3

39 2 0
                                    

JARI KELINGKING AKU YANG TERCABUT TELAHPUN AKU SAMBUNG. Perlahan-lahan, aku cuba genggam jari-jemari aku. Semuanya nampak okay dan normal. Semuanya bergerak mengikut kehendak aku. Apa yang terpampang pada dada monitor dalam makmal aku juga tak menunjukkan apa-apa yang merunsingkan. Kemudiannya aku mula memeriksa bahagian-bahagian lain pula pada tangan kanan aku. Bahagian lengan sedikit tercalar namun aku pasti itu tak akan langsung menjejaskan fungsinya.

Kalau setakat calar balar, aku malas nak ambil pusing.

Dulu, aku lebih selesa apabila tangan besi aku ini berwarna seakan-akan kulit manusia. Tapi sekarang, setelah aku menjadi pewaris, aku lebih selesa menggayakannya dengan warna hitam. Nampak kuat dan keras – dan lebih stylo. Selepas ibu pergi, tak ada gunanya lagi aku cuba nak menyorokkan keadaan tangan aku pada orang ramai. Hanya ibu yang mahu hakikat tentang aku ini disebunyikan. Ayah pula, sebaliknya. Tapi, atas menghormati hasrat ibu, ayah turutkan sahaja.

Aku angkat kedua-dua belah tangan aku. Kedua-dua belah tangan aku yang asalnya berwarna hitam perlahan-lahan berubah warna. Kini kedua-duanya menjadi seakan-akan kulit manusia. Aku tersenyum seorang diri.

Aku mampu mengawal tangan aku sama seperti orang lain mengawal tangan mereka. Aku fikir, dan mereka ikut. Oleh sebab itulah, aku ini digelar 'engineering magic' oleh beberapa orang kawan ayah. Sesuatu yang semua orang kata mustahil, tapi dengan kepandaian ayah, kecerdikan ibu dan juga sedikit bantuan dari aku sendiri – inilah hasilnya. Tangan bionik yang canggih, terlalu canggih hinggakan kewujudannya terpaksa kami rahsiakan.

Ya, mungkin pada sesetengah orang, apa yang aku, ibu, dan ayah aku telah cipta bersama ini adalah satu keajaiban dalam bidang sains. Satu teknologi hebat yang sepatutnya aku kongsi kepada dunia. Manfaat teknologi ini boleh diaplikasikan dalam bidang perubatan misalnya - dimana jutaan manusia yang kehilangan anggota badan akibat Virus V3 akan dapat meneruskan hidup mereka seperti biasa.

Namun, dunia sekarang sudah binasa. Apa yang tinggal hanyalah serpihan batu kerikil, besi dan kaca - saki-baki sebuah bandar. Manusia yang ada sekarang semuanya sedang bergelut, masing-masing cuba untuk membina semula hidup dengan apa yang ada. Dengan pewaris lain yang berkeliaran di luar sana, dunia ini ibarat sebuah medan perang yang besar tanpa sempadan. Kalau kau anggap manusia akan berganding bahu untuk cipta masa depan yang lebih cerah, maaflah kawan tapi sebaliknya pula yang terjadi.

Manusia saling berbunuhan. Kebanyakan manusia hidup merempat macam binatang. Orang-orang baik dan berani jarang sekali aku jumpa sekarang, yang ada hanyalah insan-insan berhati gelap yang berkeliaran mencari harta karun yang bertebaran atas muka bumi ini. Semuanya kerana wujud tangan-tangan gelap yang telah menjadikan dunia ini satu taman permainan buat mereka. Kerana merekalah, pewaris itu wujud. Mereka inilah yang aku cari dan akan aku buru mereka sampailah ke hujung dunia sekalipun.

Dan keduanya, aku tak dapat menolak langsung hakikat bahawa tangan aku ini, dan teknologi disebalik apa yang orang kata boleh menjadi 'a miracle in medicine' juga boleh menjadi 'a weapon of destruction'.

