BAB 1

583 12 1
                                    

M
AYLEA tersenyum puas memandang hidangan di  atas meja. Menurut permintaan suami, mahukan seafood sebagai makan malam. Ketam goreng telur masin, sambal sotong, pais ikan tenggiri dan ulam raja. Mujur pasar raya bersebelahan apartmen sewaan mereka menyediakan stok barang basah yang segar setiap hari.
Tiga tahun lalu, ketika baru berusia 21, dia membuat keputusan paling besar dalam hidup. Menerima lamaran, Aariz Amsyar yang baru menggenggam sarjana Senibina dari UTM. Jadi isteri seorang arkitek yang menyusun impian serta janji hidup sempurna sampai ke Jannah, siapa mahu menolak? Lantaran tiada siapa lagi boleh disandarkan harapan dalam hidupnya.
“Assalamualaikum, sayang. Abang dah balik.”
Itu suara yang ditunggu-tunggu. Maylea bergegas menyambut Aariz dengan senyumannya.
“Untuk Lea.” Aariz menghulurkan beg kertas yang dijinjingnya.
Maylea menyambut dengan senang. Bila melihat isinya, mata Maylea membulat teruja.
“Ipad! Ya Allah, abang! Mahal ni.”
“Lea kan suka tengok drama Korea? Bila ada iPad ni, taklah Lea curi-curi tinggalkan abang tidur seorang diri dalam bilik tengah malam.” Aariz meraih pinggang Maylea dan mengucup dahinya.
Maylea tertawa. Selama ini dia menyangka Aariz tidak tersedar setiap kali dia bangun tengah malam kerana mahu menonton rantaian drama atau filem terkini Korea.
“Memanglah Lea suka tengok cerita Korea. Tapi Lea tak abaikan sampai abang tak makan, kan?” Maylea mengerling genit.
“Ya. Abang tahu, Lea suka tengok video masakan juga. Sebab tu abang beli iPad. Senang Lea bawa ke dapur.”
“Terima kasih, abang!” ucap Maylea lalu memberikan ciuman penuh cinta ke bibir suaminya. Merasa terlalu bahagia dikurniakan suami pemurah dan penyayang.
“Abang nak makan ke nak mandi dulu?” tanya Maylea setelah melepaskan ciumannya.
“Makan dululah. Dah lapar ni. Dah terbau masakan Lea ni, mana boleh tahan perut lagi.”
Maylea tergelak melihat Aariz menepuk-nepuk perut. Cepat-cepat dia menarik beg laptop dari bahu Aariz dan meletakkannya ke atas sofa bersama hadiah yang diterimanya. Kemudian, dia mengganding lengan Aariz, membawanya ke meja makan.
“Wow! Macam kat restoran!” seru Aariz begitu teruja sambil mendudukkan diri di kerusi.
Ketika Maylea menyendukkan nasi ke dalam pinggannya, tangan Aariz menjalar ke pinggang ramping isterinya itu. Sempat dia mendongak bersama tatapan ‘flirty’, lalu mencium puncak dada Maylea.
“Abang ni nak makan ke nak buat senaman ringan?” tanya Maylea. Bibirnya diketap, malu-malu sambil mencedokkan lauk pula ke pinggan Aariz.
“Siapa suruh Lea pakai seksi?” Aariz terkekeh. 
“Seksi cuma di rumah. Untuk abang juga,” balas Maylea lalu duduk.
Dengan anggukan, Aariz mengiyakan. Kemudian dia terus melahap makanannya.
“Hmm… sedap. Pandai betul Lea masak. Rasa ketam ni, sebijik macam kat restoran yang abang selalu makan dengan klien. Mana Lea belajar?”
“Google resipi dari internet, bang.”
“Google? Sekali masak terus menjadi? Hebat, Lea!”
“Amboi, membodek Lea nampak?”
“Abang puji ikhlas. Ada orang tu, ikut resipi google pun fail. Masak kari cair loler , tak pecah minyak, kentang tak empuk. Rasa? Jangan cakaplah. Payau!”
“Siapa?” Dahi Lea mengerut.
“Perempuan. Officemate, abang,” jawab Aariz dengan mulut penuh.
“Abang pernah makan masakan dia ke?”
“Pernah. Dia masak bagi satu ofis makan.”
“Hmm… dia baru belajar kut? So, nak suruh satu ofis bagi pendapat.”
Aariz tersenyum menatap Maylea. Isterinya itu memang selalu bersangka baik.
“Abang dah bagi pendapat jujur. Dia tak pandai masak.”
“Alah, officemate abang tu bekerja. Manalah dia ada masa nak study resipi betul-betul. Lainlah Lea ni, duduk rumah sepenuh masa. Banyaklah masa trial and error masakan. Lea nak kerja abang tak bagi. So, Lea belajar masak ikut web Tasty.”
Mendengar soal kerja diungkitkan, Aariz menarik segera menelan makanannya. Wajahnya serius menatap Maylea.
