"Abang, abang sudah bertanya pada Yusoff?" tanya Aminah kepada suaminya.
"Belum," jawab Ali. Ringkas sahaja jawapannya.
"Belum? Abang, abang tahu tak semua orang kampung sibuk bercerita pasal Yusoff dan Embun. Mereka sudah berani berdua-dua, " adu Aminah.
"Kau emaknya. Kau sahaja yang bertanya. Kalau aku yang tanya bimbang jadi lain ceritanya Minah," Ali terus sahaja dengan burung tekukur miliknya. Sekali sekala dia turut berkukur mengajuk bunyi burung itu.
"Nak lain apa nya bang. Susahlah dengan abang ni. Sibuk sangat dengan Orang Kaya Leman hingga hal keluarga dibiarkan begitu sahaja," Aminah sudah naik angin dengan sikap acuh tidak acuh suaminya.
"Habis kau mahu aku buat apa Minah? Anak kau itu degil orangnya. Sebelum ini sudah puas aku menegah. Dia tetap begitu juga," nada suara Ali sedikit meninggi.
"Itu lah abang. Usaha hanya satu kali sahaja. Kemudian dibiarkan sahaja," kali ini suara Aminah sedikit mengendur. Takut juga dia bila Ali mula meninggikan suara.
"Kalau sudah begitu, mengapa tidak kau sahaja yang bertanya. Sudah kau orang yang pandai," kata Ali sebelum dia mengangkat kaki meninggalkan isterinya.
Aminah mengeluh lagi. Sebentar tadi Makcik Rokiah memberitahunya yang dia ternampak Yusoff berjalan-jalan dengan Embun. Aminah memicit kepalanya. Pening dengan tingkah anak terunanya ini. Kalau berjalan dengan gadis lain resahnya lain. Ini dengan Embun. Cucu Nek Kuntum. Dukun ilmu hitam. Jangan-jangan Embun sudah mencalit ilmu guna-guna pada Yusoff. Mana tahu. Semua orang tahu Embun adalah bakal pewaris semua ilmu Nek Kuntum. Hati Aminah menjadi semakin berdebar.
Aminah melihat ke tengah laman. Kelihatan anaknya Yusoff sedang berlatih silat. Maklumlah malam nanti adalah malam terakhir majlis keramaian di kampung itu. Dia tahu Yusoff akan berpencak silat disamping pemuda-pemuda yang lain.
"Yusoff, ke mari nak," teriak Aminah.
Yusoff mematikan langkahnya. Dia berpaling. Kelihatan Aminah sedang menunggunya di serambi rumah.
"Ada apa mak?" tanya Yusoff. Segera dia menuju ke serambi. Dia mencedok air di dalam tempayan lalu dicurahkan ke kaki. Sudah menjadi adat, membasuh kaki sebelum naik ke rumah.
"Sudah-sudahlah berpencak silat. Keletihan nanti," Aminah bersuara. Dia meletakkan segelas air masak buat anaknya.
"Ala mak, bukannya lama baru sahaja di buka selangkah dua. Malam ini ada keramaian," balas Yusoff sambil meneguk air yang diberikan oleh emaknya.
"Mak tahu nak. Yusoff, kau satu-satunya anak emak dan bapak. Kau tahu kan?"
Yusoff sekadar mengangguk.
"Apa benar kau suka sama Embun?" Aminah terus bertanya. Sudah tidak mahu dia berbasi-basi lagi.
"Embun? Embun yang mana?" soal Yusoff. Bukan dia tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh emaknya.
"Usahlah kau berdalih-dalih lagi nak. Begini saja, biar emak berterus-terang sama kau. Kau tahu kan Embun tu siapa, Nek Kuntum itu siapa."
"Jangan disamakan Embun dengan Nek Kuntum mak," balas Yusoff.
"Yusoff kau harus tahu, Nek Kuntum akan wariskan semua belaanya pada Embun. Semua orang tahu masakan kau seorang sahaja yang tidak tahu."