Prolog

746 17 8
                                    

Abdi tekun memandang ke hadapan, sekali sekala dia menggelengkan kepalanya. Ini kerja gila, bisik hati Abdi. Jika tidak difikirkan tentang gari dan lokap, sudah lama dia masuk ke dalam padang dan menerajang semua pemain. Dia membuang putung rokok dan memijaknya dengan sepenuh perasaan. Beberapa anak mata memerhatikan kelakuannya.

"Kalau taknak kena asap rokok, pergi lepak R&R la makcik. Tak payah datang stadium", kata Abdi sedikit kuat. Seorang perempuan yang agak berusia terus beredar dari duduk berdekatan dengan Abdi. Abdi cuma menumpukan perhatian kepada permainan di atas padang.

Malaysia sedang ketinggalan 0-5 menentang pasukan Kampung Awah dari Pekan. Safiq Rahim sedang terhiling-hiling di atas padang mengejar bola. Abdi mengetap bibir menahan sabar. Bola sepak lebih banyak memberikan kepahitan berbanding kemanisan dalam hidupnya tapi entah kenapa, dia masih memilih untuk menyokong sukan tersebut.

Setiap kali pasukan kegemarannya tewas, dia berjanji tidak akan menyokong sukan itu lagi tapi akhirnya janji tinggal janji. Dia masih datang ke stadium menantikan apa yang tidak pasti. Mungkin bola sepak sudah menjadi sebahagian dalam hidupnya, sama seperti nasi.

Dalam perjalanan pulang, dia cuma termenung melihat kereta di atas jalan raya. Malam itu dipenuhi dengan kereta yang menyusur laju. Ada kereta berwarna hitam, ada kereta berwarna perak, ada kereta berwarna putih dan berbagai warna lagi. Jika tuan punya kereta ingin membuktikan sesuatu, kemungkinan besar keretanya akan berwarna hijau lumut dengan rim sukan berwarna merah. Kereta jenis begitu biasanya akan dipenuhi dengan sticker seperti sticker "Myvi Club Evo" , "Kawe Anok Kelate" dan "Azhar Idrus Fan Club".

Di radio saat itu sedang berkumandang lagu cuba merasuki hawa telinga Abdi.

"Matamu redup bagai bayu juga awan biru di langitkuu. Senyummu seindah mentari selalu menerangi mimpi sepi"

"Lagu macam setan", jerit hati Abdi. Abdi tidak tahu samada lagu-lagu sekarang semakin tidak berkualiti atau dia yang sudah semakin tua hingga tidak dapat menerima pembaharuan dalam industri muzik. Lagu sepatutnya memberikan ketenangan, bukan kemarahan. Jika dia inginkan kemarahan, lebih baik dia kembali menyaksikan perlawanan bola sepak.

"Cubalah cuba sayang teka siapa yang bertakhta dalam jiwa. Adakah kau tahu"

Automatik Abdi terus menendang radio kereta beberapa kali. Lagu tersebut semakin lama semakin menduga kesabarannya. Jika dibiarkan, dia risau dia akan menjadi gila mendengar lagu tersebut. Tiba-tiba bahu Abdi ditepuk seseorang.

"Radio saya bang..", kata pemandu Grab di sebelah Abdi dengan mata berkaca.

ArtiqahWhere stories live. Discover now