SEMUA sedia menanti peguam yang bernama Siti Sarah itu untuk membacakan wasiat peninggalan Tengku Khaleeda Tengku Mansor.
Erica sedang sibuk melihat-lihat jari-jemarinya yang baru dirias. Sudah agak lama dia tidak ke rumah agam yang cantik itu. Naik lenguh kakinya melangkah ke dalam rumah agam itu, namun dia belum pasti di mana letaknya bilik tidur utama. Semua kelihatan sama.
Dia membayangkan bagaimana kehidupan Tengku Khaleeda selama ini. Keseorangan di rumah yang besar dan hanya ditemani orang haji dan 'sotong' kesayangannya sahaja.
Zahid memerhatikan anaknya. Sejak tadi dia menjeling kemudian memberikan isyarat agar anaknya itu lebih bersopan duduknya, tetapi Erica tidak mengendahkannya. Mungkin hatinya masih marah kerana terpaksa membatalkan niatnya untuk bersama-sama dengan rakan bercuti di Singapura. Zahid menghampiri anaknya. Dia mengambil tempat di sebelah Erica.
"Rica, duduklah elok-elok," bisik Zahid kepada anaknya yang baru menginjak usia 19 tahun itu.
"Nak duduk macam mana lagi ni pa? Rica dah duduk elok ni," jawab Erica yang lebih mesra dengan panggilan Rica.
"Macam ni elok?" tegur Zahid lagi bila dia melihat Erica menyilangkan kakinya di hadapan tetamu-tetamu itu.
"Hisy, papa ni. Hari ni bising aje. Selalunya duduk macam ni, okey aje," balas Erica. Mulutnya dimuncungkan.
"Ni, kenapa pakai macam ni?" tegur Zahid lagi.
"Habis tu takkan nak pakai jubah kot?"
"Budak ni, suka sangat menjawab. Lain kali pakailah yang sopan-sopan sikit. Bukannya seluar yang terangkat macam ni. T-shirt tu dah nak nampak pusat. Inikan hari pembacaan wasiat. Tak boleh ke pakai elok-elok sikit?"
"Papa ni demam ek? Helo, selama ni papa tak pernah bising tau. Itulah, makan asam pedas banyak sangat."
"Tak ada kena-mengenalah. Cuma hormatlah sikit. Kan ramai orang ni," jawab Zahid lagi. Perlahan, bimbang jika tetamu yang lain mendengar rungutannya itu.
"Ramai? Papa yang ada cuma kita, Mama Lia, peguam, famili mak ngah dengan si sotong tu aje. Bukan kita tak kenal pun siapa mereka tu. Cuma kita lama tak jumpa. Lagipun apa kena-mengena dengan kita. Selama ni pun nenek bukan ambil tahu pasal kita kan? Dah mati baru nak suruh balik sini. Nasib baik dah kebumi, kalau tak..."
"Erica Sofia." Kali ini suara Zahid agak kuat kedengaran.
"Dia masih lagi nenek Rica. Ibu kepada mama Rica. Okey. Walau Rica tak suka, dia masih lagi nenek Rica. Jangan lupa tu."
Erica mendiamkan diri. Walau apa yang berlaku, marahnya pada Tengku Khaleesa sukar dihilangkan. Dia memang tidak sebulu dengan neneknya. Ada saja perkara yang tidak kena di mata neneknya itu. Tambahan pula neneknya sentiasa membandingkannya dengan si sotong yang dipelihara.
Erica sempat menjeling lagi ke arah Farish alias sotong. Farish menundukkan kepala. Wajahnya muram. Entah berapa galen air mata yang ditumpahkan oleh sotong yang berusia 21 tahun itu, dua tahun lebih tua dari Erica.
"Lebih-lebih pulak si sotong ni, macamlah nenek dia yang meninggal," bisik Erica.
"Sotong, sotong. Dia ada namalah," tegur Zahid lagi.
Sambil mencuit anak gadisnya. Dia tahu antara Farish dan Erica bagai anjing dengan kucing. Erica cemburu melihat kasih sayang yang diterima Farish dari Tengku Khaleeda.
"Alah. Nama dia sotong kurita. Pengganti Paul tu pa," jawab Erica sambil ketawa perlahan.
Farish menjeling.
"Kau ni gelak-gelak kenapa? Kau suka ke kalau nenek kau mati?" suara Farish kuat kedengaran.
Mereka yang ada hanya menjeling.
YOU ARE READING
Suamiku Encik Sotong
RomanceERICA SOFFEA melonjak kegembiraan. Mana tidaknya, dialah bakal peneraju Khaleeda Holding. Walaupun hubungannya dengan arwah nenda bu-kanlah baik sangat pun. Terasa macam hendak buat aksi akrobatik ketika namanya diumumkan. Naik senak kepala Erica b...