Abdi sedang termenung melihat langit malam yang terbentang luas. Tindakan pemandu Grab tadi meninggalkannya di tepi jalan sangat tidak profesional. Abdi merasakan perbuatannya menendang radio kereta tadi sangat adil dan tidak keterlaluan asalkan kena dengan niat. Niat Abdi cuma satu, menghalang telinganya dari terus mendengar lagu-lagu celaka.
Malam itu sungguh cerah dengan langit hanya dipenuhi bintang-bintang tanpa sedikitpun awan. Kemungkinan besar awan sudah habis syif dan digantikan pula dengan bintang. Tugas bintang lebih mudah, mereka hanya perlu duduk sahaja di satu tempat beberapa ribu tahun berbanding awan yang sentiasa bergerak. Abdi kira pangkat bintang lebih besar daripada awan.
Abdi menyalakan rokok sambil duduk di bahu jalan. Dia sedang mengumpul tenaga untuk berjalan kaki sahaja pulang ke rumah. Rumahnya sudah tidak begitu jauh, mungkin mengambil masa kira-kira 7 lagu dendangan Noraniza Idris.
Ketika Abdi menghembuskan asap rokok ke atas, dia sedikit pelik. Keadaan malam yang tadinya begitu cerah semakin malap. Abdi yakin dia melihat bulan sebentar tadi tapi entah bagaimana bulan sudah hilang di atas walaupun tiada awan untuk menyembunyikannya.
"Takkan habis syif jugak?" gumam Abdi sendirian.
Sudah 15 minit Abdi berjalan dan dia masih steady. Namun apa yang membuatkan Abdi sedikit hilang steady ialah tempat yang akan dilaluinya sebentar lagi. Padang Angin Sejuk. Satu tempat yang jarang dilalui orang. Padang itu agak luas tanpa sebarang bangunan yang boleh menghalang laluan angin. Yang ada di situ cuma tumbuhan renek seperti pokok Seri Pagi, Tunera Putih, Lily dan Rafflesia. Mungkin kerana sebab itu Padang Angin Sejuk mendapat nama. Sungguh tidak kreatif.
Kata orang, Padang Angin Sejuk berhantu. Abdi tidak pernah melihat hantu namun begitu dia yakin ia bukan satu objek yang memberikan memori indah. Jika menyebut perkataan indah, hanya Emma Stone yang terbayang di fikiran Abdi.
Abdi berjalan cepat-cepat, dia mahu segera meninggalkan tempat itu. Sambil berjalan, dia menyebut bismillah berulang kali. Itu sahaja kudratnya kerana ayat ayat suci lain terlalu panjang untuk dihafal.
Angin bertiup kencang melayangkan daun-daun yang datang entah dari mana. Keadaan itu seperti ribut akan melanda tidak lama lagi. Baru Abdi hendak mempercepatkan langkah, dia berhenti apabila sehelai daun yang agak besar menutup matanya. Dia mengalihkan daun tersebut dan mencampakkan ke bawah. Apabila Abdi melihat ke depan semula, dia terperanjat. Seorang perempuan berambut panjang sedang duduk menutup mukanya sambil menangis.
Abdi menyebut bismillah semakin kuat.