“Lea, abang ni suami Lea. Cari duit tu, tugas abang. Lea sebagai isteri, kena duduk rumah, jaga makan minum abang, jaga body Lea dan serve abang sebagai suami. Itu tujuan abang kahwin dengan Lea. Bukannya nak suruh Lea keluar kerja cari duit.”
“Tapi, Lea dah mula rasa sunyi duduk kat rumah ni sorang-sorang. Nak mengandung, abang tak bagi.” Maylea mencebik sedih. Mengharap pengertian suami.
“Lea, abang bukan tak bagi Lea mengandung. Abang pun nak kita ada anak sendiri. Tapi bukan sekarang. Sebagai arkitek, abang nak anak kita lahir dan membesar dalam banglo, bukan apartmen sempit macam ni. Sabar, abang tengah kumpul duit nak realisasikan impian tu. Lagipun, abang belum puas main dengan Lea, my baby luscious.” Di hujung katanya, Aariz mengenyit mata dengan gaya nakal.
Wajah Maylea terasa memanas. Namun hati kembang berbunga-bunga mendengar pujian suami.
“Abang sengaja nak bodek Lea, kan?”
“Taklah. Abang ikhlas. Lea tahu tak, abang pernah tunjuk gambar Lea pada officemate abang. Perempuan. Dia kata rambut Lea ada stail. Dia cuba tiru. Tapi sudahnya kena gelak. Abang dah cakap, rambut keriting macam ni, sesuai untuk Lea seorang. Sebab Lea macam baby doll.”
Hati Maylea terasa bagai dilambung-lambung. Oh, hati isteri mana yang tak kembang bila suami tayang gambar isteri pada officemate!



“LEA, abang nak keluar sekejap. Jumpa klien.”
Maylea yang sedang asyik dengan iPad baru, segera menoleh, kemudian memandang jam di dinding. Kurang lima minit pukul 11.00 malam.
“Laa… tadi kata penat. Nak terus tidur lepas mandi.” Maylea meletakkan iPad ke atas meja dan berjalan mendekati Aariz.
“Hmm… itulah. Klien abang hantar mesej ajak jumpa. Sebab siang tadi sepatutnya kami jumpa di ofis, dia tak datang. Abang cari dia kat site, dia ada hal lain pula,” jelas Aariz dengan wajah pasrah.
“Jumpa esok aje tak boleh? Kesian abang, muka nampak dah penat sangat.”
“Abang dah cuba pujuk jumpa esok. Tapi klien ni fussy sikit. Abang malaslah cakap banyak, ikut ajelah. Kalau tak ikut cakap dia, nanti progress payment sangkut, dia buat hal kat site. Kompelin itu ini,” adu Aariz, mengharapkan pengertian Maylea.
“Alah, sian suami bucuk-bucuk Lea ni.” Maylea mengusik sambil mencubit manja pipi Aariz.
Aariz tidak mampu menahan diri melihat bibir Maylea yang merah. Bila Maylea mencium pipinya, maka hilanglah segala kawalan diri Aariz. Terus dia menarik tubuh Maylea dan melumat bibir ranum itu sepenuh nafsu.
Maylea dihimpit ke dinding sambil tangan Aarriz meliar, menyusup masuk ke dalam tank top yang membaluti Maylea, merasai betapa halusnya kulit dada Maylea. Wangian strawberi dari tubuh Maylea ditambah desahan provokatif isterinya itu, buat Aariz makin meliar.
Sehinggalah telefon bimbit Aariz berbunyi.
“Ya Allah, Lea! Abang sampai lupa abang kena keluar,” getusnya, menarik diri dari Maylea. Terengah-rengah dia mengatur nafas sambil menarik keluar telefon bimbit dari dalam saku seluarnya.
“Hello? Ya… on the way. On the way.”
Maylea terkekeh melihat Aariz kalut dengan wajah masih membara dengan riak berahi.
“Lea saja, kan? Tak baik tau, kacau fokus abang nak jumpa klien.” Aariz pura-pura tarik muka masam.
“Supaya abang tak lupakan Lea, walau ke mana pun abang pergi,” usik Maylea.
Aariz tak menjawab tapi menarik kepala Maylea dan mengucup dahinya. Membuat hati Maylea dipenuhi cinta.
“Abang pergi sekejap. Kalau Lea mengantuk, Lea tidurlah dulu,” pesan Aariz sebelum merapatkan pintu.
Maylea memusingkan tubuh, mahu ke sofa tapi matanya terpandangkan tempat gantungan kunci di dinding.
“Eh? Abang lupa bawa kunci kereta!” Sepantas kilat, Maylea menyambarnya dan bergegas keluar.
Namun kelibat Aariz sudah tak kelihatan. Tidak menunggu lama, Maylea mencapai telefon bimbit dan cuba menghubungi Aariz. Malang sekali, panggilannya terus masuk ke voice mail. Aik? Takkan off handphone?
