Panjang helaan nafasnya. Kosong dan hambar. Itulah yang dirasakan saat ini. Hanya renungan tanpa perasaan mampu dilemparkan di tengah tasik. Bagaikan tiada lagi tarikan. Tempat ini tidak mampu lagi memberi ketenangan kepadanya.
“Jomlah kita balik. Aku dah penat.”
“Baru satu round, takkan dah nak balik.” Yusri membalas tidak percaya. Tadi beria-ia ajak dia joging kat sini. Baru satu pusingan sudah hendak balik. Baik tak payah datang. Tidur lagi bagus. Entah apa yang tidak kena dengan sepupunya sorang ini. Sejak balik dari kampung, pelik benar perangainya. Termenung sahaja. Ini mesti sebab Ayuni Aisya.
Danial mengeluh panjang.“Aku tengok hang asyik termenung saja sejak balik dari kampung. Hang ada masalah ka?” tanya Yusri bersama satu tepukan di bahu. Satu sikap Danial yang dia tahu, suka memendam perasaan. Sejak mama Danial meninggal, sepupunya berubah menjadi seorang yang pendiam. Dia bersimpati dengan nasib Danial. Sudahlah kehilangan kasih sayang seorang ibu. Papanya pula hanya sibuk dengan urusan syarikat sehingga tanggungjawab menjaga Danial diserahkan kepada orang gaji.
Danial mula berkawan dengan budak-budak nakal yang menjadi perhatian sekolah. Lama-kelamaan Danial juga turut terlibat sehingga dia hampir dibuang sekolah. Disebabkan itu, sepupunya itu dihantar balik ke kampung. Dia tahu Danial pada mulanya tidak suka tinggal di kampung. Dalam diam dia memprotes. Suka menyendiri dan pendiam .Tetapi siapa sangka Ayuni Aisya mampu mengubah sikap Danial Haikal. Di samping Ayuni, Danial mampu mengukir senyuman ceria kembali.
Namun, kecerian Danial hanya sementara. Tiba-tiba hubungan Danial dan Ayuni renggang. Ayuni menjauhkan diri daripada Danial. Mungkinkah ada kaitan dengan sahabat Danial yang datang ke kampung melawat Danial sebaik mereka selesai peperiksaan SPM? Kemudian, sebaik mendapat keputusan peperiksaan SPM, Danial ada balik ke rumah papanya. Namun, apabila Danial kembali ke kampung, sikap sepupunya itu terus berubah menjadi seorang yang begitu pendiam dan murung. Selang beberapa minggu, Danial mengambil keputusan untuk tinggal dengan pak su di Johor. Dia ada cuba bertanya, tetapi Danial lebih suka mendiamkan diri.
Danial hanya diam berdiri di tengah jambatan dengan renungan yang jauh di tengah tasik yang beralun tenang. Soalan Yusri tidak mampu dijawab. Yang pasti, hatinya terasa kosong dan saat ingatannya kembali pada kejadian yang berlaku pada Ayuni, hatinya mula dipagut resah. Hatinya tidak tenteram.
“Tak ada apa-apa. Aku okeylah,” jawab Danial. Bibir cuba melirik senyum walaupun tampak hambar. Kemudian dia kembali menyepi.
Yusri hanya memerhati.“Nal, dah lama aku nak tanya hang. Tapi aku takut hang kata aku suka campur urusan hati dan perasaan hang. Sebab dulu hang pernah warning aku, pasal hati dan perasaan hang tak boleh sesiapa pun ambil tahu. Sebab... itu seratus peratus hak hang dan tiada sesiapa pun boleh tentukan keputusan yang hang buat.”
Danial tersenyum. Dia masih ingat kata-kata itu. Apabila Yusri kerap kali bertanya tentang perubahan sikapnya yang suka menyendiri ketika itu, dia jadi marah. Kemarahan yang tak dapat dipendam sendiri akhirnya meletus kepada Yusri.
“Tapi aku faham... masa tu hang tengah serabut. Mungkin pasal Ayuni dan mungkin juga sebab papa hang. Lepas balik jumpa papa hang, sikap hang lain sangat. Apa sebenarnya yang terjadi Nal?”
Danial diam. Soalan Yusri tidak mampu dia jawab. Yang pasti biarlah peristiwa itu tersimpan kejap dalam lipatan sejarah hidupnya.
“Jomlah, kita balik,” ajak Danial.
Yusri mengeluh. Menggeleng perlahan. Dengan sendirinya dia mengerti kesepian Danial. Dia tidak akan menemui jawapannya.
Kayuhan basikalnya semakin laju. Dia betul-betul sudah lambat gara-gara perutnya meragam pagi ini. Dan hari ini buat pertama kalinya dia melanggar pesan emak. Tetapi kalau ikut jalan biasa, mesti dia akan lambat sampai sekolah. Disebabkan itu, dia mengambil keputusan melalui jalan pintas ini.
YOU ARE READING
DIAKAH CINTA?
RomansaTiba-tiba lelaki itu muncul kembali setelah hati AYUNI AISYA digores luka. Pertemuan yang tidak disengajakan dengan DANIAL HAIKAL telah menggamit kembali kenangan lama. Mengapa begitu payah untuk dia melupakannya? Lagi haru-biru apabila dia terpaksa...