan talian selepas memberi salam kepada Mak Awa. Dia menghampiri Jebat. Kemudian, dia terus masuk ke dalam teksi yang pintunya sudah dibuka oleh Jebat.

"Mas tak faham kenapa kita kena balik juga," protesnya.

Mastura tahu dia tak sepatutnya cakap begitu memandangkan Uncle Bujang bukanlah orang jauh. Lelaki itu orang yang telah membesarkan Jebat dan menjaga suaminya itu sejak menjadi yatim piatu.

JEBAT (Diadaptasi Dari Filem)Where stories live. Discover now