Dua tahun kemudian...
LYSSA mengatur jalannya pulang ke rumah. Baru sebentar tadi dia menunaikan permintaan Ravi. Bibir senyum lebar, tanda hatinya puas dapat membantu satu lagi suara. Namun senyuman Lyssa lenyap tatkala matanya terpandangkan seorang wanita berdiri di depan pagar rumahnya. Kepala wanita itu terjengah-jengah sementara mulutnya memberi salam.
"Mak cik." Lyssa menyapa wanita tersebut dengan rasa hairan.
"Mak cik cari siapa?" tanya Lyssa tanpa berlengah.
"Anak ni... Lyssa, kan?"
"MAK cik cakap ada benda yang mak cik nak beritahu tadi. Apa dia, ya?" santun Lyssa bertanya, mengundang senyuman di bibir wanita itu.
"Nama mak cik, Rubiah."
Rubiah perkenalkan dirinya. Pasti Lyssa panasaran walaupun dia tak bertanya secara verbal.
"Lyssa ni lagi cantik kalau jumpa depan-depan macam ni," puji Rubiah pula.
Lyssa terkedu. Dirasakan ada maksud tersirat di sebalik ayat tersebut menyebabkan dia jadi tak senang duduk.
"Lyssa tinggal seorang aje? Tak tinggal dengan keluarga Lyssa? Atau dengan kawan Lyssa?"
"Haah, Lyssa tinggal sendiri. Lyssa minta maaf, mak cik. Tapi boleh tak kalau kita straight to the point?" tanya Lyssa yang masih lagi kurang senang dengan pertemuan ini.
Faham perasaan Lyssa, Rubiah mengangguk. Ada baiknya juga dia terus ke pokok persoalan daripada bercakap terbelit-belit begini.
"Sebenarnya kita berdua tak pernah berjumpa tapi mak cik tahu pasal Lyssa. Dan cukuplah Lyssa tahu orang yang Lyssa lupakan ialah orang yang terpenting dalam hidup mak cik..."
Terangkat kening Lyssa sebelah. Siapakah gerangan wanita yang bernama Rubiah ini? Bagaimana dia tahu perihal Lyssa? Siapa orang yang Lyssa lupakan yang merupakan orang penting dalam hidup Rubiah? Apa kaitan mereka berdua? Pelbagai lagi soalan yang dijana akalnya tika ini namun hanya untuk seketika. Perhatian Lyssa teralih apabila dia rasakan dirinya direnung seseorang. Rubiah di depan mata tidak dipedulikan. Matanya sibuk mengimbas setiap meja yang ada di kafe itu.
Dari satu meja ke satu meja hinggalah... Mata Lyssa terpaku pada satu arah. Pencariannya tamat saat matanya bertaut dengan anak mata seorang lelaki. Yang galak merenungnya dari jauh.
"Lyssa dengar tak apa yang mak cik cakap ni? Lyssa tengok apa tu?" tanya Rubiah. Ketara sangat setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya tak hinggap langsung di telinga Lyssa. Anak mata Lyssa yang tertancap pada satu arah buatkan Rubiah turut memandang ke tempat yang sama.
Jari telunjuk Lyssa diunjuk pada lelaki itu.
"Mak cik... Sana..."
Kata-kata Lyssa terhenti apabila lelaki itu berjalan menghampirinya. Di setiap langkahnya, mata lelaki itu hanya memandang tepat ke mata Lyssa. Entah kenapa, hati Lyssa rasakan sesuatu yang berbeza.
Seorang kanak-kanak perempuan berlari dari arah bertentangan lelaki itu. Mahu tersembul anak mata Lyssa apabila mereka bolos menembusi satu sama lain!
Ya Allah! Apa ni?
Darah terasa mengalir dengan kelajuan maksima, jantung juga berdegup pantas. Kini lelaki itu sudahpun berdiri di sisinya. Buatkan Lyssa telan liurnya berkali-kali.
Matanya... Kenapa dia boleh melihat lelaki itu pula? Siapa lelaki itu?
Terasa matanya hangat dan pipinya basah, tangan Lyssa dibawa ke pipi.
"Aku menangis?" Lyssa bertanya kepada dirinya sendiri.
"Tapi kenapa?"
"Lyssa... Lyssa okey tak ni?" tegur Rubiah sambil menyeka air mata Lyssa dengan jari telunjuknya. Lyssa pandang Rubiah kemudian dia pandang lelaki itu semula. Lyssa yakin, lelaki itu tak dapat dilihat dengan mata kasar Rubiah.
"Lyssa okey. Mak cik, Lyssa minta maaf. Tapi boleh tak... Boleh tak kalau kita jumpa lain kali? Lyssa minta maaf sangat-sangat. Lyssa pening kepala." Lyssa mencipta alasan untuk mengakhiri pertemuan mereka.
Rubiah pantas mengangguk.
"Mak cik minta maaf juga. Nanti mak cik datang lagi. Mak cik balik dulu, Lyssa," kata Rubiah sambil menepuk lembut jemari Lyssa. Bibir dipaksa untuk mengukir senyum. Apabila Rubiah berdiri dan berjalan menuju ke pintu kafe, dia juga lolos menembusi lelaki itu tanpa sebarang sentuhan fizikal.
Sah, lelaki itu bukan manusia sepertinya!
YOU ARE READING
AKU ADA
General FictionTajuk: Aku Ada Penulis: Syu Ariani Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-078-6 Muka Surat : 544 Harga: RM23.00 (Semenanjung) // RM26.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : April 2018