Zahid merenung ke wajah isterinya. Sejak semalam lagi dia tidak dapat melelapkan matanya. Bila dia cuba untuk pejamkan mata akan terbayang wajah isterinya. Dia kemudiannya mengusap lembut rambut Kirah. Rasa rindu pada isterinya semakin tidak dapat dibendung lagi. Rasanya dia tidak sanggup untuk berjauhan dari Kirah. Sejak keluar dari rumah pagi semalam dia sudah tidak dapat memikirkan apa-apa selain dari Kirah. Zahid langsung tidak hiraukan godaan manja teman wanitanya. Nafsunya hilang terus tatkala teman wanita gelapnya memegang tangan. Dia hanya bernafsu bila melihat Kirah.
Kirah membuka matanya perlahan-lahan bila dia merasakan ada tangan yang sedang membelai-belai rambutnya. Dia membuka mata.
"Abang," Kirah terkejut. Dia melihat ke jam locengnya, sudah pukul 3 pagi. Apa kes Zahid mengusap wajahnya ketika ini?
"Sayang. Abang tak boleh nak lelapkan mata. Rasa rindu sangat pada sayang. Sayang basuh muka dulu dulu lepas tu kita turun bawah, abang ada masakkan sesuatu buat sayang."
Kirah menjadi semakin kehairanan. Mana tidaknya, waktu begini selalunya baru Zahid pulang setelah berpoya-poya dengan kekasihnya. Dah balik awal satu hal, siap masakkan sesuatu untuk dirinya.
"Pagi sangat ni bang, nak makan apanya?" jawab Kirah sambil mengosokkan matanya. Sekadar untuk memastikan yang dia tidak bermimpi. Mana tahu ini sekadar mainan tidurnya.
"Kirah jangan banyak soal. Abang nak buat semuanya untuk Kirah. Dah tak kira pukul berapa pun sekarang ni. Abang nak Kirah bangun dan makan. Abang nak ambil cuti, kita akan ke Cameron Highlands pukul 6 nanti," Zahid terus mendesak agar isterinya bangun biarpun jam baru menunjukkan jam tiga pagi.
Kirah mengangguk. Sudah lama Zahid tidak bersikap begini. Hampir mengalir air matanya melihat kelakuan suaminya. Jangan kata pukul tiga pagi, pukul 12 tengah malam pun Kirah sanggup bangun asalkan Zahid melayannya dengan baik.
"Aku mimpi lagi ke ni?" soal Kirah sekali lagi usai sahaja Zahid meninggalkan bilik tidur mereka. Dia kemudiannya mencubit pahanya, terasa sakit.
"Menjadilah ilmu Mak Dukun," dia kemudiannya tersenyum sendiri. Cepat-cepat dia menuju ke bilik air. Tidak mahu membiarkan Zahid sendirian di meja makan.
Zahid resah. Dia menunggu kedatangan isterinya dengan perasaan yang serba tidak kena. Kalau boleh sesaat pun dia tidak mahu Kirah hilang dari pandangan matanya. Sedetik berjauhan dia merasa bagai setahun.
"Abang masak apa ni?" Kirah tiba di meja makan. Dia menghidu bau aroma masakan suaminya.
Zahid senyum bila melihat kehadiran isterinya.
"Ommelate. Kegemaran sayang. Kan kita selalu makan ni masa di Jerman dulu."
Kirah menjerit kegembiraan. Tidak menyangka suaminya masih ingat lagi sarapan pagi kegemarannya. Zahid menghampiri Kirah wajah Kirah di renung. Semakin lama semakin dalam renungannya. Dia melihat wajah Kirah amat berlainan sekali. Cantik dan manis. Zahid membelai wajah itu. Namun semakin lama wajah manis Kirah semakin berubah. Perlahan-lahan Zahid dapati ada kedutan halus di wajah isterinya. Dia mengusap pipi Kirah dengan perlahan. Makin dia usap semakin ketara kedutan di wajah Kirah.
"Allah," Zahid menjerit. Tangannya segera di alihkan bila dia melihat yang di gosok bukannya pipi mulus isterinya sebaliknya wajah seorang perempuan tua yang sudah berkedut. Matanya mercerlung tajam dan tersengih hingga menampakkan giginya yang rongak.
"Abang, kenapa ni?" tanya Kirah. Dalam elok saja Zahid membelai wajahnya tiba Zahid menolak. Nasib baik dia tidak tergolek jatuh, sempat dia berpaut pada kerusi.
"Han....Han..tu..." jerit Zahid. Dia segera berlari menuju ke bilik tidur.
"Hantu?" bulu roma Kirah merinding. Melihat kelakuan suaminya dia turut menjadi cuak. Segera dia melangkah mengekori suaminya.