Prolog

3.7K 84 2
                                    

PROLOG I

"SAYA serius, awak. Kahwin dengan saya!" Aku tergamam. Aku memandang dirinya lama, atas bawah.

Dia nak kahwin dengan aku? Dia ni?

Wajah dah la macam perempuan, dengan rambut panjang mengurai dia tu. Beralun lembut pula tu macam letak sekilo perapi. Aku yang perempuan pun rambut tak selembut ni.

Nasib suara tu ajelah suara lelaki, dia tak kepit untuk nampak macam perempuan.

Hesy, jejaka jelita ni.

Aku tak adalah desperado sangat nak kahwin sampai sanggup aje kahwin dengan sesiapa pun. Lagi-lagi dengan dia yang lagi lawa dan lembut, lemah gemalai daripada aku.

Ah, tak mungkin!


PROLOG II

Beberapa tahun lalu...

AKU merenung dia yang sedang duduk berhadapan denganku di kafeteria universiti ketika itu. Wajahnya putih mulus tanpa sebarang noda, bulu matanya lentik menghiasi matanya yang hitam pekat, pipinya kemerah-merahan tanpa perlu dioles pemerah pipi, bibirnya berwarna merah jambu lembut dan tampak lembap secara semula jadi.

Rambutnya yang panjang separas bahu disisir kemas dan rambut hadapan dibiarkan menutupi sebahagian dahinya. Sesekali jari-jemarinya yang runcing menyelak rambut dan diselit di tepi telinga.

"Kenapa nak berhenti belajar?"

Aku menyoalnya serius. Dahi aku dah berkerut seribu saat itu.

Dia diam. Sekadar memerhati aku dengan matanya yang bundar itu.

"Siapa bagi tahu awak? Emak ke mama saya?" soalnya setelah lama membiarkan sepi menemani kami.

"Tak penting siapa yang bagi tahu, cuma saya nak tahu kenapa?"

Aku memeluk lengan rapat ke dada, mahukan jawapan yang sewajarnya.

Dia menghela nafas.

"Mesti mama yang minta awak pujuk saya, kan?"

Dia seakan-akan sudah bisa menebak apabila aku enggan memberikan jawapanku. Aku diam, masih tidak mahu berterus terang walaupun memang betul mamanya yang meminta aku menyoal dan memujuk dia supaya meneruskan pengajiannya.

"Saya bukan berhenti belajar, saya cuma nak tukar kos dan universiti. Saya dah tak nak belajar medic."

"Kalau awak tak nak belajar medic, awak nak belajar kos apa? Kenapa sampai kena tukar U?"

"Sebab dekat U ni tak ada kos yang saya nak. Saya tak minat medic, minat saya lain, awak."

Dia berterus terang.

Aku diam. Memikirkan apa yang harus aku katakan kepada lelaki lembut di hadapanku ini.

"Awak memang nekad dan tak rasa menyesal berhenti belajar medic?" soalku, ingin kepastian dan dibalas dengan anggukan darinya.

"Okey, kalau macam tu awak teruskan aje."

"Hah?" Mata dia membulat memandangku.

"Ikut hati awak. Kalau awak belajar benda yang awak tak minat pun, esok-esok awak kerja mesti dah jadi tak ikhlas. Lagi-lagi kerjaya macam doktor tu, kalau awak tak ikhlas rawat pesakit, macam mana awak nak rawat dengan sebaiknya? Buat naya pesakit aje nanti." Aku mengomel.

"Yang penting, apa juga yang awak nak ambil lepas ni, belajar betul-betul dan kejar cita-cita awak tu. Kalau awak buat perkara yang awak suka, mesti awak happy." Aku menambah, cuba menaikkan kembali semangat dia.

"Awak sokong keputusan saya ke, Ayesha?" soalnya dengan rasa tidak percaya.

Aku mengangguk bersama senyuman ikhlas di bibir. Dia ikut tersenyum bersama wajah yang kembali ceria.

JODOHKU JEJAKA JELITAWhere stories live. Discover now