Prolog
Yang putih itu jelas dan yang hitam itu jelas. Yang satu melindung yang hitam, yang dua melindung yang putih. Hanya satu yang benar.
Terngiang-ngiang kata-kata itu di benak fikiran Khalil. Pesan gurunya itu begitu berbekas di hati.
Dia berfikir, berfikir dan terus berfikir. Dahinya berkerut. Tangan kanannya mengurut-ngurut kepalanya yang lesu. Rambutnya serabai seolah sudah beberapa hari tidak disikat. Tiada kejelasan yang tampak dalam fikirannya lagi. Yang ada hanyalah asap-asap kelabu yang tidak jelas terbang berawangan di mindanya. Berlari-lari tanpa arah tujuan.
Perlahan-lahan, dia duduk di kerusi rehat milik arwah bapanya sambil menikmati secawan teh panas. Tangannya mencapai sebuah cawan marmar berwarna putih kapur di hadapannya. Matanya memerhatikan buku-buku yang disusun rapi di dalam bilik kecil itu.
Khalil amat meminati ruang membaca arwah ayahnya itu, kerana di situ, seperti sebuah perpustakaan kecil yang tersimpan di dalamnya banyak bahan bacaan, yang berusia ratusan tahun lamanya.
Cawan berkilat itu mendekati bibir Khalil.
Slrupppp...
Enak sekali.
Pilihannya sudah semesti teh hijau, dicampurkan dengan madu manuka dari New Zealand.
Menurut Doktor Daniel Amen seorang pakar Neurologi di Amerika Syarikat, teh hijau baik untuk lelaki yang mempunyai minda tahap dua. Mudah cepat bosan, cepat hilang tumpuan dan fokus kecuali kepada perkara-perkara yang benar diminati dan dicari.
Seperti....
Seorang Khalil yang cepat bosan pada perkara-perkara mendatar dan tiada cabaran.
Arghhhh!
Apa kaitannya!?
Macam mana Knight of Templar boleh berevolusi sehingga menjadi gerakan Freemasonary? Apa kaitannya pula dengan Jesuit? Order of Christ? Society of Jesus? Fabian Society? Kenapa mereka datang ke Melaka pada kurun ke 16?
Arghhh, aku keliru...
Aku masih lagi tidak dapat menghubungkan aktor-aktor yang ada ini secara tersusun. Siapa mereka? Kenapa mereka buat begitu? Aku perlukan mesin masa begini!
Sambil termenung memikirkan persoalan kepada jawapan-jawapan yang berlegar di ruang fikirannya, mata Khalil tiba-tiba terpandang akan sebuah kotak besi yang berkilau dek pancaran mentari petang. Badannya bersandar tadi terus tegak serta mata. Dia cuba mengingati kali terakhir dia datang ke bilik ini. Benar. Tidak pernah wujud kotak itu.
Langit biru tanpa awan, bagai membenarkan partikel cahaya menembusi setiap inci ruangan rumah banglo lama ini. Mentari terus bersinar dengan cerianya, bagai silauan cahaya yang tak pernah sirna, apatah lagi membatasi pandangan mata hati yang melihat keindahan itu dengan pandangan iman.
Khalil bingkas bangun dari tempat duduknya mendekati kotak besi itu. Dia merapati dengan penuh teruja, apakah yang tersimpan dalam kotak besi usang itu.
"Uissshh... berat."
Kotak besi yang beratnya hampir 5 Kilogram itu diletakkan Khalil perlahan-lahan di atas meja. Jelas terukir di sisi kotak besi itu ukiran yang biasa kita dapati di atas jendela rumah Melayu lama, berupa bunga-bunga. Juga terukir perkataan jawi di sekeliling kotak.
Khalil mengejanya satu persatu
"Ya nga ..."
"Ha .."
"Yang Haq itu jelas dan yang bathil itu jelas. Tiada titik temu antara keduanya."
Ha?
Seakan kata-kata yang selalu dipesan gurunya.
YOU ARE READING
Sang Pemikir: Menyekat Kemaraan Tentera Salib Jesuit Di Nusantara 1450-1700M
Historical FictionSinopsis novel ini secara ringkas, mengisahkan seorang pemuda yang ikut berkelana dalam misi Hang Tuah ke bumi Turki. Merupakan murid Hang Tuah, di sana beliau dilatih untuk menjadi seorang pemikir strategis dunia Islam dalam merungkai susur galur g...