BAB 1

297 6 0
                                    

KEPALA terasa berpinar namun dia paksa juga untuk menyiapkan kerja yang ada. Selesai menghantar e-mel kepada beberapaorang pengedar, dia terus bersandar pada kerusi sebelum memejamkan mata.

Lama.

Cuba menghilangkan denyutan di kepala yang makin menggila.

"Cik Najwa?"

Nafas dihela perlahan sebelum dia membuka mata beberapa saat. Wajah ayu Nadrah terjengul di muka pintu biliknya yang sengaja dibiarkan terbuka.

"Ya, Nad?" Mata kembali dipejamkan rapat. Entah kenapa sejak dua menjak ini cepat benar dia terasa letih. Mungkin sebab tak cukup tidur? Tak cukup rehat?

"Tunang cik ada dekat luar."

Sebaris ayat dari mulut Nadrah membuatkan matanya terbuka luas. Cepat saja dia menjenguk ke arah cermin tembus pandang dari biliknya.

Betul. Izzat berdiri tegak di luar kedai dengan telefon pintar di tangan. Izzat Nazrul, lelaki yang berjaya ketuk hati dia setelah bertahun-tahun dia tak percaya dengan cinta. Izzat saja yang dia nampak bersungguh-sungguh ingin jadikan dia sebagai isteri walaupun bagi dia, dia masih muda untuk merangkul gelaran itu.

24 tahun.

Banyak lagi benda yang dia impikan dalam hidup ini selain berkahwin dengan Izzat, namun entah kenapa bila Izzat ajak dia bertunang, cepat sahaja hatinya menerima. Itu pun setelah dia berjaya buka butik kecil ini bersama-sama kakaknya, Marisa.

"Thanks, Nad."

Nadrah mengangguk dengan senyuman sebelum kembali ke tempat kerjanya. Najwa tarik nafas panjang. Sempat dia mengerling jam pada dinding sambil mencapai beg tangan dari bawah meja.

Dia dah lambat setengah jam.

Sungguh dia tak sedar masa berlalu bila dah khusyuk dengan kerja.

Melihat Izzat yang melambai dari luar, bibirnya terus mencipta senyum. Kepala yang berdenyut tadi juga beransur hilang dan langkahnya dipercepatkan ke arah si tunang.

"Nad, jaga kedai kejap ya? I nak keluar lunch."

"Baik cik."

Najwa senyum lebar saat menolak pintu kaca untuk keluar. Wajah Izzat yang sudah hampir seminggu tidak ditatap itu membalas senyumannya.

"Hai. Sorry saya lambat."

"It's okay." Senyuman Izzat membuatkan hatinya berbunga. "Setakat lambat setengah jam saya tak kisahlah. Jangan awak lupakan saya terus, sudah."

"Mana boleh lupa."

Kembang terus hati si tunang dengan jawapan yang diberi.

"Nak makan dekat mana ni?"

"You decide." Izzat buka pintu kereta. Najwa juga sama. Sebaik sahaja dia masuk di tempat sebelah penumpang, hidungnya terbau wangian yang lain dari biasa.

Ini bukan bau Gucci Flora yang selalu dia sembur setiap pagi. Nak kata bau Dunhill Blue yang Izzat selalu pakai pun, bukan.

"Kenapa?"

Soalan Izzat membuatkan dia tersentak. Cepat cepat dia mencipta senyum sebelum memakai tali pinggang keledar. Letak kerusi juga dibetulkan mengikut keselesaan.

Izzat yang tidak ambil pusing dengan keadaan di tempat duduk penumpang terus membawa kereta keluar dari petak parkir.

Najwa melepas nafas perlahan. Kenapa lain benar perasaan bila naik kereta Izzat ni? Selalu bau Dunhill Blue saja yang memenuhi segenap ruang.

JIKA INI CINTA - ILLA SHANAHILAWhere stories live. Discover now