#CSM 2

246 14 0
                                    


Kisah Andrew dan Laila

“Nak ke mana, encik?” Ramah pemandu traktor perempuan itu bertanya.

“Rumah Tuan Arshad.” Jawab Andrew tapi matanya tidak lepas memandang perempuan di atas traktor. Kulit cerahnya kemerah-merahan dipanah cahaya mentari. Hmmm... perempuan cantik. Apa yang dibuatnya di ladang ni?

“Kalau macam tu, ikut saya sajalah. Saya pun nak ke sana.”

“Bolehlah kalau gitu.” Andrew tersengih dan perempuan itu turut mengukir senyuman. Mak oii! Memang cantik! Pekerja kat ladang ni ke? Andrew mula memandu mengekori traktor yang bergerak perlahan. Tidak sampai dua kilometer traktor membelok di satu simpang yang lain. Andrew turut melakukan perkara yang sama.

Keretanya terus bergerak sehingga Andrew terpandangkan sebuah rumah agam yang tersergam indah. Kawasan laman dipenuhi bunga-bunga berwarna-warni. Andrew memberhentikan kereta lalu mematikan enjin. Dia membuka pintu dan melangkah turun. Cantiknya pemandangan! Jauh berbeza dari apa yang dia fikirkan.

“Kak Melur.” Perempuan pemandu traktor tadi menghampiri seorang wanita yang sedang menyiram pokok bunga. Andrew sekadar memandang wanita yang dipanggil Melur itu menoleh. Lantas Andrew dipandang dengan senyuman terukir di bibir. “Ada tetamu. Nak jumpa dengan Tuan Arshad.”

“Kamu datang untuk praktikal ke?”

Melur menghampiri Andrew dan Andrew mengangguk. “Kebetulan ayah akak ke China. Dua minggu. Tapi tak apa. Semuanya dah diuruskan.”

Melur kemudiannya berpaling.

Kedengaran dia memanggil seseorang. “Hisyam!”
Seketika kemudian kelihatan seorang lelaki melangkah keluar dari rumah agam. Pakaiannya kemas. Berseluar slack warna hitam dan berkemeja lengan pendek warna biru muda.

“Ada apa, Cik Melur?”

“Ini...” Melur memandang Andrew.

“Nama saya Andrew.”

“Praktikal.” Beritahu Melur.

“Ooo... minta maaf. Tuan Arshad beritahu datangnya esok.” Hisyam menghulurkan tangan. Andrew dan lelaki itu bersalaman. “Andrew Ryan Lee, kan?” Tanyanya dan Andrew mengangguk. “Jemputlah. Saya tunjukkan rumah tetamu.” Pelawa lelaki itu.

Andrew hanya tersenyum. Matanya sempat mengerling ke arah perempuan yang memandu traktor tadi. Dia melangkah mengekori Hisyam. Di sebelah rumah agam, terbina rumah tetamu. Ada tiga buah semuanya. Persekitarannya indah dihiasi dengan kolam ikan. Rumput karpet menjadi penambah seri pada landskap di kawasan rumah agam ini.
Hisyam membuka pintu rumah tetamu yang tertulis nombor satu. Andrew melangkah masuk. Kemas kelihatan ruang rumah. Tiada ruang pemisah. Perabotnya lengkap.
Mengingatkan Andrew pada bilik tidurnya sendiri.

“Makan, Andrew tak perlu risau. Akan disediakan. Selain Andrew, ada seorang lagi pelajar praktikal di ladang ni. Laila.” Beritahu Hisyam sambil menarik langsir. Cahaya mentari menerjah masuk. Menerangi ruang rumah tetamu.

“Laila?”

“Budak perempuan yang pandu traktor tadi. Dia pun praktikal juga.”
Oo.. aku ingatkan budak ladang ni juga. Andrew mengangguk.

Dipandangnya Hisyam. Lelaki itu membuka tingkap. Kali ini menyerbu pula angin. Membuai-buai langsir. “Andrew berehatlah dulu. Di ladang ni, tak perlu nak risau sangat. Banyak kerja tapi bukanlah macam di syarikat besar. Lama-lama Andrew di sini nanti, biasalah.”

Andrew hanya tersenyum.

“Nanti makan tengah hari dah siap, saya panggil. Vegetarian ke?” Tanya Hisyam. Andrew menggeleng. Hisyam hampir melangkah ketika Andrew bersuara. Lelaki itu menoleh.

“Boleh saya tahu arah kiblat?”

Hisyam merenungnya.

“Saya tahu. Nama saya buat ramai yang keliru. Tapi agama saya, Islam. Hampir setahun. Nama saja saya tak tukar.”

Hisyam tersenyum memandang lelaki itu. “Yang penting, agama. Nama apa pun tak kisah sebenarnya.” Hisyam menepuk lembut bahu Andrew. “Kiblat tegak.” Hisyam menunjukkan arah kiblat selari dengan tingkap. “Ada surau berhampiran ladang ni. Kalau azan, dengar.”

“Terima kasih, Encik Hisyam.”

“Hisyam. Tak perlu berencik.”

Andrew memandang Hisyam. Sebaik lelaki itu hilang dari pandangan matanya, Andrew duduk di birai katil. Hmm... boleh tahan. Tempat ini jauh kelihatan lebih baik. Aman. Tenteram. Andrew berbaring. Kipas siling yang sedang berputar direnungnya.

Cinta Semanis ManggaWhere stories live. Discover now