Di Hujung Ilusi

51 0 0
                                    

Ketika Shamney termenung sendiri Syazli mula mengusik, "Mulalah berangan kawan sorang ni..." Sergah Syazli yang tiba-tiba menamatkan pertunjukan slaid wajah manis yang sejak kebelakangan ini selalu bermain dalam bayangan Shamney.

Wanis merupakan rakan sekelas Shamney yang paling cantik dalam kelas 3 Cemerlang, kelas pertama dalam seluruh tingkatan tiga yang berjumlah empat kelas semuanya. Bahkan kecantikan Wanis mengatasi kecantikan semua pelajar perempuan yang dikenalinya dalam Sekolah Warisan Bestari itu. Itu yang diluahkan kepada kawan baiknya, Syazli yang juga kawan berkongsi hobi bermain badminton setiap hujung minggu. Terbongkar sudah rahsia menungan Shamney semenjak dua menjak ini.

Bahkan situasi Shamney seringkali ditegur oleh beberapa orang guru yang menyedari perubahannya terutama sewaktu di dalam kelas semasa belajar. Matanya melihat cikgu yang mengajar tetapi pandangannya seperti tembus ke papan tulis di hadapan. Bagai ada sesuatu skrin yang dipandang di hadapannya. Bila dipanggil namanya, dia agak terkejut dan tergagap-gagap menjawab. Jelas sekali ada sesuatu yang sedang melanda jiwanya dan mengganggu fikirannya. Bahkan ketika membuang menungan keluar kelas melalui tingkap di sisinya, Shamney kekadang tersenyum sendirian. Mungkinkah ada sesuatu yang sedang mencuit hatinya? Rakan-rakan terutamanya Syazli yang duduk bersebelahan dengannya semakin hairan dengan perubahan tingkah lakunya. Apa agaknya yang sedang menggeletek hati Shamney sehingga dia boleh tersenyum sendiri.

"Wanis, awak dah siap kerja sekolah Math?" Soal Shamney kepada Wanis, sengaja mencari ruang untuk berkomunikasi. Lagipun Shamney memang tertinggal tajuk Algebra yang cikgu Ashikin ajar. Semakin hari kerja sekolahnya semakin banyak dan berlambak. Mahu dibuat, tidak berapa faham. Mahu dibiar, nanti namanya akan naik dan dipanggil cikgu. Nasib tak baik, kena denda. Terpaksalah menggunakan talian hayat. Nasib baik Wanis baik hati mahu meminjamkannya buku latihan walaupun dia sendiri hairan kerana baru kini Shamney membuka mulut untuk meminjam bukunya. Selama ini tidak pernah pun dia buat begitu terhadapnya. Harap-harap Wanis tidak tahu debaran yang seperti gunung berapi ingin meletup di dadanya.

"Tapi esok jangan lupa bawa ke sekolah. Cikgu Ashikin mahu buku itu esok." Pesan Wanis mengingatkan Shamney.

"Baiklah, Wanis." Jawab Shamney ringkas. Ceria di wajah Shamney menggambarkan girang di hatinya.

Seronok sangat dapat bercakap dengan Wanis walaupun sepatah. Soal kerja sekolah Matematik yang jadi dilemanya jadi perkara nombor dua. Yang penting dia mahu berkomunikasi dan melihat reaksi rakan sekelas yang dalam diam-diam telah mencuri hatinya itu. Dia sedar Wanis tadi malu-malu sewaktu menyerahkan bukunya. Wanis tidak berani memandangnya. Mungkinkah di hati Wanis juga ada sesuatu?

"Hei Shamney, cepatlah siapkan Math. Masa dah suntuk. Sekejap lagi masa cikgu Ashikin. Pasti dia tagih kerja semalam. Sudah berapa hari kerja awak menimbun? Jangan asyik berangan. Nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran." Ingatan Syazli terhadap Shamney seakan memberi amaran buatnya.

"Aku tengah rushinglah ni." Jawab Shamney.

"Kau jangan sampai cikgu mark. Kalau cikgu dah mark nanti, susah nak padam nama kau dari mulutnya. Satu bilik guru akan kenal siapa Shamney." Syazli mengingatkan lagi. Kali ini baru dipandang serius oleh Shamney. Kalau kecoh satu bilik guru tentang perangainya, pasti segala isu yang berkaitannya juga akan meletup.

"Oh tidak." Tiba-tiba terpacul dari mulut Shamney.

"Tahu pun takut." Kata Syazli sambil menyiapkan kerja Bahasa Melayu yang baru diperolehi dari cikgu Fadzilah sebentar tadi.

"Syazli, kau janganlah doakan macam itu." Pinta Shamney.

"Aku bukan doakan, aku ingatkan saja. Maklumlah, nanti kalau ada apa-apa pasal kau tentu akupun akan masuk senarai yang kena siasat. Paling tidakpun mereka mahukan maklumat dari orang terdekat. Lecehlah aku nak menjawabnya nanti." Jelas Syazli agak matang dan berpandangan agak jauh.

Di Hujung IlusiWhere stories live. Discover now