Prolog

357 8 3
                                    

Di sebuah pergunungan yang diliputi hutan belantara dan air sungai mengairi hingga ke kuala, berkumpul ribuan pendekar melayu nusantara. Dari pendekar biasa sehingga pendekar handalan memenuhi air terjun tempat bakal berlakunya satu pertempuran yang hebat. Pertempuran di antara dua pendekar handalan yang disegani ilmu kependekarannya.

"Aku adalah Pendekar Harimau Putih. Datangku mencabar Pendekar Gagak Hitam!" Pendekar Harimau Putih mengerling ke arah Pendekar Gagak Hitam. Matanya tajam penuh maksud tersirat yang mungkin hanya difahami oleh seterunya sahaja.

Suasana yang senyap sunyi dihiasi dengan suara aliran sungai yang menderu melanggar tebing dan batu-batuan, menanti jawapan balas Pendekar Gagak Hitam.

"Hik hik hik," ketawa ilai Pendekar Gagak Hitam menjawab hajat lawannya. "Kau datang kepadaku ingin mencabar aku? Tahukah kau sudah berapa ramai pendekar yang dagingnya diratah olehku?"

Suatu perlawanan yang disaksikan oleh pendekar-pendekar handalan dari seluruh Tanah Melayu. Ada yang bertenggek di pokok seperti Pendekar Gagak Hitam, ada yang duduk di atas batu-batuan besar sungai dan ada yang memerhati dari jauh. Setiap kali cabaran diajukan kepada Pendekar Gagak Hitam, pasti tidak ada yang mahu ketinggalan menyaksikannya. Kehandalah Pendekar Gagak Hitam di dalam ilmu pendekar dan kebatinan telah menumpaskan ramai lawannya yang berbisa.

"Aku tidak gentar denganmu Gagak Hitam! Aku datang menuntut bela ke atas kematian guruku yang telah engkau bunuh 3 tahun yang lalu. Ajalmu sudah tiba. Kalau tidak engkau mati ditanganku, bukan lagi namaku Harimau Putih!"

"Hik hik hik... Harimau Putih... Kau tidak seperti gurumu yang baik berkata-kata. Kalau mati pun aku di tanganmu, gurumu lebih aku suka mengambil nyawaku. Jangan harapkan tanganmu ingin menyentuhku, mulutmu juga aku tidak ingin!"

Maka berlakulah pertempuran antara Pendekar Harimau Putih dan Pendekar Gagak Hitam. Suasana tenang menjadi kelam. Awan putih menjadi gelap. Angin bertiup menerbangkan dedaun yang keguguran.

"Harimau Putih aku seru, dari puncak bukit asalmu. Datang kepadaku dengan meluru, berdamping denganku sejak dahulu!"

Pendekar Harimau Putih membaca mantera yang menyeru makhluk lain dari alam ghaib. Bunyi ngauman harimau menerobos hutan belantara. Tegak bulu roma pendekar-pendekar yang hadir ketika itu. Manakala Pendekar Gagak Hitam pula terkumat kamit mulutnya keseorangan dengan matanya yang kemerahan.

Puff, mereka terbang ke awanan bertarung sengit. Pokok-pokok tumbang kerana kekuatan ilmu seru jin yang telah digunakan oleh kedua-dua pendekar. Manakala pendekar lain yang lemah jiwanya meracau-racau dirasuk jin-jin yang berhampiran.

"Berhenti!"

Bergema satu suara yang datangnya entah dari mana untuk mereka berdua berhenti bertarung.

"Ketibaan! Tuan Paduka Jeragor Shah Alam."

Tumpuan sekalian pendekar yang hadir semuanya tertarik kepada ketibaan seorang jagohan yang sangat handal iaitu Tuan Paduka Jeragor Shah Alam. Pertarungan antara Pendekar Harimau Putih dan Pendekar Gagak Hitam terhenti serta merta. Pendekar-pendekar yang kerasukan pula terus sedar seperti asal.

"Apa hajatmu ke mari, Jeragor?" Berdiri Pendekar Kumbang menghadap Paduka Jeragor, pendekar yang lebih tua usianya berbanding pendekar-pendekar lain.

"Aku tidak berhajat untuk perkelahian dengan sesiapa pun Kumbang, tetapi sementara kalian pendekar berkumpul, ada yang perkara penting yang perlu kita bincangkan. Aku yakin ada di antara kalian yang telah sampai berita ini", jelas Paduka Jeragor.

"Berita mengenai budak hingusan yang mencabar kitakah Tuan Paduka?" Pendekar Harimau Putih mencelah.

"Betul, Harimau Putih," sambut Paduka Jeragor.