Tanpa fikir panjang lagi, Maylea masuk ke bilik, menyarung jeans, cardigan dan terus keluar rumah mengejar Aariz. Usahanya tidak sia-sia bila keluar sahaja lif, ternampak kelibat Aariz baru keluar dari lobi.
Maylea baru mahu buka mulut memanggil ketika dia melihat Aariz meneruskan langkah ke blok sebelah, bukannya ke kawasan parkir. Semerta dahi Maylea berkerut hairan.
“Eh? Klien abang tinggal kat sini juga ke? Tapi kalau tinggal kat sini, mesti abang dah cerita awal-awal lagi.”
Tiba-tiba ada dorongan kuat di dalam hati Maylea supaya terus mengekori Aariz. Setelah Aariz masuk ke dalam lif, Maylea buru-buru memasuki lif di sebelahnya. Semua butang nombor yang ada pada panel ditekannya.
Setiap kali pintu terbuka, dia curi-curi menjenguk ke lif sebelah. Sehinggalah tiba di lantai 10, baru dia nampak kelibat Aariz berjalan dan berhenti di hadapan sebuah unit.
Darah Maylea berderau ketika melihat Aariz mengeluarkan kunci dari saku seluar. Membuka gril dan pintu sebelum menghilangkan diri ke dalam.
Perlahan-lahan Maylea melepaskan tangannya dari menahan pintu lif dan melangkah keluar dengan bingung.
“Itu ke rumah klien abang? Tapi kenapa abang ada kunci rumah tu? Selama ni abang tak pernah berahsia dia nak ke mana-mana atau dengan siapa, walaupun Lea tak kenal. Kalau abang sibuk dengan kerja, abang akan bagitau. Tapi kenapa Lea tak tahu abang ada rumah lain kat kawasan ni?”
Maylea tersandar di tepi dinding. Logika fikirannya mula terganggu dek sederetan tanda tanya. Sehingga dia tidak sedar, langkahnya sudah diseret sampai ke depan pintu unit yang baru dimasuki oleh Aariz.
Maylea tercenung seketika.
Tekan loceng tu! Perintah hatinya. Ragu-ragu Maylea meletakkan jarinya pada butang di dinding. Ditekannya sekali tapi tiada tanda pintu akan dibuka. Ditekannya lagi sehingga dia nampak tombol pintu kayu yang jaraknya hampir tiga kaki dari grill luar, mula bergerak.
Dan seluruh tubuh Maylea kaku melihat Aariz yang membuka pintu. Tapi… ke…ke…napa abang tak pakai baju?
Mata Aariz terbeliak memandangnya.
“Lea! Kenapa Lea ada kat sini?!” Aariz bertanya dengan suara ditekan rendah. Mukanya pucat pasi bagai tak berdarah.
“Aa… abang… tertinggal… kun…ci kereta.” Maylea terbata-bata. Tangannya menggeletar, menghulurkan kunci Range Rover milik Aariz.
“Baby! Siapa tu? Kacau ajelah!”
Nafas Maylea tertahan ketika mendengar suara itu. Dilihatnya Aariz cuba menutup semula pintu tapi seorang perempuan berambut perang muncul, menjenguk dari belakang. Bibir perempuan itu melengkung dengan senyum yang entah mengapa terlihat sinis di mata Maylea.
“Oh, isteri you rupanya. Hai, Maylea!”
Mendadak, dada Maylea dihantuk debaran tak enak. Perempuan itu tahu namanya. Tapi kenapa dia tak mengenali perempuan itu?
Tiba-tiba Maylea teringatkan aksi panas mereka sebelum Aariz keluar tadi. Darahnya semerta berderau. Menghasilkan satu perasaan panas yang menjalar dari dalam perut, naik ke muka sehinggakan Maylea merasakan tubuhnya seakan kebas.
“Abang, tadi kita…” Maylea tak sanggup meneruskan kata-katanya. Dia bukanlah bodoh benar sehingga tak dapat menduga kenapa Aariz tak berbaju, dengan rambut berantakan bersama seorang perempuan di dalam rumah lain. Dia terlalu kaget melihat pemandangan tak terduga itu.
Mustahil abang bermukah dengan perempuan tu! Jerit batin Maylea, cuba menafikan sangkaan buruknya.
Aariz hanya mendiamkan diri. Memalingkan mukanya yang semakin pucat dari ditatap oleh Maylea.
“Ini… rumah klien abang?” Pertanyaan polos itu terluncur keluar dari mulut Maylea.
“Hello honey! I bukan klien Aariz tahu. I isteri dia. Madu you.”
Jantung Maylea langsung mencelus. Diam terpaku. Matanya kosong. Telinga berdenging. Seolah-olah roh sedang terbang meninggalkan raganya dek terlalu kaget mendengar pengakuan itu.
Sekelip mata, dunia Maylea hancur dan menggelap!

SEHINGGA KITA BERTEMUWhere stories live. Discover now