Tengah malam tu, kawan serumah aku yang bernama Petak (nama manja yang emak dia bagi sebab muka dia empat segi) mengajak aku ke Warung Tok Minah. Daripada melepak-lepak kat depan tv tak buat apa-apa, lebih baik aku melepak kat Warung Tok Minah. Kat sana bukan je ada tv, Azizah pun ada.
Perut aku ni pun kemain lagi berkeroncongnya bila dengar Petak sebut nama Tok Minah. Nasi paprik daging Tok Minah memang piau Siam. Juling mata makan. Tambah yang masak tu Azizah, cucu Tok Minah yang cantik lawa. Sayangnya, Azizah dah menikah. Kempunan aku nak memperisterikan dia.
Takpelah. Tak dapat orangnya, dapat rasa air tangan Azizah pun jadilah.
"Kau belanja baru aku keluar." Aku mengacah, toleh kepala je, belum bangun dari berbaring lagi. Acah dulu. Untung nasib, Petak belanja.
"Memang aku nak belanja pun." Petak buka pintu depan, siap nak keluar. "Kau nak ikut tak?"
"Jap. Aku pakai baju." Tersengih aku dengar jawapan dia. Bukan tabiat aku mintak orang belanja.
Kelam-kabut aku bangun. Masuk ke bilik tidur, salin baju elok sikit, pakai seluar panjang, sapu pomade kat rambut, telek muka kat cermin tengok hensem ke buruk sebab tak mahulah aku Azizah tengok muka aku serabai, lepas tu aku ke depan. Petak dah tunggu di atas motor dia.
"Kau dapat bonus ke apa?" tanyaku, memakai helmet sambil panjat pelana motosikal dia.
"Yup!"
"Pinjam sikit. Heh heh heh." Aku ketawa, konon-kononnya mengacah tapi kalau dia nak bagi, aku terima je.
"Ni aku nak belanja kau, kira bagi sikitlah ni."
"Pelit punya member. Heh heh heh." Hati sedikit hampa tapi aku ketawa lagi supaya Petak tak perasan aku serius tadi.
Warung Tok Minah tak jauh mana dari rumah sewa kami. Pergi jalan kaki pun boleh tapi lambat sampailah. Lagipun mengarut je jalan kaki lepas makan. Sampai rumah perut lapar balik.
Macam biasa, Warung Tok Minah ramai orang. Azizah berkelentung-kelentang kat dapur, menyiapkan pesanan orang. Mak tok dia duduk kat kaunter, kira duit.
"Minum apa, bang?" Budin, adik lelaki Azizah siap sedia nak ambil oder kami.
"Tanya dia. Dia belanja malam ni." Aku tuding kat Petak. Dia yang nak belanja, biar dia sendiri yang oder. Lagi selamat macam tu. Takut aku tak sedar diri teroder banyak, bukan apa.
"Macam biasalah. Teh O ais limau dua. Kau nak makan apa malam ni? Nasi paprik ke..."
"Paprik daging." Pantas aku menjawab. Tak pandang muka Petak pun sebab aku sibuk perhatikan sorang awek ni. Dia duduk sorang-sorang je kat meja hujung tu. Tunggu kawan agaknya.
"Nasi paprik daging dua, teh O ais limau dua." Petak duduk menyenget selepas oder.
Kami tak sembang pun. Kat rumah dah puas bersembang. Petak ralit menonton perlawanan bola sepak kat tv. Aku pula ralit perhatikan awek yang duduk sorang-sorang tu. Nampak macam dia tengah tunggu seseorang. Mungkin dia tunggu pakwe. Lemah terus hati aku jadinya.
Orang cantik macam tu, mesti dah ada pakwe.
Tiba-tiba awek tu pandang aku. Muka dia comel ya Rabbi. Dalam cahaya tak kuat pun aku boleh nampak betapa cantiknya dia. Mata dia, bibir dia, aduh, mak... terliur aku dibuatnya. Agaknya memang aku drooling kut sebab awek tu tersipu-sipu tunduk bila perasan aku tengah tenung dia, lepas tu dia jeling aku.
'Aih, pompuan ni! Tengah goda aku ke apa ni?' Melintas soalan tu dalam hati aku. Nampak macam dia tengah goda aku, dengan jelingannya, senyumannya tapi saja je kut. Nak balas dendam kat pakwe dia kut sebab sampai tengah malam tak sampai-sampai. Mati eksiden kut pakwe dia. Baguslah. Clear line aku.