Hukuman Suatu Rasa

7 0 0
                                    

“Oh, untuk soalan berbentuk begini… sepatutnya kau gunakan formula nombor dua. Cuba kau perhatikan betul-betul bentuk soalan dia, kemudian baru padankan dengan formula,”

Pensel tekan ligat menari di atas buku latihan tatkala mulut terkumat-kamit menerangkan formula yang sepatutnya digunakan. Rakan-rakan lain yang turut semeja, diam tidak bersuara mendengar penerangan sebegitu rupa.

“Oh, senang sahaja rupanya! Cekap betul kau buat, Ameer. Skrap-pap-pap… terus sudah siap semua,” puji Nasrul, si rakan yang meminta pertolongan dari segi jawapan. Pujian melambung diberi memandangkan segala langkah kerja dan jawapan sudah terisi. Tidak perlu lagi dia sakit kepala memikirkan solusi!

Rakan-rakan yang lain turut mengangguk kepala laju umpama burung belatuk tercabut skru, bersetuju dengan apa yang dikatakan. Sememangnya segala soalan yang tidak mampu difahami, beri sahaja kepada Ameer. Pasti sekelip mata sahaja jawapan diberi.

“Amboi, melampau betul pujinya! Ini mesti mahu ‘kipas’ aku jawab soalan lagi! No, no… and big NO! Lepas ini, kita buat sama-sama,” Ameer tersenyum senang mendengar pujian yang diberi. Apa yang memberi kebahagian sebenar bukanlah pujian dan sanjungan, tetapi tatkala rakan mula faham dan medapat ilmu yang disampaikan… ah, itulah kegembiraan sebenar!

“Hahaha. On!” gelak ketawa mereka memecah kesunyian sepanjang sesi ulang kaji berkumpulan. Seperti kebiasaan, kerja sekolah dan latih tubi yang diberi guru di sekolah sentiasa akan dilakukan bersama setiap petang. Dengan cara ini, penyelesaian dan pembelajaran dapat dikuasai dengan lebih mudah efektif. Memang benarlah kata pepatah; bersatu teguh, bercerai kahwin du… eh, bercerai roboh!

“Wah, memang senang betullah formula yang kau ajar! Macam mana kau boleh terfikir semua ini? Setiap kali kami tidak jawab soalan sahaja, kau mesti ada formula tersendiri. Bila cikgu tanya dalam kelas pun, cepat sahaja kau jawab macam kereta api!” Syahmi mengemukakan fakta, sekadar memecahkan kesyunyian suasana. Sekali lagi, anggukan secara serentak beramai-ramai kembali dilakukan.

“Tetapi… sekejap!” teriakan kecil secara kecemasan dan tiba-tiba mengejutkan semua. Segala pergerakan juga terhenti dan terkaku buat sementara. Kesemua mata terus segera memandang si empunya suara. Hafiz.

“Aku pelik… kenapa setiap kali ujian, kau mesti ‘kantoi’? Kau ajar kami segala formula, kau dapat markah daripada kami semua.” Menyedari diri sedang diperhati, apa yang terbuku di hati terus diluahkan tanpa sembunyi.

“Err… aku pun tidak tahu mahu jawab macam mana. Mungkin soalan di dalam ujian, tidak seperti apa yang aku sangkakan, ” peluh di dahi Ameer mula kelihatan. Jawapan diberi hanya untuk melepaskan diri.

“Eh, tipu! Aku rasa, selama ini kau hanya berlakon pandai dan sempurna… padahal semua lakonan semata-mata! ”

“Mungkin selama ini kau sengaja tidak jawab soalan ujian untuk bagi kami peluang maju ke depan mendapat pujian, ”

“Haa, entah-entah kau mendapat markah rendah sebab ibu kau tidak mendoakan kau! ”

“DIAM! ”

Terus sahaja hingar-bingar spekulasi yang tidak sahih lagi tidak terbukti menjadi sunyi sepi. Mulut yang rancak berbual dan bergosip umpama ‘pak cik bawang’ juga segera terhenti.

Ameer pula mengetap gigi sekuatnya sehingga terasa sakit di gusi. Tangan dikepal rapat dan erat, terasa ringan untuk dilepaskan ke mana sahaja yang dimahukan. Terasa diri diperhati, kepala yang ditunduk mendongak kembali.

“Ah, bukan apa. Azan Asar… tidak baik buat bising macam tadi, ” mendengar jawapan Ameer, kesemua mereka mengangguk faham.

Ameer hanya mampu tersenyum plastik. Terasa panas di jiwa, membara di dada. Namun semua perasaan hanya mampu dipendam dan disembunyikan dengan sebuah senyuman dan lakonan sahaja.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 04, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

CerPeTe: Cerita Pendek BertemaWhere stories live. Discover now