Semua senjata yang aku guna; rod yang selalu aku bawa ke medan tempur misalnya – telah direka supanya hanya aku yang boleh menggunakannya. Dalam tangan orang lain, rod tersebut takkan mampu merubah bentuk dan hanya akan jadi rod semata-mata. Samalah seperti pistol, senapang dan alat-alat lain yang aku guna. Semuanya bersambung dengan tangan aku, atau lebih tepat lagi kepada aku – kerana semua ini telah ayah wirekan kepada aku, terus ke otak, dan badan aku juga berselirat dengan urat-urat besi sehinggakan kadang-kala aku terasa diri aku lebih kepada robot daripada manusia.

Kadang-kadang semuanya terlalu banyak untuk aku hadam.

Kadang-kadang aku juga terasa diri seperti – kau tahu, bukan manusia?

Gambar ibu dan ayah yang aku letakkan di sebelah monitor aku pandang lama. Dalam gambar tersebut, mereka berdua tersenyum sambil memeluk erat seorang budak lelaki yang kudung kedua-dua belah tangannya.

Waktu ibu sakit dulu, pada saat-saat akhirnya, hanya aku yang ada disisi ibu. Ayah keluar entah ke mana dan sudah enam hari dia langsung tak balik-balik. Dengan sepasang tangan besi inilah aku menjaga ibu; menyuapnya makanan, menukarkan pakaian dan merangkulnya kemana-mana. Aku usap dahi ibu dengan hujung jemariku yang sejuk dan ibu pasti akan memegang wajah aku dengan kedua-dua belah tangannya yang lembut, lalu mencium lemah hujung keningku.

Aku hanya ada ibu, dan ibu hanya ada aku.

Ibu pergi dalam dakapan aku. Dia menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam rangkulan aku, dengan jemarinya terletak elok pada dada aku. Ibu tahu walau betapa canggihnya tangan bionik yang aku ada, aku tak akan dapat merasa dengan tangan aku. Deria sentuh aku mati. Sebab itulah ibu selalu mencium aku, selalu memeluk aku dan memegang pipi aku, kerana dia tahu aku di situ aku masih dapat merasa sentuhan-sentuhan mesranya. Aku masih ingat betapa ibu suka melihat aku senyum, dan tangan kecilnya akan terus memicit-micit kecil pipi aku sebelum dia perlahan mengusap lesung pipit aku di pipi kiri.

Katanya, senyum aku seperti ayah, dan dia rindukan ayah. Ayah juga ada lesung pipit di pipi kiri, sama seperti aku.

Ketika itu, itulah ayat yang paling aku benci dan paling meloyakan aku, sebab aku tahu ayah sudah tak kisah lagi tentang ibu. Tentang aku. Aku benci hakikat yang aku begitu menyerupai ayah hingga ibu selalu terkenang-kenangkan ayah bila memandang aku. Namun, sejauh mana serupanya aku dengan ayah, aku suka untuk mengingatkan ibu bahawa aku ada anak mata berwarna coklat cair, sama sepertinya. Warna kulit aku kuning langsat, juga sama sepertinya.

Dan bila aku tersenyum, senyum aku sebenarnya lebih menyerupai ibu daripada ayah, dan aku senang dengan hakikat itu. Kalau kau lihat aku secara individual dan berasingan, kau akan nampak aku lebih menyerupai ayah. Tapi kalau kau lihat aku sebagai satu dan secara keseluruhan, kau akan nampak aku serupa benar dengan ibu.

Ayah kemudiannya pulang juga, dua hari selepas aku selesai mengebumikan ibu. Sewaktu aku memberitahunya tentang khabar bahawa ibu sudah tiada, ayah jadi hilang kata-kata. Aku bawa ayah ke kubur ibu, dan ayah jatuh terduduk. Pasti hatinya remuk kerana air matanya jatuh tak tertahan-tahan. Ayah menangis berminggu-minggu lamanya. Perlahan-lahan, aku dapat lihat ayah berubah. Dari seorang lelaki yang keras hatinya, ayah bertukar menjadi orang tua gila. Dia meracau-racau setiap masa dan tidak lagi mampu menjaga dirinya.

Pada ketika itulah ayah mula membayangkan benda yang bukan-bukan.

Ayah mula membayangkan ibu. Dan setiap kali dia melihat aku, pasti dia akan menangis dan mula meracau-racau.

Katanya, aku serupa dengan ibu.

Dan dia rindukan ibu. 

Budak Besi - Sebuah novel Sci FiWhere stories live. Discover now