Yasmin Qawlah Azwar
Maaf, bayang dirimu pun aku benci!
Malam ini aku curi-curi menyelinap masuk ke hospital. Aku tahu, aku pasti dimarahi Raid Arjuna kalau tahu aku keluar dari kawalan dan seliaannya. Aku tidur menangkupkan muka di hujung kaki abah.
Ya, malam itu aku tidur di kakinya sehingga subuh. Terlalu sayu perasaan aku malam itu. Aku mencium tangannya. Aku mencium jari-jarinya. Air mata aku menitik kerana merasai kesakitannya. Di ambang pintu wad, dengan udara pekat yang larut dengan bau ubat, mengapung di segenap penjuru kamar yang terpengap ini, aku melihat dia terbaring di hospital. Mukanya tampak bengkak, sembab dan ada kesan darah kering merata-rata pada kulit wajah yang calar-balar. Nyawa aku seakan terlucut ke kaki.
"Abah!" Aku menangis dalam diam sambil melihat dia lena.
Aku tak tahu bagaimana Raid boleh bergegas ke tempat abah kemalangan. Mujur aku mengikut Raid tanpa banyak soal. Memang aku tak sempat bertanya banyak pada Raid, siapa yang bisikkan pada dia, abah bakal ditimpa musibah. Aku tak boleh menghilangkan prasangka yang berlegar dalam jiwa. Aku tahu ada dajal yang menganiaya abah.
Kereta abah remuk. Khabarnya terbalik dan berpusing semula selepas dia menghentam penghadang konkrit jalan raya. Mujur abah tak tercampak keluar. Mujur abah tak terjerumus menembus cermin hadapan. Mujur kaki abah tak terperangkap.
Sungguh! Memandang sendiri keadaan kereta abah yang hancur itu, semua yang melihatnya berulang kali menyebut. "Pak Cik Azwar dilindungi Allah. Ada malaikat yang menyambutnya."
Aku bergenang air mata mendengarnya. Rezeki abah panjang umur sebab aku tahu, abah sebaik-baik lelaki. Dan bertambah sebak rasa apabila ada yang berbisik. "Kalau orang lain dalam kereta yang hancur macam tu, memang dah mati rasanya!"
Semoga Allah pinjamkan abah lebih lama lagi untuk aku. Dalam hidup yang semakin penuh cabaran, aku selalu bermimpi alangkah indahnya jika aku boleh sentiasa berada di sisi abah selalu.
Malam ini sehingga subuh, aku terus memujuk diri. Tenanglah Yasmin, peluk dan tidurlah di kaki abah. Aku usap kaki abah. Sebelum dia terjaga. Pantas aku mendekati abah.
"Yasmin tak penat? Memandu jauh-jauh jumpa abah?"
"Tak, abah."
"Yasmin, hati-hati memandu. Jangan jadi macam abah. Nanti tak ada siapa nak tolong jaga." Aku sebak mendengar kata abah. Mata abah sekejap-sekejap terpejam. Nafasnya sedikit terganggu. Sesekali terbit batuk abah dan aku lembut mengurut dadanya.
"Abah nak air?" Aku bertanya apabila dalam gelap aku dapat lihat bibirnya kering.
Abah geleng.
"Abah penat tu... Tidur, ya."
"Terima kasih ya, Yasmin... Susah-susah datang tunggu abah."
"Tak apa, abah."
"Raid mana? Yasmin datang dengan dia ke?"
"Tak, Yasmin sorang aje."
"Ke dengan Ziyad?"
Astaghfirullah! Berderau darah aku mendengar nama itu yang abah sebut. Hidup seribu tahun pun, aku tak sangka, abah boleh sebut nama dia.
"Ziyad? Abah kenal dia ke?" Aku cuba menguji abah. Entah kenapa hati jadi cemas dan cuak.
"Tak... Tapi abah dengar nama dia disebut masa abah diangkat ke dalam ambulans."
"Oh..." Aku terhilang kata sesaat.
Nama Ziyad El Zamri betul-betul bikin aku resah. Tak fasal-fasal aku jadi tertoleh-toleh. Pandang kiri dan kanan. Bimbang lelaki celaka itu ada kelibatnya mengintai abah. Mana tahu dia ada sekitar sini, bergentayangan dalam gelap mahu mengapa-apakan abah.
YOU ARE READING
Nefertiti
General FictionTajuk: Nefertiti Penulis: Lily Haslina Nasir Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-2102-73-1 Muka Surat : 656 Harga: RM27.00 (Semenanjung) // RM30.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Disember 2018