Penulis : Haslina KasbulahEmbun malam menggetarkan tubuh. Sejuk. Dengan selimut putih, Lia berselubung dan berdiri kaku di atas beranda tingkat lima hospital itu. Rambut panjang paras pinggang dilepas bebas. Entah bagaimana, dia berjaya mencuri naik ke atas. Semenjak dua malam dia berada di sana, hatinya terpanggil-panggil untuk ke tingkat itu. Walaupun malam sudah menginjak ke dua pagi, dia tetap tidak berganjak dari tempat berdirinya. Baginya suasana itu cukup tenang, sudah lama dia idam untuk mengambil udara segar dari luar.
Fikirannya masih kacau. Seakan gila rasanya bila asyik mendengar tangisan bayi berkali-kali di sekitar itu.Seperti pita rakaman yang berulang, dia sentiasa mendengar tangisan yang sama. Tambah pula bila bergaul dengan ibu-ibu yang mengendong anak di tangan, dia terganggu dengan pemandangan di depan mata. Tidak dapat dia menerima bahawa dia kehilangan anak pertamanya. Lebih menyakitkan,dia tidak dapat merasa bahagia seperti itu.
Usai saja bayi kecilnya dikebumikan, dia dimasukkan kembali ke dalam wad untuk rawatan susulan.Dengan keadaan suram hospital yang menjadi tempat kematian anaknya, terbayang-bayang tubuh kecil itu di mana-mana. Matanya berkocak, dicium baju bayi yang belum sempat dipakai oleh anaknya yang sudah meninggal dunia. Dia kemudian memandang sekitar, kosong.
Meratap.
Masih lagi terbayang di mata..
Setelah disahkan bahawa pintu rahim sudah terbuka sebanyak 7cm, cepat-cepat Lia disediakan untuk proses bersalin. Waktu itu,sakit di tubuh semakin kuat dan pedih. Terpusing-pusing dia menahan sakit.
“Nurse! Nurse! tak tahan dah nurse! saya rasa macam dah nak meneran ni!” jerit Lia yang sedang menahan sakit kontraksi sejak dari tadi.
Dahinya berkerut seribu, tidak terkata tahap kesakitan yang dilaluinya. Pinggangnya seolah patah dan rasa ingin tercabut dari badan. Itu saja yang boleh digambarkan.
Dalam keadaan mengiring, dia mengawal nafas sambil menggerak-gerakkan ibu jari kakinya, dia memegang bahagian pinggang yang sakit.
“Nurse!” jeritnya lagi.
“Ya.. saya dah sedia nak sambut bayi puan ni." kelam kabut langkah seorang jururawat datang sambil memakai sarung tangan.
"bawa bertenang ya puan, tarik nafas perlahan-lahan.." jururawat itu membantu Lia untuk baring menelentang.
"tarik, hembus, tarik,hembus.” pujuk jururawat yang bertugas untuk membantu dalam proses kelahiran anak pertamanya.
Lia hanya menurut, otaknya juga kini semakin bingung disebabkan kesakitan yang dirasai. Pandangannya mula berpinar. Mengenangkan suaminya yang tidak sempat masuk ke dalam bilik bersalin, Lia sedikit kecewa namun dia tetap kuatkan semangat demi anak yang dikandungnya.
“Allah..Allah..” sakit yang dirasai pada waktu itu seolah membuatnya tidak ingin mengandung lagi biarpun ini merupakan pengalaman yang pertama dan dia belum pun selesai melepasinya.
“Kita teran ya puan.. satu dua!“
Lia meneran sekuat hati.
“Teran lagi puan.. satu..”
Wekk..wekkk..
Kedengaran suara bayi menangis. Dalam kesakitan itu Lia masih mampu mengukir senyuman kerana dia akhirnya berjaya melahirkan seorang anak.
“Bayi perempuan ya Puan.” jelas jururawat itu dengan menunjukkan anaknya yang masih berdarah.
“Kejap saya tolong bersihkan.” sambung jururawat itu pula.Lia menyandarkan tubuh cuba merehatkan diri. Mendengarkan suara tangis bayi, Lia bersyukur sambil mengalirkan air mata. Namun suara tangisan bayi itu semakin lama semakin hilang.
![](https://img.wattpad.com/cover/166852959-288-k633992.jpg)
YOU ARE READING
Darah
Mystery / ThrillerLena Ayu terganggu tatkala mendengar bunyi hentakan kaki yang kuat seperti orang berlarian dari aras atas hospital itu. Dia mendongak. Sekali lagi dia bengang. Sudah dua kali dia terdengar bunyi hentakan kaki begitu sejak dia dimasukkan ke dalam wad...