Daryn mula meronta, dia mahu lepas dari keadaan itu. Dia merasakan bahaya yang bukan sedikit sedang menantinya.
"Kalau kau berganjak walau seinci pun, atau cuba buat sesuatu yang bodoh, aku tak akan teragak-agak. Faham?" Sesuatu yang keras ditekan di pelipis kanannya. Perit terasa apabila ditekan begitu.
Daryn angguk dalam ketakutan. Dia tidak pernah setakut itu dalam hidupnya. Terasa seperti diri sedang berhadapan dengan malaikatul maut.
"Masuk dalam rumah. Cepat!" arah suara itu lagi apabila Daryn masih tidak berganjak. Perlahan, tetapi begitu keras memberinya amaran.
Liar mata Daryn melingas. Mencari jika ada orang lain di sekeliling. Berdekatan dengannya. Gelap. Semuanya gelap. Kerana hanya beberapa orang sahaja yang sudah berpindah ke situ. Dan sekarang, hanya sebuah rumah yang lampunya menyala.
Ya Allah!
Daryn berfikir, apa akan berlaku jika dia menjerit meminta pertolongan. Daryn Areena berkira-kira untuk meminta tolong tetapi suaranya tersekat. Hanya mulutnya yang ternganga. Jika dia menjerit sekalipun, tidak mungkin si penghuni akan mendengar.
Apabila suara itu berbunyi lagi, tubuh Daryn turut terkaku. Seluruh tubuhnya mula rasa seram sejuk. Perut mula bergelombang. Seperti sebuah bot yang terumban-ambin dilambung ombak besar. Tidak tentu arah!
"Jangan buat sesuatu yang bodoh kalau nak selamat!" kata suara itu lagi memberi amaran.
Otaknya sudah kehilangan daya untuk berfikir. Dia hanya menurut apa yang disuruh. Ia menuntut seluruh keberaniannya untuk membuka kunci rumah. Menggigil-gigil anak kunci dijolok masuk. Gemeletek kunci dipulas. Akhirnya pintu terbuka luas. Nampaknya dia sedang mempelawa syaitan masuk ke rumahnya sendiri.
"Masuk. Cepat!"
Badan langsingnya didorong masuk oleh tubuh kekar itu. Walau tidak dapat melihat, dia dapat rasakan satu kuasa di belakangnya. Gagah dan mengerikan.
Daryn memaksa kakinya yang kaku, bergerak. Dia benar-benar takut sehingga seluruh tubuhnya dirasakan sedang menggigil. Aura lelaki di belakangnya meluap-luap. Siapakah gerangannya? Dari nada suaranya, dan gerak lakuknya, segala perintahnya minta diakur.
Dia terpaksa menurut. Hanya desah nafas ketakutan yang kedengaran, memenuhi ruang kosong di tengah rumah teres itu. Hembusan nafas yang merayu supaya empunya diri tidak diapa-apakan.
Sepantas kilat, kedua mereka sudah berada di ruang tamu. Sungguh dia tidak tahu apa yang sedang berlaku. Begitu pantas. Nafasnya bagai hilang begitu sahaja. Hilang dalam ketakutan.
Tidak pasti bila, lelaki tadi sudahpun berada di sebelahnya. Daryn mengerling melalui ekor mata, mencari wajah lelaki itu. Namun pandangannya terhenti pada sepucuk pistol yang dihala ke arah pelipisnya. Untuk beberapa saat keadaan jadi begitu tegang, umpama menunggu bom untuk meletup. 1 saat, 2 saat... Daryn mengira. Jam umpama merangkak.
Apa yang lelaki itu mahu darinya? Si penceroboh di malam buta yang menjadikannya tawanan. Naluri untuk bertanya begitu kuat namun terselindung dek rasa takut sehingga dia kehilangan suaranya sendiri. Kerana ketakutan yang teramat, Daryn tidak mampu untuk berkata apa-apa. Air liur ditelan beberapa kali. Namun rasa takut itu masih beraja di dalam diri. Peluh dingin mula memercik di dahi. Nafas yang sebentar tadi tertahan membuak buak merempuh rongga hidung.
Lelaki itu menjatuhkan dirinya di atas sofa. Gerakannya sedikit perlahan. Duduknya sedikit payah. Mukanya berkerut. Di dahinya keringat menitis. Di lengannya terdapat kesan merah darah. Di tangan yang satu lagi, tergenggam sepucuk pistol. Lagak lelaki itu diperhati dalam diam. Dia tidak berani berkata apa-apa. Dia seperti sudah hilang suara. Dia, umpama patung cendana yang menghiasi ruang tamu tersebut.
Penceroboh itu dipandang dari atas ke bawah. Kelihatannya seperti dia sedang melarikan diri dari sesuatu. Matanya beralih pada kesan darah dan retinanya terpaku pada sesuatu di bahu kiri. Baju hitam yang dipakainya itu kelihatan basah di situ. Dia cedera rupa-rupanya! Tidak semena Daryn berasa lega sedikit. Lega. Sekurang-kurangnya penceroboh itu cedera. Ia mungkin memberinya satu peluang.
YOU ARE READING
#GHOST
ActionApabila melarikan diri satu-satunya pilihan yang dia ada, Dr. Daryn Areena tersepit. Antara hidup dan mati, dia memilih untuk hidup. Antara percaya dan tidak, dia keliru. If there is no one else that you can trust, trust yourself. But, if you can't...