Bab 3

54 3 0
                                    

'Siapalah yang nak datang ni?'

"Awak ni dari tadi saya tengok kumat-kamit." Tegur Wak Aji sambil matanya kekal menatap suratkhabar di tangan.

Isterinya sejak tadi setia menemaninya duduk di kerusi kayu berlapik kusyen di beranda rumah. Ruang tamu yang tidak berdinding itu dibina tinggi sedikit mengadap rumah jiran mereka. Halaman rumah diterangi cahaya bulan penuh yang tergantung di dada langit.

Rumah mereka betul-betul di pinggir jalan raya Yong Peng menuju ke pekan Air Hitam. Diselangi parit besar, bunyi kenderaan besar dan kecil yang menggunakan lebuhraya Utara-Selatan membingit. Alah bisa tegal biasa, bunyi hon dan deruman kenderaan yang lalu lintas di hadapan rumah membuatkan telinga mereka sudah lali.

"Eh! Abang ni ada mata di belakang kepala ya? Pandang saya pun tidak, mana awak tahu mulut saya kumat-kamit." Balas Mak Ju.

Lelaki lebih separuh abad itu ketawa sambil terbatuk-batuk kecil. Dikatup halaman suratkhabar yang dipegang, sambil sebelah tangannya lagi menolak cermin mata yang terlondeh jatuh di batang hidung. Isterinya yang memakai skaf rambut hitam dihiasi kepingan bunga labuci dipandang lama.

"Ishhh.. kenapa pandang kita macam tu?"

"Anak kita dah sembilan orang, Mak Ju. Semua dah besar, macam burung tu. Bila dah pandai terbang, mereka tinggalkan sarang. Tinggal kita berdua saja ni."

"Jadi..."

"Jadi, saya tak perlu pandang pun, apapun yang awak buat di belakang saya tahu. Hmm.... Cakaplah."

"Cakap apa?"

"Cakaplah apa yang buat kepala awak kusut?"

"Kupu-kupu."

"Hmm..."

"Sudah dua tiga malam ni ada kupu-kupu masuk rumah. Kita nak terima tetamu jauh agaknya."

"Percayalah sangat. Nanti jatuh syirik pula."

"Alaaa.. saja cakap. Petua orang dulu-dulu, kan? Tapi hati saya rasa semacam saja ni."

Wak Aji menggeleng-gelengkan kepala lalu mengusap leher, "Tiba-tiba pula tekak saya rasa berdesir. Ehem... Ehem..."

"Hmm... Tukar tajuk nampak. Kalau awak haus, cuba awak dail nombor macam dalam iklan di televisyen tu. Order saja, biar mereka hantar ke rumah."

"Mana sama, sayang oi! Kopi yang awak bancuh lagi sedap, siap doa selawat. Berkat." Berlagu Wak Aji memuji isterinya.

Tiba-tiba kedengaran jeritan nyaring dari cerek yang sudah mendidih airnya di dapur. Mak Ju tersentak sambil mengurut dada.

"Tengok. Betul murah rezeki saya. Kalau ada biskut, boleh cicah kopi." Sengaja Wak Aji mengusik, diberi betis hendak peha pula.

Mak Ju mengangkat keningnya sebelah lalu bingkas bangun dari tempat duduknya. Wak Aji membalas dengan senyuman manis sambil mengenyit mata. Mak Ju buat-buat tak nampak. Wak Aji terus menyambung pembacaan yang tergendala tadi. Bunyi nyaring dari cerek sudah berhenti.

Tidak semena-mena ada suluhan cahaya bergerak menyimbah halaman rumah. Wak Aji meletakkan suratkhabar yang dipegangnya ke meja. Kereta hitam yang besar dengan lampu tinggi masuk ke kawasan rumah mereka. Wak Aji rasa berdebar kerana itu bukan kereta yang dikenali.

Wak Aji bangun.

Seorang lelaki dengan sebuah bungkusan kain yang dikendong di lengan keluar dari kereta.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jan 04, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Dendam Puaka LebuhrayaWhere stories live. Discover now