0 3

284 33 6
                                    

TENGAH HARI Jumaat itu sewaktu Suraya mahu hantar makanan ke rumah Kalthum, dia perasan motosikal Meor elok terparkir di tepi tangga.

Dahinya berkerut. Meor tak pergi kerja ke?

Terhendap-hendap dia di hadapan pintu rumah Kalthum. Hendak bagi salam dia tak berani. Selalunya makanan ini emaknya Melah Janda yang hantarkan. Tetapi hari ini emaknya cirit-birit, dari pagi sampai ke tengah hari ulang-alik masuk bilik air. Jadi, terpaksalah dia yang menggantikan tugas emaknya.

Kebetulan dia ambil cuti tahunan hari ini, kena sangat dengan waktu emak sakit. Kalau tidak, pasti tak berlauk makan Kalthum siang ini.

“Sakit ke dia ni?” Bisik Suraya kepada diri sendiri.

Tak lama lagi akan masuk waktu solat zuhur. Bila dah masuk waktu solat zuhur, maknanya masuklah juga waktu bagi kaum lelaki tak kiralah apa status fizikal mereka, lurus, bengkok, kunyit, serai, pondan atau lelaki sejati, yang pasti mereka wajib menunaikan solat Jumaat.

Meor balik rehat ke? Setahu dia Meor tak balik rumah waktu rehat.

Lama Suraya termenung di hadapan rumah Kalthum sambil tangannya membimbit mangkuk tingkat berisi makanan. Di dalam mangkuk tingkat itu ada lauk dendeng daging dengan acar timun. Masakan daripada air tangan Suraya sendiri.

Setiap hari pada pukul 12.15 tengah hari, emaknya akan hantarkan makanan untuk Kalthum. Meor sudah bayar kepada emaknya duit yang cukup untuk semua lauk-pauk yang dihantar itu.

“Saya tak nak emak saya lapar. Kalau harapkan emak rasanya tak makanlah orang tua tu. Masak ringkas-ringkas pun tak apa. Janji perut emak saya terisi. Saya tak mampu nak balik tengok emak  masa rehat. Tempat kerja saya jauh.”

Agak jauh, makan masa lebih kurang dua puluh minit. Pergi balik saja dah empat puluh minit. Belum kira lagi jika jalan sibuk waktu orang lain pun rehat dan budak balik sekolah. Jalan jadi semakin sibuk dan masa di jalan raya juga semakin panjang.

Suraya dengar Meor memberitahu emaknya seperti itu sewaktu dia mencuri dengar perbualan mereka.

Dia tak tahu berapa duit yang dihulurkan Meor tetapi kata Melah Janda, “Banyak….” Meleret bunyinya, namun duitnya tak ditunjukkan.

Suraya lepaskan keluhan dalam. Dia kesat dahinya yang berpeluh.

Dulu yang tak dulu sangat, mungkin bermula semasa zaman persekolahan, Suraya sangat sukakan Meor. Tapi Meor tak pernah nak ambil peduli soal hatinya. Bukan dengan dia saja, malahan dengan gadis lain juga begitu.

Suraya syak Meor begitu bukan kerana Meor mengalami kelainan jiwa yang sukakan jantan sesama jenis. Mungkin lebih kepada Meor malu dengan keadaan emaknya yang gila.

Ya, Kalthum gila.

Tapi, Kalthum bukannya gila sejak azali. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini, tepatnya selepas bapa Meor meninggal dunia dipatuk ular sewaktu menebas di kebun di hujung kampung, barulah emak Meor menjadi manusia yang tidak waras.

Habis semua orang dibencinya. Habis semua orang hendak dimaki hamunnya. Cuma setakat itu, Kalthum tidak pernah pula mengganggu orang lain. Keluar dari rumah ini pun Kalthum tak pernah.

Namun pernah sekali, itulah kali pertama dan terakhir Kalthum buat hal. Satu kampung heboh Kalthum berlari keliling kampung dalam keadaan telanjang. Jenuh satu kampung mengejar Kalthum yang berlari macam pelari pecut dunia.

Ramai-ramai pakat kejar dalam keadaan mulut melopong. Tak seorang pun dapat memintas Kalthum yang laju berlari. Sampai akhirnya Kalthum terjun dalam tali air. Nasib baiklah emak si Meor itu tidak lemas.

Merah muka Meor angkat emaknya yang tak sedarkan diri. Namun merah lagi mata Meor menahan tangis. Meor balutkan tubuh emaknya, tak bagi seorang pun sentuh emaknya hatta yang mahu membantu adalah golongan sama jenis dengan emaknya.

Selepas itu Meor bawa emaknya berubat entah di mana. Berminggu juga Meor pergi, balik-balik emaknya tak nampak seperti orang yang sudah waras, tetapi emaknya tak lagi larikan diri. Duduk berkurung dalam rumah, halaman lapang di depan rumah pun Kalthum tak mahu jejak.

Bila dihantarkan makanan Kalthum buka pintu sedikit. Panjang tangannya capai mangkuk tingkat yang memang sengaja diletakkan betul-betul di hadapan pintu.

Tak tahulah kenapa Suraya tetap tercegat di sini. Patutnya dia letakkan saja mangkuk tingkat untuk makan tengah hari Meor dan Kalthum.

“Su?”

Pintu rumah terbuka. Meor keluar sewaktu Suraya sedang terbongkok letakkan mangkuk tingkat di hadapan pintu.

“Eh… Meor.” Suraya senyum. Tak manis dan tak kelat.

Meor bersongkok. Bajunya pula baju Melayu, dipadankan dengan seluar jean. Dia tak pakai kain pelekat.

“Mak suruh hantar ni…” Mangkuk tingkat diambil semula, diserahkan kepada Meor.

“Terima kasih.”

Suraya angguk.

“Tak kerja ke hari ni?”

“Tak. Pagi tadi masa saya nak tinggal emak, badan emak panas. Tak sampai hati saya nak tinggal. Awak tahu tak?”

Kening Suraya  terjongket.

Tahu apa? Dia bukan dukun, mana tahu apa yang dah jadi….

“Saya bersilat dengan emak masa nak bagi emak makan ubat.” Meor tergelak, tetapi dia tidak pandang muka Suraya.

Dia ketawa tapi Suraya rasa Meor sedang bersedih. Mata Meor tak ikut tersenyum bersama bibir Meor.

“Awak tahu siapa menang?”

“Siapa?” Tanya Suraya kerana mahu ambil hati Meor.

“Mestilah saya!”

“Tahniah….”

Tak tahulah kenapa Suraya ucapkan tahniah. Dan ucapan itu berjaya buat Meor pandang wajahnya.

Mata mereka bertentang. Senyum Meor hilang. Entah berapa saat mereka bersabung pandang, Meor yang mula-mula putuskan pertembungan anak mata mereka.

“Sa… saya dah lambat. Nak pergi solat Jumaat.” Tiba-tiba Meor tergagap. Dia betulkan songkok di atas kepala.

“Terima kasih hantar lauk.”

Meor tak lagi pandang Suraya. Tergesa-gesa dia tinggalkan Suraya yang masih tercegat di depan pintu rumahnya.

DIA YANG SULIT DITINGGALKANWhere stories live. Discover now