Siri 283-Selamat Jalan Kawan

1.2K 24 6
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin

"Kamu salah orang, dia baru datang dari Medan bersama aku," ulang datuk cuba menenangkan perasaan si pemandu lori.

"Ah..." si pemandu mendengus marah.

Dia tidak dapat mengawal perasaannya bila ada orang lain mahu campur tangan dalam urusannya. Dia alihkan muncung pistol dari kepala Jamaluddin ke dada datuk.

"Kamu jangan campur, kamu diam," jeritnya.

"Sabar," pujuk datuk.

"Kamu diammm..." sergahnya lantang. Muka datuk diludahnya sambil muncung pistol dihalakan ke kepala Jamaluddin semula.

Beberapa orang yang baru datang ke situ dan menerima penjelasan dari kawan-kawan si pemandu segera menyalahkan Jamaluddin kerana cuba memasukkan pasir ke dalam periuk nasi orang lain.

"Bertenang dulu, biar saya jelaskan semuanya," datuk bagaikan merayu. Ternyata usaha datuk sia-sia. Rasa marah terus membara dalam dada si pemandu. Dengan siku kiri, bahu datuk disingungnya. Tetapi, datuk masih berlembut juga.

"Eh, kamu siapa?" untuk kesekian kalinya si pemandu menyergah datuk.

"Saya kawannya, dia bukan orang sebarangan. Tak baik buat kawan saya begitu. Menjatuhkan maruah orang ditengah khalayak ramai dilarang oleh agama," datuk masih berlembut.

"Ehh syaitan tuaaaaa, puhhh..."

Buat kesekian kalinya bersemburan air liur pemandu lori singgah diwajah datuk. Dia sudah tidak mampu mengawal perasaan. Kemarahannya sudah meluap-luap.

Seperti tadi juga, datuk dengan tenang mengesat air liur si pemandu diwajahnya. Datuk masih mampu tersenyum. Masih mahu memujuk si pemandu yang sudah diresapi hantu syaitan. Dalam keadaan yang tegang itu, dua orang pemuda menarik datuk ke satu sudut.

"Jangan campur."

Itulah yang dibisikkan oleh kedua-dua lelaki ke cuping telinga datuk. Buat seketika datuk termanggu. Kemudian dia gelengkan kepala sambil menolak bahu kedua-dua lelaki

yang berada disebelah kanan dan kirinya. Kedua-dua lelaki itu bertindak balas. Pemuda sebelah kanan menekan bahu kanan datuk dengan siku. Manakala yang sebelah kiri memegang tangan kiri datuk lalu dipulas ke belakang.

"Eh kenapa ni," kata datuk lembut.

Tiada jawapan yang diterima. Tetapi, pemuda sebelah kanan mula main kasar. Dia menghentak kepala lututnya ke pangkal paha datuk. Akibatnya datuk terasa sakit dan kebas.

"Lepaskan saya," pinta datuk.

"Jangan lepaskan," pemuda sebelah kiri keluarkan arahan.

"Kenapa buat saya begini," datuk minta kepastian.

"Kamu Melayu Semenanjung?" pemuda sebelah kanan menyoal.

"Iya," sahut datuk tegas.

"Kalau begitu jangan tunjuk jaguh di Jakarta. Jangan campur dalam urusan orang disini," pemuda sebelah kanan memberikan amaran tanpa tulis.

TOLAK

Kedua-dua anak muda itu menolak datuk serentak ke arah longkang kotor. Kerana datuk sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, tolakkan itu tidak mendatangkan kesan. Datuk tidak bergerak walau seinci pun dari tempatnya berdiri. Sepasang kakinya seolah-olah melekat dibumi.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 5)(COMPLETE)Where stories live. Discover now