BAB 2

1.6K 72 12
                                    


Elena hilang buat seketika di dalam 'Baroque architecture' yang mendominasi kota Rom yang gah. Namun rambut panjang beralun yang berwarna kuning keemasan itu tidak susah untuk dicari. Terutama di kalangan penduduk yang rata-ratanya berambut hitam dan gelap. Walau terdapat wanita lain yang berambut hampir sama, perempuan itu agak senang dicari juga kerana rupa parasnya.

Sesiapa pun tidak akan dapat melupakan wajah itu dengan senang. Dia, persis seorang ratu cantik. Wajah penuh pesona, dengan gaya yang memikat kalbu. Cantik, seksi dan mengiurkan. Semuanya ada. Jujur, terasa dirinya terlalu kerdil dan serba kekurangan jika dibandingkan dengan wanita itu.

Sangkaannya itu benar. Di sebelahnya, seorang lelaki setia bersamanya. Mereka kelihatan bahagia sekali. Berjalan beriringan tangan di lorong yang berbatu-bata dengan gelato di tangan sambil berbual mesra. Sesekali mereka tergelak dan tersenyum.

Lelaki itu memandang wanita tinggi lampai berambut kuning emas itu seperti tiada lagi wanita lain yang wujud di dunia ini. Sekonyong-konyong, rasa cemburu menghentam jiwa. Terasa seperti dia telah dilanggar oleh sebuah bas. Hatinya, kemik dan remuk.

Elena mengikuti setiap gerak langkah mereka. Mereka sampai di satu lorong yang agak sempit dan sibuk yang merupakan sebahagian daripada Centro Storico. Lorong tersebut diturap dengan 'cobble stones' yang mana di kiri dan kanan dipenuhi deretan kedai-kedai yang berjenama antarabangsa.

Bangunan lama yang menempatkan pelbagai jenis butik mewah berjenama antarabangsa dan 'speciality shops' itu kelihatan klasik berbanding mewah, menarik-narik hatinya untuk masuk menjelajah. Namun Elena terpaksa bersabar. Lensa matanya jitu pada dua figura di hadapannya. Apabila mereka melepasi sebuah kedai yang menjual perhiasan batu permata, mereka tiba-tiba hilang dari pandangan matanya.

Seketika, Elena rasa lemas. Dia tersesat sendirian, terkapai-kapai di dalam lautan manusia. Tiba-tiba angin Rom yang sepatutnya romantik menjadi amat menyesakkan nafas.

"Let's go in." Suara wanita yang berbahasa Inggeris dengan aksen yang agak pekat mencuri perhatiannya. Dia berpaling, sempat melihat susuk tubuh yang sedang memasuki sebuah kedai.

Elena lega apabila dua figura itu dapat dikesan. Tanpa membuang masa, dia memboloskan diri ke dalam kedai tersebut, berpura-pura seperti ingin membeli belah. Sehelai skarf dicapai tanpa niat untuk membeli sambil memasang telinga. Si dia sedang membelakanginya, tetapi itu tidak menjadi masalah. Dia ingin mendengar suara lelaki tersebut.

Wanita itu sedang berkata sesuatu. Elena mencuri dengar. Percakapannya pekat dengan loghat seperti dari Eropah Timur. Tentu sekali dia bukan orang tempatan. Lelaki itu masih belum membuka mulutnya.

Elena cuba mengubah posisinya apabila seorang gadis yang datang terlalu dekat, telah melanggarnya dengan agak kuat. Dia tersentak lalu skarf yang sedang dipegang melurut jatuh.

"It's a beautiful scarf. The colour will bring out your beautiful eyes," tutur lelaki yang mengambil skarf yang terjatuh tadi. Di wajahnya terukir secebis senyuman. Senyuman yang sedikit, tetapi cukup menggoda hati nurani seorang wanita. Ia telah menghantar aliran elektrik yang kuat ke seluruhan badannya. Elena terkaku buat seketika. Mulutnya kelu untuk berkata-kata. Dia hanya mampu memandang wajah di hadapannya tanpa berkelip.

