Bab 215-Lembaga Hitam Tanpa Kaki

2.2K 30 1
                                    

SETELAH Nonong melangkah keluar dari bilik rahsia, datuk pun mengeluarkan sehelai kain kuning sebesar sapu tangan (saya menduga, kain itu memang sudah disediakan oleh datuk sejak awal lagi) dan bungkusan di tepi pintu pun ditutup dengan kain tersebut. Datuk segera mengarahkan saya dan Harun keluar dari bilik misteri. "Mandi," katanya. "Sejuk memanda," jawab Harun.

"Kamu mahu ke rumah Allah, mahu bersolat, mahu mengadap muka PadaNya. Bukan saja hati mesti bersih, mesti jujur. Tubuh badan mesti bersih, pakaian juga mesti bersih. Kalau badan tidak bersih, pakaian juga tidak bersih, ertinya tidak cukup sempurnalah diri kita pergi ke masjid untuk bersembahyang," cukup tenang datuk melunturkan katakata kepada kami.

Saya dan Harun segera mahu bangun untuk meninggalkan bilik misteri. "Nanti dulu," tahan datuk. Serentak saya dan Harun berpandangan, mencari-cari jawapan kenapa kami ditahan. "Pelik benar anak muda sekarang, kalau turun ke bandar merambu atau ke panggung wayang, ke tempat pesta, mengenakan pakaian yang cantik-cantik, kemas, biar nampak kacak dan cantik. Kenapa perkara semacam itu tidak dilakukan bila ke masjid," datuk mula berceloteh.

Sesungguhnya perkara seperti ini memang tidak saya senangi. Sebelum celoteh menjadi lebih panjang, secara hormat kami mohon lalu segera angkat kaki. Sebaik sahaja melepasi ruang tengah menuju ke bilik air, saya toleh ke arah datuk yang sedang merapatkan daun pintu dan menguncinya.

Dalam jangkaannya, datuk akan bersama-sama kami ke Masjid Raya. Jangkaan itu tersasar, datuk pergi dulu sendirian. Entah mengapa datuk tidak mahu bersama. Barangkali, dia ada matlamat atau maksud tertentu. Boleh jadi juga, dia mahu menguji keberanian saya dan Harun.

Mungkin dia mempunyai muslihat dan strategi tertentu. Jarang datuk berbuat demikian atau meninggalkan saya. Memang wajarlah tindak-tanduknya menimbulkan bermacam-macam andaian dalam kepala saya.

BESAR

KAMI tiada pilihan, terpaksa meredah kedinginan dan kabus subuh dengan rasa takut-takut berani. Entah mengapa, sambil melangkah saya teringatkan kemunculan lembaga manusia dalam kabus menghalang perjalanan saya dan datuk. Memang saya mengharapkan perkara demikian tidak akan berulang lagi. Kami terus melangkah.

"Tamar." Langkah terhenti, bahu kiri dipaut Harun dari arah belakang. "Kenapa Harun?" "Aku rasa seram semacam." 'Ah! tak ada apa-apa, kalau ada pun kita tentang," tutur saya dengan nada suara yang meninggi. Mendengar kata-kata itu, Harun mengeluh dan terus melangkah. Saya membaca beberapa surah dari Al-Quraan untuk menghilangkan rasa cemas yang muncul mendadakdalam diri. Langkah terus dipercepatkan. "Allah hu akbar."

Itu yang terkeluar dari kelopak bibir. Di depan saya berdiri lembaga hitam. Harun terkejut besar, mulutnya terlopong. Sepasang matanya terbeliak. Kedua-dua belah tangannya memeluk tubuh saya. Siapa pun mengeletar, bila berdepan dengan makhluk asing berkulit hitam.

Tubuhnya besar, kira-kira lima pemeluk pokok Sena dan tingginya melepasi pokok kelapa dara. Rambut kuningnya melepasi punggung manakala di bahagian dada penuh dengan bulu tebal. Bulu tebal yang menguasai bahagian dada hingga ke paras lutut berwarna kehitam-hitaman bercampur dengan warna putih kemerah-merahan.

Di bahagian kemaluan, warnanya lain pula, macam warna perak, keras macam berus dawai pengosok periuk, berlapis-lapis tebal macam cawat menyebabkan sukar bagi saya menentukan jenis kelamin makhluk asing itu, sama ada lelaki atau perempuan.

"Tak ada kaki." Dalam rasa takut dan cemas itu, Harun masih sempat berbisik kepada saya. Apa yang dikatakannya memang benar. Anggota makhluk asing hanya boleh dilihat dari paras bahu hingga ke bahagian lutut. Kepala dan bahagian kaki tidak kelihatan.

Makhluk itu bagaikan berdiri atas kabus. Berpusing perlahan-lahan seolah-olah melihat keadaan sekitar. Beberapa minit kemudian lembaga tanpa kepala dan kaki itu hilang dari pandangan kami. "Bagaimana Tamar?" "Persetankan, dia sekadar menguji kita." "Tapi..."

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 16 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now