SISOFROMATEM

44 1 0
                                    




Oleh: Adam Taufiq Suharto

       Bulan mengintai kawanan lipas yang terbang di celah-celah dinding usang universiti subsidi kerajaan. Seekor lipas merayap keluar dari kelompoknya hingga sampai ke salah sebuah rumah felo kolej. Dia terlihat sebuah kotak bercahaya yang memaparkan imej bergerak. Televisyen. Rancangan TV ketika itu adalah rancangan 'Merayau-merayau buru makanan.' Dia melihat seorang lelaki Tionghoa di kaca televisyen mula menjamu sate lipas di Thailand.

       "Fantastik! Rasa epal!"

   Si lipas mula mengalihkan pandangan ke bulan. Dia mula berteki-teka, bagaimana spesisnya boleh dijamu sedangkan di sini, dirinya dianggap kotor, keji. Bulan tak memberikan respon apa-apa. Bulan seperti biasa cuma menjadi mengintip paling tegar waktu malam.

       Si lipas merayap lagi ke rumah yang lain. Dia tetiba berhenti, bila melihat seorang gadis sunti. Gadis yang sedang merapi rambut lembut. Bibirnya kemerah-merahan. Si lipas cuba mendapatkan gadis itu tapi tingkap tutup. Si lipas terhantuk dan jatuh ke tanah.

        Dia terus memandang bulan. Masih teringin bersoal-soal dengan bulan. Baginya, kewujudan bulan sangat baik di sisi manusia, ia menghadiahkan malam kepada manusia. Ia menjadi lambang, ini waktu untuk manusia berehat.

      Tidak seperti si lipas. Dia merasakan, kewujudanya tak ubah seperti  kewujudan syaitan, jin mahupun nenek kebayan. Antagonis kepada manusia. Dia sering dianggap hina, jelek, kotor dan keji. Kenapa manusia tak boleh pandang aku sebagai makhluk hidup? Itu antara persoalan yang muncul.

     Si lipas berjalan, mencari ruang-ruang terselindung yang gelap, untuk tidur. Dia terlihat mesin basuh baju, dia pergi ke belakang mesin basuh dan berehat, tidur. Mesti seronok kalau dapat jadi manusia. Itu adalah antara impian-impian sebelum lena. Tapi dia tahu, bila dia buka mata nanti, dia tetap seekor lipas.

                        ***

      Sejuk. Pipi aku rasa sejuk. Kesejukan ni tidak seperti sejuk-sejuk yang pernah aku rasa. Aku buka mata. Aku terbaring di sebelah sebuah mesin basuh. Tapi kenapa kali ni saiznya makin kecil. Aku melihat tubuh aku. Sekejap, aku bukan seekor lipas? Ini bukan tubuh aku! Aku kini adalah seorang jejaka tanpa baju! Aku ketakutan. Aku cuba mencari bulan, tapi hari sudah subuh, bulan sudah hilang.

          Ini pasti angkara bulan. Kenapa dia perlu perkenankan impian impian yang menjengkelkan. Aku runsing apa aku nak buat. Aku segera berlari ke mana sahaja, nasib baik pelajar universiti ni jarang sembahyang waktu fajar baru naik. Aku berlari, mencari mana-mana sahaja rumah yang aku boleh masuk.

        Ada sebuah tingkap terbuka!

       Aku terjah. Seorang lelaki tua memakai t-shirt putih koyak rabak sedang menggosok baju kemaja. Dia ialah felo yang aku tampak malam tadi. Di atas katil berdekatan, adalah isterinya, masih muda, mungkin isteri kedua atau ketiga. Aku dengar manusia memang boleh berdua atau bertiga atau berempat isteri. Perempuan itu terjaga dan menjerit terlolong meminta tolong.

''Arghhhhh!! Orang Minyak!"

        Aku hairan bagaimana si felo tua tu boleh tak sedar keberadaan aku, barangkali telinga sudah usang. Aku bergegas keluar,  masih tanpa seurat benang. Belum jumpa.  Sistem berjalan aku juga belum stabil. Masih bak bayi yang baru bertatih berjalan. Sekejap, dari mana aku berlajar semua perkataan manusia ni?

        Aku masih berlari entah ke mana aku tak ada idea. Tiba-tiba aku tampak dua lelaki berbaju biru yang sedang merokok di hadapan papan tanda dilarang merokok. Polis bantuan! Salah seorang terlihat aku.

      "Oi! Orang gila tu!"

       Dia menunjukkan aku kepada kawannya, aku didakwa orang gila. Inilah masalah mereka, jika aku binatang aku tak berpakaian, adakah mereka akan anggap aku tetap gila. Semuanya tercipta semula jadi. Tidak! Tidak! Aku rasa tidak. Aku bodoh. Aku manusia. Aku perlukan baju.

HOMEJ METAMORFOSISWhere stories live. Discover now