jika kamu memang jenis tidak boleh membaca tulisan tentang agama tanpa menyangka yang penulis itu perasan alim, macam tahu semua,seperti dia sahaja yang bagus,jenis 'holier than thou',maka kamu boleh berhenti sekarang kerana penulis ini memang semua jenis yang diatas.
ini bagi mengelak kamu dari berdosa. seperti yang dikatakan diatas tadi, saya tahu bila kamu berdosa atau tidak.
masa mula-mula menulis dulu,saya telah meletakan dua syarat dan satu darinya ialah bahawa saya tidak akan menulis mengenai orang yang mahu beragama. siapa sahaja yang berusaha untuk beragama adalah baik pada pandangan saya maka adalah tidak wajar bagi saya untuk mencari kesalahan selama mana mereka sedang dalam usaha untuk menuju tuhan.
kemudian muncul segala macam rancangan television yang mengaku berusaha meningkatkan iman penonton sambil memajukan syiar islam ikut kepala otak penerbit dan penaja rancangan agama.
maka saya pun tak boleh tahan. saya pun ingkar syarat yang telah saya tetapkan.
rancangan agama yang baik ditelevision berakhir pada tahun-tahun 80an . sesudah itu wang adalah segalanya termasuk dalam rencana memertabatkan agama. kita fikir agama itu perlukan kita untuk maju walhal kita-lah yang memerlukan agama.
hari ini muncul ustaz dan ustazah selfie, satu kumpulan manusia yang menyangka mereka sedang berbakti kepada masyarakat dengan pendekatan agama melalui jalan popular.
selang dua minit mengemaskini akaun media sosial dengan foto atau berita mengenai usaha agama mereka. yang lelaki dengan gaya sadonya manakala yang perempuan dengan gaya patah tengkoknya. konon manja demi agama.
diadakan pertanding mencari pendakwah dengan hadiah wang dan jaminan populariti.dan dalam benak mereka yang benak,meraka merasakan bahawa letih-lah para malaikat menulis kebaikkan laksana hujan yang mereka kerjakan demi kelangsungan agama.
suatu masa dulu, saya amat tidak setuju apabila kumpulan al-aqram sering mengemba-gemburkan berita bilamana satu-satu penyanyi atau pelakon menyertai kumpulan mereka namun bila diberitahu yang kadang-kadang dengan datangnya kumpulan penghibur ini kepada agama,ianya sedikit sebanyak memberi perangsang kepada orang banyak untuk berubah kepada lebih baik maka saya sedikit malu dengan keangkuhan sendiri.
tambahan pula kata mereka yang menasihati saya bahawa dengan masuknya saidina umar,'selebriti' dizamannya,maka agama dan orang yang beragama waktu itu mendapat sedikit jolokan semangat maka saya pun akur bahawa orang terkenal yang pulang kepada fitrah adalah kebaikkan.
selebriti yang kembali kepada agama dan diam didalamnya dengan menekuni ajaran semestinya diberi hormat.
berlainan pula waktu ini. orang agama yang taat pula berlumba-lumba mengejar populariti.
yang lebih malang adalah mereka-mereka yang dulunya dihormati kerana ilmunya turut terjebak. menjadi pengadil rancangan lumba jadi dai misalnya.
maka duduklah mereka dihadapan ribuan penonton jadi juri kepada budak-budak yang tahu agama. yang bernyanyi,bersajak,bergurindam memikat penonton dengan harapan untuk menang. lelaki dan perempuan juga serupa.
tuturkatanya berbau kebaikkan,gaya mereka pula menempah marah tuhan maha esa.
tidak ada malukah lagi para agamawan ini kepada ilmu mereka? belajar agama ketahap paling tinggi hanya untuk menjadi dunggu yang diperkuda oleh television.
kemudian dari itu,muncul pula selebriti yang kembali kepangkal jalan memberi kuliah dimasjid-masjid dengan mengulang-ulang kisah jahat mereka sebelum bertaubat. segala dosa lalu yang diperbuat dan diulang cerita berkali-kali akan merosakkan diri sendiri. ianya akan menjadi bongkak yang semakin hari akan membarah.
yang dulunya penyanyi akan tanpa malu kepada tuhan mula bernyanyi dimasjid-masjid dengan lirik lagu popular mereka diislamkan. dikhatankan supaya jadi lebih bersih kononnya.
semua orang adalah pendosa dan yang paling baik diantara mereka adalah yang kembali,tidak mengulangi serta tidak saban hari menceritakan betapa dulu saya begini saya begitu.
bila diminta atau menawarkan diri untuk memberi kuliah,sayugianya adalah mereka menceritakan kebesaran tuhan dan memberi berita gembira perihal akhirat yang tiada hujung. bukan menceritakan kejahatan masa lampau sambil membesarkan diri.
menjelang pilihanraya nanti,akan berbondong-bondong-lah penyanyi dan pelakun terjun kedalam politik dan yang cenderung dalam beragama tentu akan menaiki kuda agama.
partai yang berteraskan agama pula tanpa ada malu akan menobatkan mereka sebagai pejuang agama sejati demi satu undi.
mereka diarak merata negeri memberi ceramah dan selalunya,pelakun dan penyanyi yang giat dalam politik ini adalah mereka-mereka yang sudah tidak mempunyai banyak tempat dalam arena perdana populariti.
yang agama masuk partai agama,yang menanguk diair keruh akan berenang dalam kancah sekular. hanya sanya kerana takut lapar.
setelah selesai pilihanraya,maka mereka pun dilupakan.baik dari kumpulan politik agama atau pun yang tidak.
terkontang-kanting-lah mereka kelaparan dan biasanya yang beragama akan mencuri peluang untuk dijemput memberi kuliah dimasjid-masjid. dan berulang kembali-lah kita mendengar betapa mereka ini dulunya jahat begitu dan begini.
agama tidak memerlukan kumpulan motor besar untuk maju.juga tidak perlukan gitar solo untuk menarik ramai orang kemasjid.
setelah menemui jalan hidayah,berusaha-lah menjadi muslim yang baik tanpa ada lagi pergantungan kepada makhluk.berusaha dan serahkan diri kamu bulat-bulat kepada tuhan.
jangan takut lapar kerana segala jenis rezeki yang memang hak kamu pasti tidak akan sampai kemulut orang lain. ini janji tuhan.