[30 Rajab 1438H]

152 7 4
                                    

Abang Qayyum berada di tengah-tengah, dah macam pengerusi mesyuarat yang setia pada kerusinya, memerhati gelagat anak-anak buahnya.

"Kamu tahu tak, menipu ni berdosa? Tak takut dosa ke?" itulah dia kata-kata yang dihamburkan oleh seorang abang fasi berpengalaman.

"Ish, aku pantang betul dengan orang yang suka menipu ni! Eei, rasa macam nak bagi je!" Seorang lagi abang fasi bersuara dengan penuh emosi.

Tertunduk, takut budak itu dengan esakan-esakan yang sudah bermula sejak 14 minit yang lalu. "Eh, kau angkat muka kau tu! Pandang aku. Pandanglah sini.. eei, budak ni karang.." sambil dagu budak tersebut ditarik-tarik.

Abang Ali, seorang abang fasi yang paling lembut sekali sifatnya, turut tewas dalam suasana yang samar-samar itu. Matanya merenung tajam ke arah budak itu seakan-akan tembus beribu batu jauhnya, terzahir tanda-tanda kebencian pada cara pandangnya. Mujur mulutnya terkatup rapat, barangkali sedang menahan marah.

Abang Aiqal masih gigih menggunakan segala modal teknik psikologi yang dipelajarinya. Setelah menggunakan teknik dosa-neraka, 'digoreng' pula dengan melibatkan mak ayah, "kamu tahu tak, mak ayah kamu hantar kamu kat kem ni supaya kamu berubah? Tapi abang tengok makin menjadi-jadi pula ni, sampai jadi kes. Apa nak jadi kamu ni.."

"Eh, kau angkat muka kau tu! Pandang kitorang ni, kitorang cakap dengan kau ni." Abang Firman tidak henti-henti melayan budak itu macam bapak penjenayah. Pening Abang Qayyum memikirkan, hina sangatkah budak Hakim tu sampai diherdik sebegitu rupa?

"Astaghfirullahal'azim​. Ini semua merepek! 3 lawan 1, dalam gelap pula tu. Ini bukannya bilik soal siasat. Kem pun ada berbaki 2 hari lagi, bukannya dah hari akhir sampai nak jatuhkan hukuman. Entah ilmu fasi macam manalah yang mereka ni belajar."

Begitulah getus hati Abang Qayyum. Sentiasa fikir pasal nasib orang lain seolah-olah dia berada di tempat Hakim. Abang Qayyum sememangnya seorang yang sangat empati dan cepat memahami orang lain, itulah kelebihannya.

"Sudahlah tu, sudah.. beginilah. Dengan kuasa Ketua Fasi yang diamanahkan kepada saya, saya fikir biarlah saya yang uruskan perkara ni. Dah sejam lebih kita kat meja ni, bergelap-gelap, meninggi suara. Kesian dia. Budak-budak lain kat atas tu pun tak jadi tidur, mengintai-ngintai kat tingkap tu dengar suara kita."

Akhirnya, Abang Qayyum bertindak juga setelah lama menyepi macam pokok hiasan atas meja kayu di depannya. Tidak sekali pun, sama ada Abang Aiqal, Abang Ali, mahupun Abang Firman merujuknya dan menghormati Abang Qayyum yang merupakan Ketua Fasi yang sejak awal berada di situ.

"Hakim, jom ikut abang. Kita duduk kat sofa tu," dicapainya tangan budak itu sementara tangan yang sebelah lagi memegang bahunya, lalu dipimpinnya ke sofa yang terletak di tepi stor bawah tangga bangunan Madrasah tu.

"Dah lah tu, takyah nangis-nangis dah," Abang Qayyum memujuk. "Tapi bang, isk..isk.. saya jahat bang, saya menipu bang, saya..saya.. buat dosa, saya ni keji. Isk..isk.." budak itu masih lagi menangis, tersengguk-sengguk meneruskan esaknya. Hingusnya yang meleleh dibiarkan saja turun mengalir dari hidungnya. Sudah tidak kuasa dia mempedulikan apa yang berlaku pada dirinya.

"Sudahlah tu. Kan abang ada ni, abang ok je. Meh sini muka kamu tu," dilipat tangannya di belakang bahu Hakim, lalu dicapai hidung budak itu dan dibersihkan mukanya daripada cecair-cecair yang melekit. Itulah cara yang paling mudah dalam posisi sebelah-menyebelah di atas sofa.

Betul-betul kelihatan seperti hubungan kasih sayang antara seorang abang dan adik. Ketenangan abang fasi itu dalam meredakan emosi Hakim yang diseksa sebentar tadi mengundang keanehan dalam kepala Hakim.

