Apa Itu Kesyukuran?

16 0 0
                                    

"Saya kecewa dengan keputusan SPM saya!"

Entah kenapa, saya begitu mudah meluahkan perasaan pada malam itu. Kebiasaannya, sayalah manusia paling perahsia. Tetapi tidak malam itu. Malam itu sesungguhnya saya tidak kuat! Penat. Penat mahu berlakon tenang dan gembira walhal keputusan yang diterima tidak seperti yang dijangka. Sebagai pelajar target cemerlang, jadi keputusan yang diharapkan agak tinggi.

Apabila ditanya tentang keputusan, jawapan diberi dengan senyuman kelat. Riak wajah mereka juga kelihatan berubah, mungkin tidak seperti yang apa yang mereka jangka dan harapkan daripada saya. Jujur saya cakap, reaksi sebegitu membuatkan saya sedikit terkesan. Ini bukan apa yang saya mahukan!

"Hahaha... "

Azri yang sedari tadi berada di sisi, tertawa kecil sambil menunduk. Sebenarnya, saya dan Azri mengambil keputusan untuk keluar berhibur pada malam selepas mengambil keputusan SPM tersebut. Kononnya, untuk melepaskan tekanan dek perasaan kecewa yang dialami pagi tadi. Dan kini, kami di hadapan rumahku, bersantai di atas motor sambil ditiup angin malam. Azri memandang saya seraya bertanya, "Kenapa?"

"Keputusan tak seperti apa yang saya harapkan. Ada beberapa subjek yang tak capai target, " saya memberitahu kebenarannya sambil rambut disisip ke belakang. Subjek Lukisan Kejuruteraan yang menjadi kegemaran tidak mencapai gred cemerlang, sekaligus mengurangkan bilangan A yang terpamer di slip. Subjek Kimia yang sememangnya menjadi musuh sejak azali pula tidak mencapai gred kredit, menyebabkan keseluruhan keputusanku merosot dan merudum jatuh.

"Awak nak tahu satu cerita?" tanya Azri sebaik turun daripada motor. Dia yang membelakangi saya menoleh, menunggu jawapan. Ha? Cerita apa pula yang Azri mahu bagitahu malam-malam buta ini? Janganlah dicerita kisah hantu dengan suasanan malam dipagar bintang dan bulan mengambang ini. Tidak fasal-fasal ada yang terserempak dengan hantu kebaya merah! Walaupun kemungkinan cerita seram yang akan diberitahu, saya tetap mengangguk.

"Awak tahu yang saya budak sukan, bukan? Saya jarang masuk ke kelas. Ada sahaja pertandingan sukan mahupun olahraga yang perlu saya sertai. Bukan saya tidak bersyukur dengan peluang sedemikian, tetapi saya juga mahu merasai suasana pembelajaran yang tenang dan konsisten seperti pelajar lain.

Jujur cakap, saya suka belajar. Saya suka mahu tahu tentang proses-proses alam semula jadi dalam sujek sains. Saya suka mengenali formula-formula dalam Matematik yang agak unik. Rasa seronok sangat jika dapat belajar menulis dan bercakap dalam Bahasa Inggeris! Mana tahu dapat bercakap dengan orang luar negara. Hahaha!

Tapi, saya jarang dapat peluang itu. Oleh sebab saya jarang masuk kelas, saya akan dibenci cikgu-cikgu. Saya pernah ditengking di hadapan kelas kerana saya minta eksperimen sains dibuat sewaktu saya ada di dalam kelas. Kertas latihan dan nota pula pernah dikoyak hanya sebab saya meminta tunjuk ajar. Katanya, saya tidak layak meminta tunjuk ajar daripadanya."

Serius, saya terkejut dengan pengakuannya. Ketika aku dilayan dengan begitu baik oleh cikgu dan ditadahkan ilmu secukupnya, ada insan yang mencabar sekali likunya demi menimba ilmu.

"Jadi, saya berusaha bersunguh-sungguh seorang diri tanpa meminta bantuan daripada orang lain. Sampai pukul 3, 4 pagi jugalah saya belajar untuk faham topik-topik yang saya tertinggal.

Sehari sebelum peperiksaan, saya jumpa semua cikgu yang pernah mengajar saya. Saya minta maaf seikhlas mungkin kalau ada perbuatan yang membuatkan mereka tersinggung. Alhamdulillah, ada juga yang sudi memaafkan dan mendoakan saya walaupun yang lain masih anti dengan saya.

Malam-malam terakhir sebelum dan semasa SPM, saya banyak melakukan solat sunat tahajud dan solat hajat. Saya mohon kepada Allah supaya berikan yang terbaik buat saya. Saya tidak kisah berapa banyak subjek yang dapat gred A atau lulus, asalkan ianya yang terbaik buat saya saya bersyukur."

Secara tiba-tiba, ceritanya terhenti. Saya memandang wajah Azri. Berkilauan titisan air mata yang mula mengalir dipipinya.

"Dan saya tak sangka keputusan SPM saya agak memberangsangkan! Mungkin tidak sebagus awak, tapi saya sangat bersyukur dengan apa yang saya terima. Cikgu-cikgu juga berjumpa dengan saya dan mengucapkan tahniah. Kawan sekelas saya sendiri ucapkan tahniah dan berbual dengan saya. Serius, itu kali pertama saya merasai suasana macam itu. Saya dapat pujian daripada cikgu. Saya dapat berbual dengan kawan sekelas saya. Saya suka dengan perasaan itu!"

Ah, kini saya turut sebak. Bagaimana hebatnya insan di hadapan saya ini, dengan keputusan sebegitu sudah cukup menerbitkan rasa syukur di hati. Sedangkan saya, dengan keputusan antara yang terbaik di sekolah masih tidak mampu bersyukur dengan nikmat yang diberikan.

"Eh, sudah tengah malam! Saya... balik dahulu lah. Assalamualaikum, Setelah bersalaman, Azri menghidupkan motor lalu membelah angin malam menuju ke rumah.

Saya memandang Azri sehingga dia tidak lagi kelihatan. Hari ini, pertama kali saya melihat sisi lain dari hidupnya. Hari ini, pertama kali saya melihat sisi lain dari setiap yang berlaku di dalam hidup.

Akhirnya, pada malam itu saya memanjatkan kesyukuran kepada-Nya. Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan seorang sahabat yang mampu menyedarkan saya daripada lena, yang membuatkan saya kenal kembali apa itu kesyukuran. Terima kasih juga Tuhan di atas keputusan yang terbaik buatku. Keputusan yang kini saya pasti ada hikmah di sebaliknya. Terima kasih Tuhan atas segalanya!

CerPeTe: Cerita Pendek BertemaWhere stories live. Discover now