Bab 4

3.7K 122 12
                                    


Puan Lina mengintai daripada ekor mata telatah si anak dara yang sedang duduk di atas sofa tanpa menanggalkan telekung yang dipakai sewaktu solat terawikh tadi. Selalunya apabila balik dari solat terawikh, pasti Fitri akan menghadap telefon pintarnya. Sibuk melayan karenah para pelanggan.

Malam ini pelik pula. Fitri hanya duduk diam di hadapan televisyen. Telefon pintar juga tidak kelihatan di tangan.

"Fitri,"

"Ya, mami?"

"Hang buat apa senyap je tu? Nak kata baca Quran, tv depan mata terpasang. Nak kata tengah tengok tv, telekung tak tanggai pun. Peninglah kepala mami tengok Fitri ni."

Fitri meraba kepala sendiri. Barulah tersedar yang telekung Siti Khadijah berwarna putih itu masih belum ditanggalkan. Cepat-cepat telekung ditarik keluar.

"Orang buat salah memang lagu tu, mami." Sampuk Fikri dan duduk menghimpit di sebelah Fitri.

"Buat salah apa pulak ni?" Semakin berkerut dahi Puan Lina memandang kedua-dua beradik itu.

"Kak Fitri pergi kunci..."

Belum sempat Fikri menghabiskan ayat, tangan Fitri lebih pantas menekup rapat mulut si adik.

"Puihhh! Dahlah tangan tu bau sambal belacan. Tak senonohlah akak ni!" Beria-ia Fikri menggosok mulutnya yang baru sahaja ditekup oleh Fitri sebentar tadi.

"Padan muka. Mulut pot pet mengalahkan jubuq ayam!" Balas Fitri selamba. Menyesal betul dia bercerita dengan Fikri. Dia terlupa yang Fikri dan mami takkan boleh berahsia. Umpama guni beras yang padat; sekali dicucuk dengan jarum tajam akan berterabur keluar. Fitri menggaru kepala yang tidak gatal. Haru-biru betullah peribahasa dia malam ni!

"Macam mana petang tadi?" Soal Puan Lina apabila teringatkan yang petang tadi Fitri pergi menghantar barang-barang rumah anak Datin Mariam a.k.a datin vogue menurut gelaran yang diberi oleh Fitri.

"Hah?"

Tanpa sedar Fitri menelan liur sendiri. Tanpa ditahan juga; kotak fikirannya kembali memainkan kesemua memori yang telah berlaku pada petang tadi. Terus dia teringat betapa menjengkelkan 'the one and only' anak lelaki Datin Mariam yang bernama Aidil Harith itu.

"IC." Aidil menghulurkan tangannya ke arah Fitri.

"Apa?" Soal Fitri. Dia ingatkan isu berkaitan dengan Mykad dia sudah tamat tadi.

"Selagi I tak tengok IC you, I takkan percaya. Zaman sekarang ni orang berniat jahat ramai daripada yang berniat baik." Tutur Aidil tanpa senyuman.

"Kalau saya tak nak bagi?"

"I report you kepada sekuriti sebab pecah masuk rumah I. Dahlah pecah masuk rumah I, you kunci pulak I dekat luar rumah. Apa yang jadi dekat luar rumah tadi, semuanya dirakam oleh CCTV." Balas Aidil. Dia cuba menyembunyikan senyuman apabila menyedari riak wajah selamba Fitri mulai berubah. Tahu takut!

Fitri pandang lama wajah sombong Aidil. Tiada tanda-tanda yang lelaki ini bergurau. Dia memandang Datin Mariam di sisi. Eh, mana perginya datin vogue ni? Anak mata Fitri mula meliar mencari kelibat Datin Mariam dan rupa-rupanya Datin Mariam sedang menyusun barang-barang dapur ke dalam kabinet sambil bernyanyi kecil.

Memang membantu sangat!

"Cepat!" Aidil mengeraskan nada suara.

Fitri mendengus kasar dan dompet dari dalam handbag dikeluarkan dan menarik keluar Mykad sebelum diserahkan kepada Aidil. Sebaik sahaja kad pengenalan dirinya bertukar tangan, Aidil merenung lama Mykad miliknya sebelum mengerutkan dahi memandang dia.

Raya = Aidil + Fitri! (Adaptasi ke Drama Mulai 14 Mei 2018, Astro Oasis 9 mlm)Where stories live. Discover now