Sumpahan untuk Si Puteri prolog

6.1K 206 16
                                    

Author note: Ini ialah assignment yang saya berjaya siapkan sebelum due date (Alhamdulillah). Mungkin lepas ni barulah ada masa sikit nak siapkan No drama in college.. Mungkin besok dan mungkin juga minggu depan.. Atau Tahun DEPAN! Hah.. hehe.. inshaa Allah.. kalau ada masa lebih bolehlah duduk dan menamatkan semua cerita yang saya sudah mulakan. Ok.. sebelum saya merapu lebih-lebih.. Silalah baca, komen, vote and ENJOY!

Prolog

"Dan Puteri Gunung Ledang telah meletakkan 7 syarat kepada Sultan Mahmud, Syarat-syarat itu terdiri daripada 7 dulang..."

Aku menguap. Bosan bila mendengar kisah yang sama berulang kali. Kadang-kadang terasa lucu bila membaca kembali sejarah-sejarah yang tertulis di buku sejarah. Banyak perkara yang telah bercanggah dengan apa yang aku pernah alami sendiri. Ya. Aku pernah alaminya. Malah aku sudah melalui beberapa kurun dan zaman. Tapi aku masih di sini. Berjalan seperti mayat hidup. Terus mendiami dunia ini tanpa perlu merisaukan apa-apa. Sementara ramai kenalan aku semakin tua ataupun mereput di dalam kubur. Aku masih berjalan dengan wajah yang sama seperti berkurun dahulu. Wajah ketika aku berusia 23 tahun. Aku terpaksa berpindah dari satu tempat ke satu tempat setiap kali mereka mempersoalkan tentang wajah dan diri aku yang tidak pernah menunjukkan tanda-tanda penuaan. Aku berjalan dengan perlahan bila keluar dari bilik kuliah. Setelah hidup berkurun lamanya, aku mula bosan untuk berkejaran seperti orang di sekelilingku. Aku pastinya bukan penghisap darah yang orang muda zaman sekarang kenali sebagai vampire. Dan pastinya juga aku boleh berjalan di tengah panas. Satu hari nanti aku yakin yang aku akan menjalani kehidupan seperti manusia biasa bersama si dia.

"Hulubalang Melaka."

Aku memberhentikan langkah kaki bila terlihat seorang lelaki yang memakai baju seperti hulubalang Melaka suatu ketika dahulu. Dia berkulit hitam manis. Tubuhnya sasa kelihatan lebih gagah bila menggenggam keris lama. Kemudian keris diselitkan ke dalam sarung yang dipakai seperti samping. Dia tersenyum sambil membetulkan tanjak yang di atas kepala. Aku teringat pada zaman dulu, hulubalang dan para pembesar hanya menggunakan sehelai kain untuk menutup dan menampakkan kekemasan pada rambut mereka. Bila merenung lelaki itu, aku terasa kembali ke zaman dulu. Hati yang sudah lama kosong tiba-tiba terasa seperti mahu meletup dengan segala rasa yang sudah lama aku pendamkan. Aku cuba mengangkat kaki yang mula memberat mendekati dia. Senyumannya masih sama. Seperti kali terakhir aku dan dia berjumpa. Kami berpandangan seketika. Ada rasa takut yang datang menjelma. Ada rasa rindu yang hampir membuatkan aku menangis. Dan ada rasa cinta yang tidak pernah surut. Mungkinkah ini masanya untuk menamatkan sumpahan yang menyeksakan ini?

"Wahai Puteri gunung ledang, sudah bersedia untuk mengadap Sultan Melaka?"

Pertanyaannya membuatkan aku tersedar. Senyuman tawar yang mampu aku ukirkan untuk menutup kekeruhan di wajah. Aku bosan mendengar nama itu. Sultan Melaka dan Puteri Gunung Ledang. Kalau bukan kerana mereka, kisah ini takkan wujud. Aku akan hidup dan mati seperti yang lain bersama seorang lelaki yang aku cintai.

"Maaf. Saya bukan Puteri Gunung Ledang. Saya tidak secantik Gusti Puteri."

Dia ketawa lagi. Sejak kali pertama aku berjumpa dengan dia, terlalu banyak persamaan yang mampu aku senaraikan. Apatah lagi ketika dia mengenakan busana seperti hulubalang Melayu Melaka.

"Awak begitu menjiwai cerita PGL. Dan saya rasa awak lebih cantik dari Puteri Gunung Ledang. Awak selalu datang masa sesi latihan, tak berminat nak terlibat dalam pementasan ni ke? Saya jadi hulubalang dan awak jadi dayangnya."

Aku tersenyum nipis. Cuba membayangkan aku berkerja di bawah Delia, wanita yang memegang watak Gusti Puteri. Perbezaan watak Delia dan Gusti Puteri ibarat langit dan bumi. Walaupun hidup berkurun lama, aku takkan dapat mengumpul kesabaran untuk menjadi dayang kepada Delia.

" Ada watak sebagai adik bongsu Sultan Melaka?"

Kerutan di dahinya membuatkan aku tersenyum penuh makna. Kenangan lama mula menjelma kembali seperti baru semalam semuanya berlaku...

Sumpahan untuk Si PuteriWhere stories live. Discover now