AKU MAHU PULANG!

116 8 5
                                    


Pada waktu malam yang sunyi, di kawasan hutan yang sangat berkabus. Di balik batang-batang kayu pokok yang besar, kelihatan beberapa kubu bawah tanah yang telah dibina sejak beberapa minggu yang lalu. Beberapa orang anggota tentera tidak melelapkan mata mereka kerana sedang fokus mengawal posisi masing-masing. Senjata raifal tidak langsung dialihkan ke tempat lain, kekal pada sasarannya di sebelah selatan di mana mereka menjangkakan pihak musuh akan menyerang dari arah itu.

Terdapat tujuh buah kubu bawah tanah di situ. Anggota-anggota askar yang tidak bertugas pula sama ada sedang bermimpi ke alam lain atau sedang berehat atau sedang melapik perut yang berbunyi dengan sebungkus roti dan sebotol air mineral. Mereka menjamah makanan dan minuman itu hanya sedikit sahaja kerana mereka tidak mahu bekalan tenaga simpanan habis begitu sahaja.

Di dalam kubu keempat, hanya ada seorang sahaja askar yang tidak bertugas dan dia sedang berjalan ke hadapan dan ke belakang seperti dia sedang memikirkan sesuatu di dalam mindanya. Wajahnya kelihatan sungguh risau dan ditambah pula dengan titisan-titisan air peluh yang membasahi keseluruhan mukanya. Kedua-dua belah tangannya mengigil seperti diserang ketakutan yang melampau. Tapi dia seorang askar, bukankah seorang askar patutnya menjadi seorang yang berani?

Langkah kaki askar itu terus terhenti apabila seorang anggota askar berpangkat prebet masuk untuk bertemu dengannya. "Sarjan Dima." Dia mengangkat sebelah tangannya untuk memberi tabik hormat. Askar berpangkat sarjan itu juga memberikan tabik hormat kepadanya.

"Saya bawakan apa yang sarjan mahukan." Askar itu memberikan kepada Sarjan Dima sejenis komputer riba bersaiz kecil yang mana fungsinya hanya digunakan dalam unit ketenteraan.

"Bagus Prebet Tiga." Sarjan Dima mengambil komputer riba itu dari tangan Prebet Tiga.

"Saya juga dah tukarkan frekuensi isyaratnya supaya pihak atasan tidak dapat mengesan sarjan." Jelas Prebet Tiga.

"Terima kasih... Tiga, kamu jangan risau. Saya akan dedahkannya dan kita semua boleh pulang nanti."

"Saya harap apa yang sarjan lakukan ini adalah perkara yang betul." Prebet Tiga memberikan tabik hormat sebelum keluar dari kubu itu.

Tanpa melengahkan masa, Sarjan Dima terus duduk di atas kerusi dan membuka komputer riba itu di atas meja makan. Dia mula mengakses ke bahagian menghantar dan menerima mesej. Tangannya yang menggigil tadi cuba ditenangkan olehnya dengan melakukan sedikit rengangan pada setiap jari-jemari. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya, bersedia untuk menaip, bersedia untuk mendedahkan. Tapi, perkara apa yang dia hendak dedahkan?


'Ke hadapan ibu dan ayah tercinta.

Pertama sekali, Dima nak minta maaf sebab saya langsung tidak hubungi ibu dan ayah sejak Dima diterbangkan ke negara ini. Pihak atasan tidak benarkan kami menghantar apa-apa mesej kepada ahli keluarga masing-masing. Dima taip mesej ini bukan untuk ibu dan ayah sahaja, tapi untuk semua orang di negara kita. Mereka semua perlu tahu kebenarannya.

Saya mahu pulang! Dima sudah tidak tahan berada dalam negara ini. Saya sudah tidak larat lihat rakan-rakan saya mati di hadapan mata saya setiap hari, setiap masa, pagi dan petang, tanpa henti. Setiap malam, Dima berasa truma dan tidak boleh tidur kerana imej mayat-mayat rakan Dima terbayang-bayang dalam minda Dima. Saya rasa bersalah kerana saya ialah ketua pasukan mereka, saya patut menjaga mereka, pastikan mereka terus hidup. Namun, saya gagal, ibu, ayah.

Perkara sebenar yang Dima hendak beritahu ialah kita semua telah dibohongi oleh pihak-pihak atasan selama ini. Apa yang ayah dan ibu lihat di kaca skrin, situasinya di sini sangat berbeza. Dulu, Dima ingat kami dihantar ke negara ini atas sebab untuk mempertahankan negara kita dari ancaman pengganas. Tapi sebenar tidak, di negara ini tidak ada pengganas, sebaliknya kamilah pengganas!

AKU MAHU PULANG!Where stories live. Discover now