"Aisya, mari makan nakk" panggil Mak Minah sambil menghidangkan lauk-pauk untuk makan tengahari di meja makan.
"Ya, sekejap ya, mak long." laung Nuraisya dari dalam bilik sebaik sahaja meletakkan beg sekolahnya.
Nuraisya berjalan menuruni tangga menuju ke dapur di mana tempatnya makan bersama mak long nya, Mak Minah. Nuraisya mengambil pinggan lalu menyenduk nasi putih di dalam mangkuk dan juga lauk sambal ikan kerisi yang merupakan air tangan mak long.
Nuraisya telah kehilangan ibu ayahnya yang tercinta sewaktu berusia 7 tahun kerana terlibat dalam kemalangan maut yang telah meragut nyawa mereka. Dan sejak dari itu, Mak Minah telah dipertanggungjawabkan untuk menjaganya kerana Mak Minah tidak dikurniakan anak setelah berkahwin dengan arwah suaminya, Pak Daud yang juga telah gugur di medan perang sewaktu memperjuangkan Tanah Melayu yang ingin merdeka.
Dalam hidup Nuraisya hanya ada Mak Minah sahaja dan Nuraisya juga takut kehilangan Mak Minah. Tapi, sejak kebelakangan ini, Mak Minah sering sahaja batuk-batuk. Apabila ditanya, Mak Minah pasti mengatakan dia tidak mengapa.
"Aisya, tambahlah lagi nasi tu, sikit sangat kamu makan." ujar Mak Minah sambil terbatuk-batuk.
"Ehh, tak apa mak long. Aisya dah kenyang. Mak long tu, makan lah. Dari tadi Aisya tengok nasi mak long tak luak pun. Jamah lah sikit, mak long" pujuk Nuraisya lalu menggaulkan nasi bersama ikan lalu menyuapnya ke mulut Mak Minah.
Mak Minah memandang sayu muka anak buahnya itu seraya berkata-kata di dalam hatinya.
"Ya Allah, Kau rahmatilah anak ini. Sesungguhnya dia berhak untuk memperoleh kebahagiaan seperti manusia yang lain." doa Mak Minah pilu sekali.
Usai makan tengahari, Nuraisya membantu Mak Minah mengemaskan dapur, membasuh pinggan, dan menyapu lantai. Nuraisya tidak membenarkan ibu saudaranya membantunya kerana risau Mak Minah akan jatuh atau sebagainya kerana orang tua itu tidak kuat untuk banyak berjalan dan membuat pelbagai kerja rumah.
Nuraisya pergi ke bilik tidurnya untuk membuat ulang kaji kerana dia akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Dia ingin belajar bersungguh-sungguh supaya dapat capai impiannya untuk melanjutkan pengajian di universiti kelak. Memandangkan pada zaman ini, pinjaman pelajaran juga turut disediakan untuk bakal siswazah di Malaysia.
Sungguh tekunnya Nuraisya mengulang kaji hingga tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Nuraisya bingkas berdiri terus ke kamar mandi untuk mandi serta berwudhu'. Dia menunaikan solat asar. Selesai solat, terus sahaja dia menadahkan tangan serta berdoa di dalam hati.
"Ya Allah, aku memohon kepadaMu agar Kau tempatkanlah ayah dan mama di dalam SyurgaMu ya Allah. Kau rahmatilah diriku, Ya Allah. Ya Rahman Ya Rahim, Kau kurniakan lah kesihatan yang sempurna kepada mak long ku ya Allah. Sesungguhnya hanya dialah insan yang telah menjagaku sejak ayah dan mama pulang bertemuMu. Ya Allah, aku juga memohon agar Kau berikan lah aku kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun ini, Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamin.
Setelah selesai berdoa, Nuraisya merenung meja sebelah katilnya di mana terdapat sekeping gambar arwah ayah dan mamanya. Sekelip mata butir-butir jernih jatuh laju di pipinya. Kedengaran esak tangisnya sungguh memeritkan.
"Ayah,mama... Aisya rindu sangat pada ayah dengan mama. Tapi, Aisya redha dengan semua nie. Malangnya, Aisya tak kuat." ujarnya.
Air matanya turun lebih laju lagi. Tangan kanannya laju mencapai al-quran di meja belajarnya dan mula membaca Surah Ar-Rahman. Aisya amat yakin dengan keajaiban al-quran yang mampu untuk memberikan ketenangan kepada pengamalnya. Memang setiap hari Aisya tidak pernah lepas untuk membaca al-quran walaupun di sekolah, Aisya membawa al-quran tafsir untuk dibacanya ketika waktu lapang.
Pada malam itu, kedengaran guruh berdentum kuat diikuti bunyi petir yang sabung-menyabung. Nuraisya berasa risau takut-takut kalau hujan turun dengan lebat, pasti air akan menitis masuk ke dalam rumah kerana kebanyakan atap rumah mak long nya sudah bocor. Nuraisya lekas ke dapur untuk mencari baldi dan besen untuk meletakkan di ruang tamu kerana terdapat kebocoran.
Setibanya di dapur, kelihatan mak long nya sedang terbongkok-bongkok di bawah sinki untuk mencari besen.
"Mak long, apa yang mak long susah-susah bongkok di bawah tu? Aisya kan ada, Aisya tak nak susahkan mak long. Mari Aisya tolong ya?" pelawanya lembut.
"Ishhh, kamu jangan nak susahkan diri kamu, Aisya. Mak long masih mampu untuk lakukan semua nie. Janganlah kau risau pasal mak long, nak." balas mak long lalu mengangkat besen yang dijumpainya.
"Alaaa, mak long, tak susah apapun. Aisya risau takut-takut mak long jatuhkah..apakah.." tingkah Nuraisya yang mengambil besen itu dan terus naik ke ruang tamu.
Tiba di ruang tamu, kelihatan tompok air yang agak besar di permukaan lantai. Nuraisya segera meletakkan besen di situ dan dia bergegas ke dapur semula untuk mengambil kain buruk. Dia terserempak dengan mak long di tangga dapur. Kebetulan mak long memang sedang memegang kain buruk dan terus dihulurkan kepadanya.
"Terima kasih, mak long."ujarnya sambil tersenyum.
Mak long membalas dengan senyuman. Mak long terus masuk ke bilik tidurnya. Nuraisya memandang ke arah jam dinding. Jam telah menunujukkan pukul 10.00 malam. Nuraisya terus pergi untuk mengelap air hujan yang telah membasahi permukaan lantai yang basah itu tadi. Dia terus ke bilik tidurnya untuk tidur kerana dia takut akan terbangun lambat untuk ke sekolah.
YOU ARE READING
Penantian
RomanceNuraisya, gadis remaja yang tinggal sebatang kara berasa kekosongan di dalam hidupnya. Ibu saudaranya, Mak Minah semakin tenat dan tiada siapa yang mampu untuk bersamanya menjalani kehidupan di dunia. Dia berharap agar kebahagiaan hakiki akan menim...