"Isk..isk.. kenapa abang buat macam tu bang.. abang tak geli ke..hingus..isk. Saya ni jahat bang, kotor, saya buat.. isk.. dosa bang. Abang tak patut duduk dekat saya bang, isk..isk.."

Hakim masih tidak dapat mengembalikan pertimbangan waras, berterabur susunan katanya. Konfrontasi daripada 3 abang fasi tadi sungguh memberi kesan yang mendalam kepadanya.

"La ilaha illallah. Dah-dah lah tu. Kalau abang boleh buat macam ni, maksudnya abang boleh terima kamu, abang dah maafkan kamu. Hingus ni apalah sangat, kejap lagi boleh basuh. Kamu tu cuba tarik nafas perlahan-perlahan, lepas tu hembus. Maafkan diri kamu tu dulu. Ni sampai dah nak kering dah hingus kat tangan abang ni," bimbing Abang Qayyum.

Bidang kaunseling yang diambilnya di kampus memang sangat sesuai dengan dirinya. Langsung tidak nampak tanda-tanda lakonan atau ingin memanipulasi orang sesuka hati. Sungguh ikhlas dan asli.

Hakim sudah mula dapat bernafas dengan betul. Inilah sesi memujuk yang paling lama yang pernah dilalui oleh Abang Qayyum. Kemahiran rasional begini memang sukar dijumpai di mana-mana.

"Tapi bang, kenapa abang baik dengan saya bang? Semua orang benci saya, saya ni penipu. Abang pun patut tak suka saya bang." Sayu suara Hakim tetapi masih lagi diselubungi aura negatif.

Geram pula Abang Qayyum mendengarnya. Abang-abang fasi merepek, budak ni pun merepek. Dah macam berjangkit-jangkit pula gejala merepek ni. "Ahh, suka hati abang lah. Abang pilih untuk maafkan kamu, kisah apa pasal orang lain?"

Dibetul-betulkannya baju Melayu Hakim itu dengan satu lagi tangannya, yang kiri. Panas betul suhu pada malam itu. Terbit manik-manik peluh dari rerambut mereka, lalu meluncur ke bawah dagu.

Memang patutlah, sebab tiada kipas di bawah tangga itu.

"Dah. Sekarang ni abang nak kamu janji dengan abang, jangan menipu lagi. Betul, berbohong dan berdusta tu memang berdosa. Jadi, kejap lagi kita pergi buat solat Taubat. Nanti akan datang, kalau tiba-tiba kamu terlepas cakap, tak sengaja menipu lagi ke, abang nak kamu terus cari abang."

Kepercayaan sedang dibina di situ, dan ia mesti dibina dengan penuh keyakinan. Abang Qayyum meneruskan lagi jambatan hati ke hati, dipasakkan lagi dengan kukuh.

"Ingat tau. Pastikan abang adalah orang pertama yang tahu kalau kamu menipu. Boleh janji dengan abang macam tu?" Ketua Fasi itu meminta persetujuan, salah satu contoh teknik provokasi halus.

"Tapi bang, saya takut bang. Budak-budak ni dah bersedia dah nak kenakan saya bang." Hakim tiba-tiba gelabah. Tiba-tiba je. Seriuslah?

Perubahan atmosfera yang drastik sebegitu membuatkan suasana tidak semena-mena jadi kekok. Namun, Ketua Fasi itu kekal tenang.

"Budak-budak mana? Siapa yang ugut kamu? Cuba petik nama diorang. Kalau tak ada nama, tak payah fikir yang bukan-bukan. Sebab tu abang kata, kalau ada apa-apa, pastikan abang orang pertama yang tahu. Tak payah sorok apa-apa dengan abang. Kalau kamu faham, abang nak tengok kamu senyum sekarang," tegasnya.

Berkerut-kerut dahi Hakim. Tangan Abang Qayyum diangkat perlahan-perlahan ke muka Hakim untuk mengelap sisa-sisa air mata yang masih bertakung di hujung kelopak matanya.

Selesai sentuhan terakhir, maka terbitlah senyuman yang diharapkan. "Hah, kan comel tu. Sekarang pergi basuh muka tu, ambil wudhu terus, lepas tu minum air sikit sebelum solat."

Masing-masing pun bingkas bangun dari sofa. Abang Qayyum menuju ke dewan makan untuk mendapatkan segelas air, sementara Hakim berjalan ke tandas seperti yang diarahkan.

Aku Pemudah CaraWhere stories live. Discover now