"Are you alright, ma'am?" tanya lelaki tersebut.

Terkejut dan termalu kerana memandang lelaki itu terlebih lama, Elena mula tergagap-gagap. "Ohh... Um... Thank you." Elena cepat-cepat beralih. Berpura-pura seperti dia sedang mencari sesuatu di antara deretan aksesori yang cantik dan unik. Namun dia masih terfikirkan tentang lelaki yang menegurnya tadi.

Itu diakah? Jika lelaki itu dia, mengapa dia langsung tidak mengenalinya?

"Who's that, babe?" Telinganya menangkap suara seorang wanita. Ia tentu sekali suara wanita berambut kuning emas.

"I think she likes me." Ada nada-nada mengusik di dalam suara maskulin tersebut.

Entah mengapa, bibir Elena turut tersenyum. Hatinya sedikit berbunga. Sesekali dia mengerling.

"You don't make me jealous..." Wanita berambut kuning emas itu memberi amaran kepada teman lelakinya. Dari nada suaranya Elena tahu gadis itu tidak senang dengan perbuatan lelaki tersebut.

Lelaki itu tiba-tiba ketawa. Owh seksi sekali! Hatinya bagai disentap. Tawa itu. Ia sedang menghantui ketenteraman Elena. Kali terakhir dia dengar tawa itu adalah empat tahun yang lepas. Buat seketika, dia terlupa sekejap misi utamanya.

"Who's that?" tanya perempuan itu lagi, dengan baur yang tidak senang. Ternyata dia cemburu.

Namun lelaki itu masih menjawab dengan tenang. Dengan lagak tidak berminat. "I don't know. Just helping her with her scarf."

Jawapan lelaki itu tanpa rasa teruja dan ia buat sesuatu di dalam dadanya pedih. Elena kuatkan hati. Jika diikutkan hatinya, dia tidak mahu menunggu lama di situ. Dia tidak ingin lagi mencuri dengar perbualan pasangan tersebut. Namun, sesuatu sedang memberitahunya supaya dia kekal.

"Owh... Really?" tanya teman wanita yang cemburu.

"Come on, let's go. We have better things to do than arguing." Sebaik sahaja kata-kata itu diucapkan, mereka hilang dari pandangan.

Kaki diatur laju di celah-celah lorong, namun bayangan mereka entah ke mana. Elena hela nafas. Mana mereka? Mana dia? Buat kali kedua, Elena berasa kehilangan. Lorong yang sempit dan sibuk itu terasa umpama sebuah jalan mati. Dia bungkam di situ.

***

"Jumpa, benda yang you cari tadi?" tanya Emma setelah Elena muncul di kedai gelato.

"Dah." Elena tarik kerusi lalu duduk di hadapan gelato yang sudah mencair. Gelato tidak seperti aiskrim yang akan cepat cair pada suhu bilik. Sekarang Elena sedar bahawa dia telah berpergian terlalu lama.

"Sorry, to keep you waiting," tutur Elena. Dia tayang segaris senyuman dengan rasa bersalah.

"Tak apa. I makan pelan-pelan. Makan gelato sambil cuci mata dengan abam gelato yang hot, not a bad way to spend an afternoon." kata Emma sembari bibir mengukir senyuman.

"Abang gelato tu boleh tahan. Handsome, kan?" Emma angkat kening sambil menjeling ke arah pembantu kedai yang agak muda. Senyuman nakal Emma dipandang sambil matanya merayap ke belakang kaunter, mencari abang gelato yang kacak.

"Not bad..." Elena sudu gelato ke mulut. Gelato sudah cair tetapi masih sedap.

"Hmm... So yum."

"What? Him? Or this gelato?" tanya Elena, sengaja mengusik Emma.

Mereka gelak-gelak nakal. Namun, di sebalik gelak nakal tadi, Elena masih terfikirkan lelaki yang bersama perempuan berambut emas.

UNDERCOVER WIFEWhere stories live. Discover now