Ceritera Pertama: Semberani

30 2 0
                                    

Hari ini sedikit mendung dan berangin. Garis-garis cahaya menembusi awan yang menyembunyikan matahari terlihat di atas bumbung bangsal dan padang di hadapan matanya. Bangsal kuda moden itu adalah yang paling besar dan termaju di alam Melayu. 


Ciri- ciri binaannya yang unik, terutama sistem pengudaraan dan penyesuaian suhu, menjadikan bangsal kuda itu selesa untuk didiami oleh kuda-kuda perang pelbagai baka. Kuda-kuda perang yang berjumlah 1500 keseluruhannya, dijaga dengan sangat rapi. Petugas di bangsal kuda itu mencecah 50 orang kesemuanya. Setiap satu itu memiliki kepakaran merawat dan melatih kuda-kuda liar untuk dijinakkan. Mereka digelar sebagai tabib kuda.


Di dalam bangsal, Dato' Laksamana Hang Tuah sedang bersama kuda kesayangannya. Arian Surya hanya dapat memerhati dari jauh kelibat Hang Tuah mengusap-usap kepala Semberani. Sudah beberapa hari Semberani tidak lalu untuk menjamah makanannya. Seolah- olah hatinya runsing memikirkan sesuatu.


"Aku hendak pergi jauh ini, Semberani... Tugas pada kali ini bukan sembarangan tugas. Nasib dunia Islam Nusantara ini tergalas berat di bahuku."


Kuda itu tunduk akur, seolah-olah mengiyakan apa yang dikatakan Hang Tuah.


Hang Tuah berhenti sebentar. Ingatannya teringatkan titah Sultan berkenaan misi ini. Izzah dan bangga tetapi tersulam sedikit rasa gusar. Amanah kali ini bukan untuk dibuat main. Amanah ini adalah amanah yang besar akan menentukan nasib dunia Islam.


"Aku tidak tahu sama ada aku mampu melaksanakan tugasan ini dengan baik. Kepada Allah Tuhan yang Maha Agung Lagi Bijaksana, aku serahkan sepenuh pengharapan," Hang Tuah berkata lembut kepada kuda kesayangannya Semberani.


"Aku harap, engkau jaga diri baik-baik. Jangan dibuat perangai egomu itu wahai Semberani. Atasi ketakutanmu. Kawal kemarahanmu."


Semberani menunduk-nundukkan kepalanya. Lalu Hang Tuah mengucup ubun-ubun kepala Semberani. Kuda itu kelihatan sangat memahami Tuannya, dan mengiyakan dengan penuh kesedihan. Barangkali, mungkin kerana berpurnama lamanya baru dia mampu ketemu semula dengan tuannya itu.


"Pandika Aman! Pandika!"


Bunyi dengusan-dengusan kuda dan bunyi hentakan ladam-ladam memijak tanah menyebabkan suara panggilan Hang Tuah itu tidak jelas kedengaran.


"Dato' Pandika Aman!!"


Pandika Aman, masih sedang khusyuk memeriksa satu persatu tahap kesihatan kuda di dalam bangsal Istana. Beberapa kali Hang Tuah memanggil beliau. Apabila beliau tersedar akan panggilan Dato' Laksamana Hang Tuah, beliau bersegera pergi ke hadapan Hang Tuah.


"Iya Laksamana," sahut Pandika, ketua kepada penjaga kandang Kuda Istana.


"Aku mahu berpesan kepada kamu Pandika. Sepanjang ketiadaan aku, engkau jagalah kuda ini baik-baik ya. Latih Semberani ini supaya dia mampu untuk hilangkan ketakutannya. Serangan tentera Siam tempoh hari, benar-benar memberi bekas kepada jiwanya."


"Baik Laksamana. Hamba akan laksanakan tugas ini dengan baik."


Sang Pemikir: Menyekat Kemaraan Tentera Salib Jesuit Di Nusantara 1450-1700MWhere stories live. Discover now