Bab 2

64 3 0
                                    

Berus cat yang dipegang direnung lama. Dahlah warna kuning. Mahunya perempuan tu tak mengamuk. Baju putih pula tu. Tak pasal-pasal jadi corak extra pula di baju perempuan bernama Wani Arifah tu. Tapi salah perempuan tu juga. Dia tak nampak ke aku mengecat? Rabun agaknya!

"Kif... tepi sikit."

Kif menoleh. Mencerun matanya melihat Syukri terbongkok-bongkok menyusun kotak-kotak pallet. Kat sini juga dia nak letak. Tempat lain tak boleh ke?

"Kau letaklah kotak ni kat dalam."

"Isy... sebab tu aku suruh kau buat patio garden ni. Kotak ni gantikan meja." Syukri sengih pandang Kif yang merenungnya. "Santai sikit pengunjung kafe ni nanti. Ada area untuk istirehat."

"Sebab tu kau beria-ia nak beli bangunan second hand ni. Orang lain dengar dah 15 tahun, semua tak nak. Tapi dia orang lupa kualiti bangunan lama lagi bagus. Laman pun luas. Tembok pun elok bila cat semula."

"Kata orang. Aku dengar kau pun beli rumah second hand."

"Rumah teres. Dah lebih 8 tahun rumah tu." Kif garu lengan sambil memandang kawasan sekeliling kafe. "Kau nak aku tambah apa lagi?" Kif pandang muka Syukri yang masih leka menyusun atur kotak-kotak pallet di depannya.

"Ahh... bunga kembang 10 pagi. Kau tanam berderet sepanjang laluan masuk kafe ni."

Kif angguk kepala. "Nanti aku pergi nurseri. Aku cari bunga apa lagi yang sesuai untuk laman kafe."

"Terima kasih banyak-banyak, bro."

"Hal kecik." Kif senyum pandang muka Syukri merangkap adik iparnya. "Nanti payment jangan lupa bank in. Dah kira harga family tu." Suara Kif kedengaran mengusik sambil bahu Syukri yang ketawa ditepuk.

"Itu pun nak berkira..."

"Mestilah kira. Aku ni buat bisnes." Kif hulur berus cat dipegang pada Syukri. "Aku blah dulu.

Esok aku ada projek kat taman simpang jalan depan tu. Kalau apa-apa kau cari aku kat sana."

"Iyalah."

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Kif atur langkah menghampiri trak Nissan Vanette miliknya yang diletakkan di seberang jalan. Tengkuknya yang terasa lenguh diurut sebelum enjin dihidupkan. Nafas dihela dan Kif mula memandu. Bergema lagu-lagu yang diputarkan DJ di radio. Kif menyanyi-nyanyi sehingga sampai ke destinasi.

Enjin dimatikan lantas langkah diatur masuk ke dalam rumah kayu cengal bertiang tinggi yang dibina ayahnya hampir 20 tahun yang lalu. Belum sempat kaki memijak anak tangga sudah kedengaran suara ibu. Kif ketap bibir seraya badannya dipalingkan memandang wajah Puan Khadijah yang tersenyum melihatnya.

"Kamu ni, Kif. Masuk rumah tak tahu beri salam ke?"

Kif tersengih memandang ibunya. "Assalamualaikum, bu."

"Waalaikumussalam." Wajah anak bujangnya itu direnung. "Rambut kamu tu. Dah berapa kali ibu suruh potong. Dah panjang cecah bahu."

Kif teguk liur. Ibu mula membebel dah!

"Jambang tu bila nak cukur?"

"Nantilah, bu. Style kan ni."

"Style?" Puan Khadijah dah cerun mata. "Ibu tahulah kamu bukan kerja pejabat. Kot tak payah pakai. Kemeja tak payah nak gosok. Tali leher pun tak payah pening kepala nak sangkut kat leher tu. Tapi penampilan tu jagalah sikit."

"Alaaa... bu. Dah handsome pe ni."

"Handsome tu memanglah handsome. Tapi asyik kerja bawah panas. Kulit tu pun dah naik gelap ibu tengok."

"Nantilah Kif fikir cadangan ibu tu. Rambut dengan jambang ni, biar Kif simpan dulu okey?" Kif sempat kenyit mata sebelum berlari memanjat tangga. Besar langkahnya sebab nak mengelak dari terus dileter ibu.

Pintu bilik kemudiannya ditutup rapat-rapat. Bukannya malas hendak melayan leteran ibu, tapi penat badannya cukup terasa. Semalam pukul 2 pagi baru balik dan 8 pagi dah ke kafe Syukri pula. Dapat terlelap seminit dua pun dah dikira cukup baik.

Sebaik saja pakaian ditukar, Kif berbaring atas katil. Mata cuba dilelapkan namun terkebil-kebil pula yang lebih. Tak semena-mena ingatannya beralih pada wajah wanita yang cukup dirinduinya. Kif hela nafas berat lalu tubuhnya mengiring. Dua tahun sudah berlalu namun rupanya tak semudah itu hendak dilupakan wajah wanita yang dicintainya.

"Lupakan jelah, bro. Dia pilih kerja bukannya kau. Qatar tu bukannya dekat. Tak akan kau nak abaikan usaha kau selama ni semata-mata nak kejar perempuan tu sampai ke sana." Kata-kata Syukri masih diingati.

"Asalkan aku boleh dapat dia. Apa salahnya." Kif pandang muka Syukri yang dah mula berkerut.

"Kif, aku kenal kau dah lama. Dari sekolah sampailah aku dah jadi adik ipar kau." Syukri renung wajah Kif yang ketara murungnya. "Bukan kerja dia je, tapi kerja kau pun penting. Lagipun keluarga kau kat sini. Bukannya kat sana." Geleng Syukri bersungguh memujuk Kif yang nyata berserabut sebab hal cinta.

"Aku ni fleksibel. Apa-apa kerja aku boleh buat."

"Tapi yang kena dengan minat kau? Berapa banyak kerja yang dapat puaskan hati kau? Dapat buat kau happy? Cuba kau beritahu aku?" Soal Syukri bertubi-tubi. Terdiam Kif mendengar pertanyaan adik iparnya itu.

"Hah.. tulah kau." Syukri tersenyum sambil mengerling wajah Kif yang masih ketara murungnya. "Perempuan ni, macam bunga. Ada macam-macam jenis. Bau pun tak sama." Syukri sengih bila Kif memandang mukanya. "Tapi nak cari bunga yang memenuhi ciri-ciri idaman kau, sekurang-kurangnya kau mestilah survey dulu. Kau tilik, kau belek. Ada je bunga yang nampak cantik tapi bau busuk. Ada pula yang rupa tak cantik mana pun, tapi bau harum. Apatah lagi bila setaman, semerbak bau."

Kif tersenyum mendengar celoteh Syukri.

"Perempuan bukannya sorang dalam dunia ni. Buat apa nak pening kepala fikir pasal perempuan. Allah dah tetapkan yang halal untuk kita. Insya Allah, bila sampai masa yang tepat dan sesuai, mesti kau jumpa yang halal untuk kau."

Kif hela nafas bila teringatkan kata-kata Syukri. Tak perlu pening kepala sebab perempuan.

Memang Kif akui kata-kata Syukri tak salah, tapi sampai ke saat ni, belum ada seorang perempuan pun yang mampu mencuri hati dia. Hebatnya penangan cinta sampaikan bertahun-tahun mengambil masa hendak dilupakan!

TWO CAN PLAYWhere stories live. Discover now