Catatan si Rudi

39 1 0
                                    

"Kita dah 3 tahun bersama, Rudi!"

Petang itu suasananya tegang sekali. Dari tadi kereta yang kami naiki tidak bergerak walau seinci. Kuala Lumpur, biasalah. Trafiknya boleh bikin kita jadi gila. Perubahan emosi Amanda juga kadang-kadang membuatkan saya gila. Adakalanya bicaranya lembut, sama lembut seperti seorang ibu yang mendodoikan anaknya. Kadang kala emosinya seperti inilah. Dingin. Marah-marah.

"Tapi sampai bila kita kena macam ni?"

Saya memulas tombol cermin tingkap Honda Civic 7th generation yang saya warisi dari abah selepas abah memiliki sebuah CR-V. Menurunkan cermin hingga tombol tidak lagi boleh dipulas. Sebatang winston merah dicapai, dinyala, dan disedut dalam-dalam. Asapnya saya hembuskan ke luar tingkap. Tahu benar dengan pantang Amanda yang satu ni. Terik pancaran matahari petang membuatkan mata terasa pedih.

Ah, satu-satunya shades yang saya miliki sudah hilang di tangan seorang kawan kaki pinjam dan juga kaki hilangkan barang pinjam. Mahu diminta ganti tidak berbaloi kerana shades itu juga barang hilang entah siapa-siapa yang saya temukan di tandas Petronas di Rnr Sungai Buloh beberapa tahun sudah.

Amanda mencapai beberapa helai kertas dari tas tangannya. Kertas itu di hayun-hayununtuk menghasilkan angin. Hangat mungkin. Beberapa titis peluh sudah mula terbit di anak rambut yang menutupi dahinya.

"Aircond ni asyik rosak je. Repair banyak kali pun rosak. Humban je la dalam lombong. Menyusahkan betul,"

Amanda mendengus. Kalau tadi bebelannya tentang hubungan kami yang tidak tentu arah, kini masuk pula cerita tentang aircond kereta yang tidak berfungsi. Saya hanya diam. Membiarkan patah-patah perkataannya terapung-apung di udara. Fikiran saya juga ikut terbang. Di hadapan, sebuah Axia kuning tidak sudah-sudah mencelah untuk meloloskan diri.Padahal laluan itu sudah cukup sempit dengan penunggang-penunggang motosikal membunyikan hon menuntut diberikan jalan.

"Mak dengan ayah kat kampung dah asyik tanya pasal kita. Bila nak hantar rombongan. Bila nak bawa mak ayah awak datang bincang. Saya rimas awak tahu tak? Asyik nak bagi alasan untuk pihak awak. Kawan-kawan saya yang sama kuliah dulu. Rata-rata semua dah kahwin. Dah ada yang nak masuk 2 anak pun. Saya ni? Dari tahun-tahun sudah asyik naik kereta cabuk ni. Aircond rosak. Lepas tu kena pulas tombol sendiri kalau nak turunkan tingkap. Petang-petang balik kerja dengan panas, dengan jam macam ni. Aircond pula rosak. Saya rimas awak tahu tak, Rude?"

Bebelan gadis itu meluncur laju ibarat butir-butir peluru machine gun dalam cerita mafia. Saya tidak dapat menangkap semuanya, cuma yang sempat singgah di benak tentang rombongan. Sudah tentu tentang rombongan meminang. Takkan pula rombongan sekampung ke Sydney.

Putung rokok saya lemparkan jauh sebaik habis sedutan terakhir. Entah bagaimana saya mahu bersikap responsive terhadap emosinya yang bagaikan angin taufan ini.

"Nantilah saya usahakan,"

Otak saya pantas mencongak kira-kira bulanan. Dengan gaji kurang 3 ribu, mahu menampung diri sendiri pun belum tentu mampu apatah lagi mahu menampung dua ketul perut. Simpanan saya sejak beberapa tahun dulu juga kian menyusut dek kerana honda yang satu ni. Dua bulan sebelum ini, carburettornya bocor tak semena-mena. Empat bulan lalu, gearboxnya pecah. Tahun lepas keempat-empat tayar menjerit minta ditukar. Nyaris saya menemukan kecelakaan ketika memandu dalam hujan lebat dengan tayar-tayar botak. Minggu ini, aircond pula yang rosak.

"Kau jual ajalah kereta kau ni Rude."

Cadangan kawan saya, Joni yang bekerja di sebuah bengkel membaiki kereta pasti menjengah ke telinga setiap kali saya memandu masuk ke dalam ruang bengkelnya.

"Sayang. Dari kecil aku naik kereta ni abah aku hantar ambil dari sekolah. Lepas tu petang-petang abah aku bawa jalan-jalan naik dia ni la. Kalau nak jual, banyak nostalgia dengan kereta ni."

Untuk RenaWhere stories live. Discover now