Azwar Ashraf
Anak, di sangkar dadamu, berdegup jantungku
AlhamdulillaH! Alhamdulillah! Nikmat Tuhan mana yang patut aku dustakan?
Perkara yang paling melegakan aku apabila masalah merebut Yasmin dari bekas isteri aku perlahan-lahan kian reda. Tiada lagi saat-saat yang berantakan antara aku dengan ibu Yasmin. Sejak Yasmin lolos dan kabur, aku rasa ibu Yasmin semakin menerima hakikat, kasih anak bukan boleh dipaksa jauh sekali untuk dibeli jiwanya.
"Kau jangan lupa, Azwar! Yasmin tu cuma benih kau. Aku yang mengandung, aku yang termuntah-muntah, aku yang sakit satu badan bawa perut sembilan bulan sembilan hari. Kalau terpaksa, aku sanggup cincang kau, Azwar. Aku boleh cari suami bila-bila masa. Suami boleh bertukar, anak tak ada ganti. Kau ingat itu, Azwar!"
Aku diam tanpa menjawab kata-kata amaran ibu Yasmin. Perempuan ini apabila marah, dia bagai ternampak-nampak syaitan dan iblis membawa api neraka marak pada mata, pada lidah dan pada wajahnya itu.
"Kau rampas Yasmin, aku buatkan hidup kau sengsara." Dia masih menggila dan menggertak.
"Sekarang pun aku dah sengsara. Kau puas hati, kan? Kau menang."
"Kau belum mati. Aku teringin nak dengar khabar kau mati perlahan-lahan. Kau rasa sakit mati tu lambat-lambat. Kau bayangkan kuku kau dicabut satu-satu, kulit kau disiat kemudian muka kau ditoreh, belakang kau dihiris. Aku nak macam tu, Azwar!"
Aku tak sanggup mendengarnya, aku terus mematikan talian telefon. Aku tahu, tak guna aku layan perempuan psiko itu. Terkumat-kamit aku beristighfar. Menenangkan perasaan sendiri. Tak mengapalah. Allah s.w.t ada untuk aku mohon perlindungan. Itu perbualan kami yang terakhir dua tahun sudah. Selepas itu semuanya senyap. Aku rasa perempuan itu sudah berputus asa.
Sebelum aku menutup mata, aku hanya ingin melihat kejayaan Yasmin. Aku tahu dia anak yang keras hati. Menurun perangai ibunya. Tapi aku yakin, roh srikandi Islam Qawlah Azwar meresap dalam jiwanya. Memang itu niat aku tatkala memberi nama Yasmin Qawlah Azwar buat satu-satunya zuriat aku ini.
Apatah lagi Yasmin ini keras hatinya. Memang dia memberontak tatkala kami bercerai. Melihat ibunya bernikah lain, menambah luka dalam hatinya.
Yasmin semakin berdikari dengan pertolongan Raid. Namun aku tak boleh alpa. Aku pasti, ada saja cubaan dilakukan bagi memastikan Yasmin kembali ke pangkuan mamanya.
Mujur aku ada Raid yang banyak membantu. Aku percaya, lama-kelamaan Yasmin akan semakin faham mengapa aku ambil tindakan ini. Tentunya dia semakin mengenali Raid. Aku hanya mampu berdoa. Apa jua takdir yang melintang lalu membujur patah untuk Yasmin, biarlah yang membawa kebahagiaan hakiki untuknya.
Aku terasa sedikit tenang, pulih dan kembali segar berbanding dahulu. Aku percaya aku harus kuat semangat dan bangkit. Setidak-tidaknya untuk Yasmin. Pada Yasmin tergantung nyawa aku. Aku dah tak ada sesiapa di dunia ini kecuali Yasmin dan beberapa sahabat yang dipercayai. Aku tak mengejar kekayaan, cukuplah dengan sedikit bekal untuk hidup. Selebihnya aku mahu bersiap-siap kalau aku dijemput pulang oleh Tuhan.
Biarpun aku dengan Yasmin ada ketikanya terasa amat berjarak dan berbalam, tapi aku yakin doa dan kasih sayang aku sentiasa bersatu di kalbu Yasmin.
"Abah larat ke nak memandu tu?"
"Boleh. Abah bawa perlahan-lahan. Tak ada apa yang nak dikejar. Setakat nak jengah kebun durian tu."
"Yasmin temankan, ya. Nanti Yasmin mintak izin keluar. Pukul empat petang Yasmin ada training. Yasmin tinggalkan abah di kampung. Selesai urusan semua, Yasmin jemput abah semula." Bersungguh-sungguh dia menawarkan khidmat.
YOU ARE READING
Nefertiti
General FictionTajuk: Nefertiti Penulis: Lily Haslina Nasir Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-73-1 Muka Surat : 656 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Disember 2018