"Kah kah kah, dengan budak itu Tuan Paduka, aku tidak berganjak sedikit pun, sudah pasti jatuh rebah kehilangan nyawanya. Tidak mungkin Tuan Paduka takut dengan budak hingusan seperti itu?" ketawa Pendekar Harimau Putih dan disambut oleh gelak tawa pendekar-pendekar yang lain.

Pendekar Kumbang dalam keadaan marah berdiri memandang ke arah Pendekar Harimau Putih. Melihat tindakan Pendekar Kumbang itu, Pendekar Harimau Putih juga turut berdiri.

"Engkau memang kurang ajar Harimau Putih. Tidak tahukah engkau siapa yang berada di hadapan kita semua ini?" bentak Pendekar Kumbang marah dengan tindakan biadap Pendekar Harimau Putih.

"Bukan aku ingin kurang ajar Tok Kumbang. Tetapi berita budak hingusan itu menghina martabatku dan martabat pendekar-pendekar semua!" jelas Pendekar Harimau Putih.

"Kau tidak tahu apa-apa pun Harimau Putih. Tahukah kau Harimau Berantai telah kalah di tangan budak itu!" celah Paduka Jeragor.

"Harimau Berantai?" Pendekar Harimau Putih tertanya-tanya mahukan kepastian.

"Ya, teman perseteruanmu itu!" tegas Paduka Jeragor lagi.

Pendekar Harimau Putih terdiam seribu bahasa. Dia menghempaskan punggungnya dan duduk terkedu mendengar berita yang tak disangka-sangka. Teman perseteruannya Pendekar Harimau Berantai yang selalu menjadi saingannya telah kalah di tangan budak yang disangkanya budak hingusan.

"Susah aku hendak percaya berita ini, Tuan Paduka. Pendekar Harimau Berantai yang kita anggap sungguh berbakat dan luar biasa ilmunya tumpas begitu sahaja," Pendekar Gagak Hitam mencelah. Pendekar-pendekar lain yang hadir juga turut berbisik sesama mereka seolah-olah tidak percaya dengan apa yang terjadi.

"Pendekar Harimau Berantai adalah anak muridku dan dia juga merupakan orang kananku. Sudah tentulah aku tidak duduk diam bila berita ini sampai ke telingaku. Apa kau fikir siapakah orang itu yang mampu mengalahkan Harimau Berantai? Engkau saja Harimau Putih tercungap-cungap bertarung dengannya" sambung Paduka Jeragor lagi.

"Aku mendengar perihal budak ini tetapi tidak aku tahu siapakah namanya dan apakah gelarannya. Sepertinya dia adalah orang asing dari wilayah kita. Seluruh pendekar di Tanah Melayu juga tidak ada yang mengetahui siapakah gerangan budak yang digelar hingusan ini. Apa kau kenal budak ini, Harimau Putih? Memandangkan engkaulah yang memanggilnya budak hingusan," Pendekar Kumbang mencelah, seorang pendekar tua yang luas ilmunya dan memiliki ribuan anak murid dan ratusan daripadanya adalah pendekar handalan.

Pendekar Harimau Putih masih duduk termenung termanggu-manggu seperti ada sesuatu yang berlegar di dalam fikirannya. Mukanya sedikit pucat dan bibirnya mengeletar. Mata pendekar-pendekar semua tertumpu kepadanya menanti jawapan kepada soalan yang diajukan oleh Pendekar Kumbang.

"Kenapa Harimau Putih?" Paduka Jeragor hairan melihat kelakuan Pendekar Harimau Putih yang diam seribu bahasa seperti tidak mampu mengungkapkan kata-katanya.

"Aku... Aku pernah terjumpa dengan budak itu Tuan Paduka." Mata Harimau Putih memandang ke arah Paduka Jeragor. Suaranya berubah menjadi gagap sukar mengeluarkan butiran kata berbanding kelancangan lidah yang melukakan hati ramai orang sebentar tadi.

Pernyataan yang dikeluarkan oleh Pendekar Harimau Putih memeranjatkan ramai pendekar. Meremang bulu roma pendekar handalan yang lain. Muka Paduka Jeragor bertambah bengis seperti api sedang marak dari dalam dirinya. Matanya merah menakutkan ramai pendekar.

"Di mana kau berjumpa dengannya!?" sergah Paduka Jeragor.

"Di sebuah desa menuju ke timur. Desa Mendam Berahi namanya, Tuan Paduka.", jawab Pendekar Harimau Putih lembut.

"Itu desa asal Harimau Berantai!" mata Paduka Jeragor terbeliak marah memandang tepat ke arah Pendekar Harimau Putih. 

Tasbih PerangWhere stories live. Discover now