SAYUP-SAYUP, kedengaran lolongan anjing di kejauhan seakan sayu meratapi sesuatu. Hujan rintik-rintik yang disertai dengan tiupan angin sederhana menjadikan keadaan semakin dingin dan berkabus.
"Zack, kau pastikah ini jalan yang betul? Sejak dari tadi kita asyik lalu jalan yang sama je. Kau jangan pula cakap kita sesat. Takkan pula kau dah lupa jalan?" Dina mengomel panjang sambil berpeluk tubuh.
"Sudahlah, Dina. Boleh tak kau diam sekejap? Aku memang yakin cuma kabus ni yang bagi masalah!" bentak Zack, bengang.
"Oi! Oi! Sudahlah tu! Boleh tak kamu cuba bertenang?" Roy mencelah.
Dina mendengus tanda protes. Fikiran Zack berserabut, ditambah lagi dengan perangai Dina yang sedari tadi asyik membebel. Roy, teman rapat mereka hanya bersandar di tempat duduk belakang sambil berharap agar mereka lekas tiba ke destinasi.
Perjalanan ke sebuah kawasan peranginan seakan menemui jalan buntu apabila mereka tersesat di tengah kepekatan malam yang berkabus. Apa yang lebih menyebalkan, kawasan tersebut agak terpencil dari jalan raya utama ditambah lagi dengan ketiadaan sebarang liputan rangkaian telefon mudah alih.
'10:17 minit malam,' bisik hati Roy.
"Zack, aku lapar," Dina merengek seakan budak kecil. Terpancar perasaan serba-salah pada wajah Zack. Rasa belas kasihan serta-merta datang menyergah.
"Sabarlah, Dina. Buat sementara waktu, kau minum air mineral tu dulu. Sekurang-kurangnya, taklah berapa lapar sangat," pujuk Zack sambil terus memandu.
"Zack, kalau diperhatikan pada katalog ni, ada sebuah jambatan yang menjadi salah satu mercu tanda sebelum tiba ke tempat peranginan tu, kan?" Roy memandang ke arah Zack.
"Ya, Roy. Ni lah yang aku tengah cari sekarang," ucap Zack sambil memperlahankan pemanduan. Secara mendadak, Zack menghentikan kenderaan sehingga menyebabkan Roy dan Dina terdorong ke hadapan. Mujurlah mereka memakai tali pinggang keledar sebagai langkah keselamatan.
"Zack! Kenapa dengan kau ni!?" Dina geram dengan tindakan Zack yang menekan pedal brek secara melulu. Zack tidak bersuara. Pandangannya tertumpu ke hadapan. Sorotan lampu kereta menerangi lorong jalan yang bercabang dua.
"Zack, jalan ni menuju ke mana?" tanya Roy.
"Aku pun... tak tahu..." jawab Zack, terputus-putus.
"Aku tak sedap hatilah," ucap Dina sambil mengusap-usap lengannya.
"Dalam katalog ni tiada pun yang menyatakan tentang jalan bercabang tu," kata Roy sambil mengerutkan dahi. Zack meninggikan lampu sorot. Terpampang sebuah papan tanda yang telah patah dan agak terperosok di sebalik semak-samun.
"Jadi, apa yang perlu kita buat sekarang?" tanya Dina.
Tiba-tiba, satu sorotan cahaya lampu kenderaan dari arah lorong bertentangan menyilaukan pandangan mereka.
"Zack! Zack! Ada orang datang! Cuba minta bantuan!" Dina berkata penuh teruja. Zack lantas menurunkan cermin tingkap lalu memanjangkan leher dengan harapan si pemandu itu akan sudi berkomunikasi dengannya.
Sebuah kenderaan jenis Morris Minor tahun 1940an model keluaran British perlahan-lahan berhenti di sisi kenderaan mereka. Beberapa saat kemudian, cermin tingkap diturunkan.
"Tumpang tanya, jalan ni menuju ke chalet penginapan ke?" tanya Zack kepada si pemandu yang kurang jelas wajahnya akibat kepekatan malam.
"Ya," jawab si pemandu, sepatah.
Zack pantas menoleh ke arah Dina dan juga Roy. Wajahnya terukir kelegaan. Dina hanya membisu manakala Roy sedaya upaya cuba untuk melihat wajah penumpang di dalam kenderaan tersebut.
YOU ARE READING
CHALET 111
ParanormalMengisahkan tentang pengalaman ngeri sepasang suami isteri dan seorang sahabat mereka yang tersesat masuk ke dalam satu penempatan yang sepatutnya sudah tidak wujud lagi selepas perang Jepun-British.